Isnin, 30 November 2009

Arus Perdana Sebagai Mazhab Baru?


Oleh : Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

Seluruh pengikut Ahli Sunnah Wal Jamaah mengiktiraf kewujudan mazhab-mazhab dalam Islam dan mengambil sikap toleransi ketika menangani perbezaan pendapat di antara sesama umat Islam. Hanya sahaja sikap segelintir kecil umat Islam yang fanatik mazhab telah memecah belah umat Islam menjadi berpuak-puak sehingga timbul perselisihan faham yang boleh meruntuhkan perpaduan. Sikap fanatik mazhab ini adakalanya melampaui batas sehinggakan ada pengikut fanatik mazhab Syafi’i menganggap tidak sah bernikah dengan wanita bermazhab Hanafi kerana pengikut mazhab Hanafi bersikap ragu-ragu di dalam keimannya kerana membolehkan seorang muslim mengatakan, “Saya beriman Insya-Allah”. Ada pula dari kalangan mereka yang bermazhab Syafi’i yang berkata dibenarkan berkahwin dengan wanita bermazhab Hanafi kerana mengqiyaskan mereka dengan ahlul kitab (golongan nasrani dan yahudi) yang dibenarkan syarak untuk dinikahi.

Terdapat juga hadis-hadis palsu direka semata-mata untuk meninggikan mazhab sendiri serta memburukkan mazhab lain. Di kalangan pengikut fanatik mazhab Hanafi mereka mencipta hadis palsu untuk memburuk-burukan Imam al-Syafi’i r.h. Hadis palsu tersebut berbunyi begini, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Akan muncul di kalangan umat aku seseorang yang bernama Muhammad bin Idris (Imam al-Syafi’i) yang akan mendatangkan kerosakan kepada umat ku lebih buruk daripada iblis dan akan muncul pula di kalangan umatku seorang lelaki bernama Abu Hanifah yang akan menjadi cahaya penyuluh umat aku.”

Sikap fanatik sebegini dikhuatiri mula kelihatan di Malaysia apabila seorang tokoh baru-baru ini dengan lantangnya menyeru seluruh umat Islam di Malaysia supaya terus berpegang hanya dengan fahaman yang telah diterima arus perdana dan pandangan arus perdana tersebut tidak boleh dipertikaikan lagi. Timbul satu persoalan yang mendasar, bagaimana sekiranya mazhab arus perdana itu didapati kurang tepat berbanding dengan al-Qur’an dan al-Sunnah? Adakah umat Islam di Malaysia tetap harus kekal berpegang dengan arus perdana? Adakah pandangan yang dikatakan arus perdana itu dianggap lebih tinggi tarafnya daripada firman Allah S.W.T. dan sabda Rasulullah s.a.w.? Bagaimana pula dengan seruan al-Qur’an yang menyuruh setiap perselihan pendapat dalam Islam itu diselesaikan dengan neraca al-Qur’an dan al-Sunnah? Firman Allah S.W.T.: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Qur’an) dan (Sunnah) Rasul-Nya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.” (al-Nisaa’ (4) : 59)

Adakah ayat-ayat al-Qur’an dan hadis-hadis yang kelihatan bercanggah dengan aliran arus perdana perlu ditafsir semula agar ia selari dengan pandangan arus perdana sebagaimana yang sering dilakukan oleh golongan fanatik mazhab? Sikap fanatik sebegini pernah diutarakan oleh Abu al-Hassan Muhammad al-Karkhy di dalam kitabnya Tarikh al-Tasyri' al-Islami: "Semua ayat al-Quran yang menyelisihi (pendapat) sahabat-sahabat kami, ayat itu hendaklah ditakwil (diberi maksud lain) atau dimansuhkan (dihapuskan hukumnya). Begitu juga hadis Nabi s.a.w, ia perlu ditakwil atau dimansuhkan." Ternyata ini merupakan satu pandangan yang keliru kerana tiada suatu pandangan atau fahaman yang muncul daripada seseorang individu mahupun kumpulan tertentu yang boleh diletakkan lebih tinggi dari al-Qur’an dan al-Sunnah. Tiada yang terpelihara dari melakukan kesilapan dalam hal-hal keagamaan melainkan Rasulullah s.a.w. Imam Malik bin Anas r.h pernah berkata: “Sesiapapun perkataanya boleh ditolak dan boleh diterima, kecuali hanya Nabi s.a.w.” Bukanlah menjadi suatu kesalahan apabila kita berpegang dan mengamalkan sesuatu pandangan dari mazhab selain dari arus perdana sekiranya pandangan tersebut lebih menepati ajaran Rasulullah s.a.w. Dr. M. Said Ramadhan al-Buthi di dalam kitab beliau bertajuk Al Laa Mazhabiyyah Akhtharu Bid’ah Tuhaddadu ash-Shari’ati al-Islaamiyyah telah berkata: “Tidaklah menjadi satu kewajipan bagi seseorang muqallid (yang bertaklid kepada sesuatu mazhab) untuk mengikuti salah satu mazhab tertentu, atau menjadi satu perkara yang haram baginya untuk berpindah-pindah mazhab. Begitu pula telah menjadi suatu kesepakatan kaum muslimin, bahawa seorang muqallid dapat memilih atau mengikuti salah satu mujtahid jika telah diyakini kebenaran mazhab-mazhab dan pendapat-pendapatnya, seperti seseorang berpindah-pindah kepada salah satu dari keempat imam mazhab. Maka seandainya, pada masa sekarang ada yang melarang untuk berpindah-pindah mazhab, orang itu telah masuk dalam kategori fanatik yang menyesatkan, yang telah menjadi suatu kesepakatan kaum Muslimin untuk meniadakannya. Suatu yang harus diketahui bagi seorang peneliti, tidak ada pertentangan bahawa tidak ada hukumnya bagi seorang muqallid untuk tidak mengikuti satu mazhab sahaja, atau berpindah-pindah ke mazhab yang lain. Artinya tidak ada kewajipan untuk terikat kepada salah satu mazhab tertentu, sama dengan tidak ada pelarangan untuk terikat kepada salah satu mazhab.” Sekian pandangan Dr. M. Said Ramadhan al-Buthi. Semoga kita semua terhindar dari sikap fanatik mazhab yang menyesatkan sebagaimana dicela oleh beliau.

Seterusnya tokoh yang memperjuangkan aliran arus perdana tersebut berulang-kali menyeru agar pandangan yang kelihatan syaz atau ganjil ditengah-tengah masyarakat agar ditolak. Adakah wajar seruan sebegini? Kenapa pandangan yang dianggap ganjil itu tidak dinilai terlebih dahulu dengan neraca al-Qur’an dan al-Sunnah kerana sesuatu pandangan yang dianggap syaz atau ganjil itu pada hakikatnya mungkin lebih mendekati ajaran Rasulullah. Tidak mustahil pula sekiranya pandangan atau amalan yang di anggap sebagai arus perdana pada zaman ini pula sebenarnya tidak pernah wujud pada zaman Rasulullah dan para sahabat. Sekiranya Rasulullah dan para sahabat masih hidup tentu mereka juga akan menyatakan pandangan atau amalan tersebut sebagai ganjil. Wajarkah pandangan majoriti itu diletakkan sebagai nilai ukur yang baku untuk menilai sama ada sesuatu pandangan itu sebagai benar atau salah? Firman Allah S.W.T.: “Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata.” (al-An’am (6) : 116)

Sebenarnya nilai ukur kebenaran itu bukan kerana jumlah pengikut yang besar, tetapi nilai ukurannya adalah kebenaran atau kebatilan yang menyertai sesuatu pandangan itu setelah diletakkan di atas neraca al-Qur’an dan al-Sunnah. Pandangan yang benar walaupun dipegang oleh sebilangan kecil orang Islam tetap harus dijadikan ikutan. Itulah jalan yang lebih selamat. Setiap perkara yang batil itu tidak boleh berubah menjadi benar hanya kerana jumlah pengikutnya yang banyak. Apatah lagi Rasulullah s.a.w. pernah menggambarkan bahawa golongan yang benar-benar akan mengikuti sunnahnya pada masa hadapan adalah sedikit jumlahnya. Baginda bersabda: “Sesungguhnya Islam itu muncul sebagai agama yang asing (sedikit pengikutnya) dan suatu saat akan kembali asing sebagaimana pertama kali muncul.” (Hadis riwayat Imam Muslim)

Untuk menguatkan hujah betapa wajibnya seseorang itu untuk mengikut arus perdana atau majoriti umat Islam maka mereka menjaja sebuah athar daripada Abdullah bin Mas’ud r.a yang berbunyi “Apa yang dilihat baik oleh kaum Muslimin (al-Muslimun), maka ia baik di sisi Allah, dan apa yang dilihat buruk di sisi kaum Muslimin maka ia buruk di sisi Allah. (Hadis riwayat Ahmad) Sebenarnya athar di atas ini bukan sabda Rasulullah s.a.w. seperti yang mereka sangkakan. Ia hanyalah ucapan ‘Abdullah bin Masu’d. Oleh itu sewajarnya sabda Rasulullah yang menyuruh kita mengutamakan pandangan al-Qur’an dan al-Sunnah seperti: “Aku telah meninggalkan kepada kamu sekalian dua perkara yang kamu tidak akan sesat dengan keduanya, iaitu Kitabullah dan sunnah Nabi-Nya” lebih wajib kita utamakan daripada kata-kata seorang sahabat seperti riwayat tersebut.

Sekiranya kita terima pandangan mereka bahawa athar tersebut adalah sabda Nabi sekalipun ternyata tafsiran mereka terhadapnya juga kurang tepat. Menurut para ulama hadis, riwayat di atas hanya bersangkutan dengan kesepakatan kaum Muslimin iaitu spesifik kepada generasi sahabat Nabi sahaja. Hal ini adalah kerana perkataan al dalam al-Muslimun itu berbentuk definitif (al-‘ahd) menunjukkan kelompok orang Islam yang tertentu yakni para sahabat Nabi r.a. Hal ini dapat dibuktikan dengan melihat matan penuh athar ini. “Sesungguhnya Allah melihat hati para hamba-Nya lalu mendapati hati Muhammad s.a.w sebagai hati terbaik di antara para hamba-Nya lalu baginda dipilih dan diutus menjadi Rasul. Kemudian Allah melihat hati hamba-hamba-Nya setelah melihat hati Muhammad lalu mendapati hati para sahabat sebagai hati yang terbaik, maka mereka dijadikan sebagai menteri-menteri Nabi-Nya. Mereka berperang dan berjuang di atas agama-Nya. Maka apa yang dilihat baik oleh kaum Muslimin, maka ia baik di sisi Allah, dan apa yang dilihat buruk di sisi kaum Muslimin maka ia buruk di sisi Allah.” Apatah lagi dalam riwayat lain, kita dapati ucapan Ibn Mas’ud r.a tersebut adalah ulasan beliau tentang kesepakatan (ijmak) para sahabat dalam perlantikan Abu Bakar r.a sebagai khalifah Islam yang pertama. Dalam riwayat lain, terdapat tambahan dalam ucapan Ibn Mas’ud tersebut: “Kesemua sahabat sependapat untuk melantik Abu Bakar menjadi khalifah.” (Hadis riwayat al-Hakim. Sanad hadis ini sahih menurut al-Hakim dan ia disepakati oleh al-Zahabi). Ini lebih mengukuhkan lagi pandangan istilah al-Muslimun (kaum muslimin) di dalam athar tersebut merujuk kepada kesepakatan para sahabat Nabi s.a.w. dan bukan majoriti umat Islam atau arus perdana seperti sangkaan tokoh tersebut.

Sekiranya kita ambil pandangan mereka bahawa perkataan al dalam al-Muslimun itu berbentuk al-istighraq (merangkumi semua kaum Muslimin), maka kita perlu mengetahui bahawa ianya bermaksud kesepakatan yang terjadi di kalangan para ulama (ijmak). Mana mungkin urusan baik dan buruk dalam agama diletakkan sewenang-wenangnya kepada seluruh umat Islam. Bukan kesemua umat Islam arif tentang ilmu-ilmu yang diperlukan untuk mengistinbat (mengeluarkan) hukum dan bukan semua memahami tafsiran sebenar sesuatu ayat al-Qur’an mahupun hadis Nabi. Menurut Imam ‘Izz bin ‘Abdul Salam r.h ketika mengulas athar ini: “Jika hadis itu sahih, maka yang dimaksudkan dengan kata ‘al-Muslimun’ adalah ahlul ijma’ (ahli ijmak).”

Mari kita ambil satu contoh amalan arus perdana yang dibangkitkan oleh tokoh tersebut iaitu upacara tahlil ketika kenduri arwah bertujuan untuk mengirim pahala bacaan kepada mereka yang telah meninggal dunia. Bolehkah kita katakan upacara ini telah diterima oleh ijmak (kesepakatan seluruh ulama) sedangkan ianya tidak pernah diamalkan oleh Rasulullah s.a.w. atau para sahabatnya bahkan Imam al-Syafi’i sendiri tidak pernah mengajarnya di dalam mana-mana kitabnya. Apa yang lebih tepat menurut Imam al-Syafi’i adalah pahala bacaan tersebut tidak sampai kepada arwah. Imam al-Nawawi di dalam Syarah Muslim telah berkata: “Adapun bacaan al-Qur’an (yang pahalanya dikirimkan kepada simati) maka yang masyhur di dalam mazhab Syafi’i tidak dapat sampai kepada si mati yang dikirim… Sedang dalilnya bagi Imam al-Syafi’i dan pengikut-pengikutnya iaitu firman Allah: “…bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya.” (Al-Najm (53) : 39) dan Sabda Nabi s.a.w.: “Apabila manusia telah meninggal dunia, maka terputuslah amal usahanya kecuali tiga hal iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh (lelaki atau perempuan) yang berdoa untuknya.” (Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi)

Penganut mazhab arus perdana adakalanya terlalu mudah menetapkan sesuatu pandangan itu sebagai ijmak sedangkan realitinya masih terdapat para ulama yang berselisih pendapat dalam isu-isu yang dibangkitkan itu. Jangan terlalu mudah menggunakan istilah ijmak kerana Imam Ahmad r.h pernah mencela mereka yang gemar membuat dakwaan ijmak terhadap sesuatu perkara. Beliau berkata: “Sesiapa yang mengaku ijmak maka sesungguhnya dia bohong dan tidak mengerti bahawa manusia berselisih.”

Justeru sewajarnya kita berlapang dada dalam isu yang terdapat perselisihan pendapat di kalangan Ahli Sunnah wal Jamaah dan tidak memaksa pihak lain untuk mengikuti satu aliran pandangan sahaja. Isu perbezaan pendapat harus diselesaikan menerusi perbincangan ilmiah berteraskan al-Qur’an dan al-Sunnah. Tindakan mereka yang fanatik dengan arus perdana ini ditakuti akan memandulkan keupayaan umat Islam di Malaysia untuk berfikir secara analitikal dan kitikal. Jika dikaji sikap para ulama besar Ahli Sunnah wal Jamaah, mereka sentiasa menerima teguran dengan hati yang terbuka, membetulkan ajaran mana yang tersilap dan menghormati antara satu sama lain. Pernah sekali Imam Malik bin Anas r.h ditanya adakah perlu membasuh jari-jari kaki ketika berwuduk? Beliau menjawab: “Itu tidak perlu”. Setelah berakhirnya majlis kuliah tersebut, seorang anak murid Imam Malik, bernama Ibnu Wahab telah berkata: “Aku mengetahui akan suatu hadis berkenaan soalan tadi.” Bertanya Imam Malik: “Hadis apakah itu ?” Ibnu Wahab berkata: “Laith ibnu Sa’ad, Ibnu Lahee’ah dan ‘Amr bin al-Hariith telah meriwayatkan dari jalan Yazid bin ‘Amr, daripada Mustawrid bin Shaddad; di mana mereka telah berkata: “Kami melihat Rasulullah menggosok antara jari-jari kakinya ketika berwudhu dengan anak jarinya.” Berkata Imam Malik: “Riwayat ini adalah sahih. Aku tidak pernah mendengarnya hingga seketika tadi.” Ibnu Wahab seterusnya menerangkan bahawa Imam Malik kemudian mengajar orang ramai untuk menggosok jari-jari kaki mereka apabila berwuduk. (Riwayat Ibnu abi Hatim di dalam kitab al-Jahr wat-Ta’deel) Demikian sikap Imam Malik yang apabila sahaja dia mendengar suatu hadis yang beliau anggap sebagai sahih, dia terus membetulkan ajarannya tanpa sebarang halangan atau keraguan. Oleh itu kenapa mereka yang menjenamakan diri mereka sebagai arus perdana memiliki hati yang begitu keras untuk menerima kebenaran sekiranya terbukti pandangan mereka kurang tepat.

Tiada ulasan: