Isnin, 2 November 2009

BH 31/10/09 : Tiada Seruan Baru Selepas Wafat Rasulullah

Untuk membesarkan paparan sila klik pada imej. Untuk melihat artikel versi panjang sila baca di bawah


Mimpi Menjadi Modal Untuk Menjual Agama
Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

Apabila kita melihat tukang jual ubat di kaki lima pasti kita akan tertarik dengan pelbagai keletah mereka dalam rangka untuk menjual barang dagangannya. Kebiasaannya tukang jual ubat tersebut akan menghebahkan kesaktian atau keajaiban yang terdapat pada ubat yang dijualnya bertujuan untuk menarik hati para pelanggan. Senario yang sama juga wujud pada sekelompok golongan agama yang ingin menyebarkan ajaran-ajaran kelompok mereka demi untuk mendapat pengaruh serta imbalan berbentuk material. Mereka turut membuat promosi seperti tukang jual ubat tadi dengan dakwaan bahawa ajaran yang mereka bawa memiliki kelebihan tertentu yang mana para pengikut-pengikutnya pasti akan masuk syurga. Tambah mereka lagi ajaran yang mereka bawa ini hanyalah untuk golongan-golongan yang khusus sahaja kerana Tuan Guru mereka mendapat ajaran-ajaran ini menerusi mimpi yang mana mereka telah bertemu Rasulullah s.a.w. atau wali-wali tertentu. Sehubungan itu tidaklah menghairankan sekiranya terdapat perbezaan dalam amalan mereka berbanding dengan orang-orang awam yang lain kerana ajaran mereka yang istimewa ini tiada dalam kitab-kitab fekah yang kebiasaanya digunakan bahkan ada juga yang tiada di dalam al-Qur’an mahupun hadi-hadis.

Bagi mereka yang lemah akalnya pasti akan mudah terpengaruh apabila mendengarkan cerita-cerita berunsur misteri dan janji-janji manis seperti pahala yang begitu banyak serta jaminan ke syurga. Segala-galanya seperti harta-benda bahkan maruah diri sanggup dikorbankan kepada Tuan Guru yang membawa ajaran tersebut kerana dia dianggap memiliki kemuliaan serta kedudukan yang begitu tinggi sehinggakan Rasulullah s.a.w. sendiri telah bertemu dengannya menerusi mimpi atau dalam keadaan sedar untuk mengajar ilmu-ilmu yang hebat itu. Sehubungan dengan itu timbul persoalan yang bermain-main dalam fikiran semua. Bolehkah kita menerima dakwaan bahawa setelah wafatnya Rasululullah s.a.w. masih tersisa ajaran-ajaran baru yang hendak disampaikan pada umatnya menerusi mimpi?

Bila membicarakan tentang mimpi maka terdapat sekelompok manusia yang hanya melihatnya sebagai mainan jiwa yang tidak memberi sebarang manfaat. Manakala terdapat segolongan lagi yang bergantung hidup kepada mimpi sehinggakan ia menjadi penentu ketika hendak membuat sebarang keputusan dalam hidupnya. Segala mimpi hendak ditafsirkan agar boleh dijadikan pedoman bagi golongan sebegini. Ada juga yang mempercayai wujud mimpi-mimpi yang boleh bertindak seumpama wahyu daripada Ilahi sehinggakan ia boleh dijadikan hujah bagi membentuk hukum-hukum serta amalan-amalan baru walaupun ia tidak pernah diajar oleh Rasulullah s.a.w..

Bagi Ahlus Sunnah wal Jamaah mimpi itu pada dasarnya terdapat 3 jenis sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. : “Mimpi itu tiga jenis, mimpi yang benar berbentuk khabar gembira daripada Allah, mimpi sedih daripada syaitan dan mimpi yang disebabkan mainan jiwa seseorang.” [Hadis riwayat Imam Muslim] Mimpi daripada syaitan dan mainan jiwa sememangnya tiada memberi sebarang erti, namun bagi mimpi yang berbentuk khabar gembira daripada Allah s.w.t., ia merupakan mimpi yang benar dan perlu diberikan perhatian sewajarnya.

Nabi s.a.w. bersabda: “Tiada lagi kenabian setelah aku kecuali al-Mubasysyiraat (berita-berita yang menggembirakan).” Para sahabat bertanya apakah yang dimaksudkan al-Mubasysyiraat? Sabda Nabi s.a.w.: “Mimpi yang benar yang dimimpikan oleh orang yang soleh.” [Hadis riwayat Imam al-Bukhari] Ada yang menjadikan hadis ini sebagai bukti bahawa mimpi guru-guru atau syaikh-syaikh mereka boleh dijadikan dalil dalam membawa ajaran-ajaran yang baru. Namun sebenarnya al-Mubasysyiraat hanyalah mimpi yang berbentuk khabar-khabar gembira atau berita-berita amaran yang boleh membantu orang Islam memantapkan keimanan mereka. Al-Mubasysyiraat bukan bertujuan untuk menggubal hukum-hukum yang baru kerana segala ajaran tentang Islam ini telah sempurna sebelum Rasulullah s.a.w. wafat. Allah S.W.T telah memerintahkan Rasulullah s.a.w untuk menyampaikan apa yang telah diwahyukan kepadanya terhadap seluruh umat manusia. Frman-Nya: “Wahai Rasulullah! Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu; dan jika engkau tidak melakukannya (dengan menyampaikan semuanya), bermakna engkau tidak menyampaikan perutusan-Nya; dan Allah jualah yang akan memeliharamu daripada (kejahatan) manusia. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang kafir.” [al-Maaidah (5) : 67] Rasulullah s.a.w sebagai seorang yang maksum (terpelihara dari melakukan kesilapan) pasti telah melaksanakan perintah Allah tersebut. Sebelum baginda diwafatkan, Allah S.W.T tentu telah menyempurnakan agama Islam sehingga tidak lagi memerlukan apa-apa bentuk penambahan menerusi mimpi-mimpi. Menurut Abu Dzar al-Ghifari r.a: “Rasulullah s.a.w meninggalkan kami dan tidak ada seekor burung yang mengepakkan kedua sayapnya di udara melainkan baginda menyebutkan kepada kami ilmu tentangnya. Dia berkata: Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak tertinggal sesuatupun yang dapat mendekatkan seorang hamba kepada syurga dan menjauhkannya dari neraka melainkan aku telah jelaskan kepada kamu semua.” [Hadis sahih riwayat al-Tabrani]

Mimpi yang benar ini kebiasaannya terjadi kepada orang soleh yang taat kepada sunnah Nabi namun adakalanya manusia yang biasa juga turut mengalaminya. Mimpi yang benar adalah berupa khabar gembira daripada Allah bagi hamba-hamba-Nya dengan memberi gambaran tentang perkara-perakara baik yang bakal berlaku. Mimpi yang benar ini akan menjadi kenyataan dalam hidup seseorang itu. Mimpi yang benar juga boleh terjadi dalam bentuk peringatan terhadap hamba-hambanya tentang perkara buruk yang bakal berlaku agar dia boleh berusaha untuk mengelaknya dari terjadi ataupun berbentuk amaran supaya jangan melakukan sesuatu maksiat. Inilah lapangan skop mimpi yang benar dan ianya tidak lebih dari itu. Ia bukanlah hujah syarak mahupun dalil-dalil yang boleh dipergunakan untuk membentuk fahaman yang baru sebagaimana yang difahami sesetengah pihak. Kandungan mimpi yang benar tidak akan bertentangan dengan ajaran yang terdapat di dalam al-Qur’an dan Sunnah bahkan ia berfungsi sebagai memperjelaskan atau memperingatkan seseorang tentang ajaran yang terkandung di dalam al-Qur’an mahupun Sunnah.

Mimpi bertemu dengan Nabi s.a.w. juga merupakan sebahagian dari al-Mubasysyiraat (berita-berita yang menggembirakan) yang terjadi kepada sesetengah manusia yang beruntung. Nabi s.a.w. bersabda: “Barangsiapa melihatku dalam mimpi, maka sesungguhnya dia telah melihatku secara benar. Sesungguhnya syaitan tidak boleh menyerupaiku. Barangsiapa yang berdusta atas namaku secara sengaja maka dia telah mengambil tempat duduk dallam neraka.” [Hadis riwayat Imam al-Bukhari]

Menerusi hadis di atas dapat kita fahami seseorang itu hanya dianggap telah benar-benar bertemu Rasulullah s.a.w. di dalam mimpi sekiranya paras rupa Rasulullah yang ditemuinya itu sesuai dengan sebagaimana yang telah digambarkan di dalam hadis-hadis yang sahih. Sekiranya paras rupa Rasulullah yang dilihatnya dalam mimipi tersebut tidak selari dengan hadis-hadis maka berkemungkinan besar orang yang bermimpi itu telah diperdaya oleh syaitan yang menyerupai seseorang yang lain tetapi mengaku sebagai Nabi kerana syaitan hanya tidak boleh menyerupai paras rupa nabi yang sebenar. Telah amalan umat Islam terdahulu (generasi salaf) apabila seseorang mengaku bertemu Nabi, dia dikehendaki untuk memberikan gambaran paras rupanya dalam mimpi itu. Ibnu Sirin r.h umpamanya akan bertanya kepada seseorang yang mengaku bertemu Nabi s.a.w. dalam mimpi: “Ceritakan kepadaku apa yang anda lihat.” Sekiranya diceritakan kepada beliau sifat-sifat Rasulullah s.a.w. yang tidak diketahuinya, beliau akan menegaskan: “Anda sebenarnya tidak bermimpi bertemu dengan baginda s.a.w.”

Seterusnya kandungan mimpi bertemu dengan Rasulullah s.a.w. itu tetap perlu dipertimbangkan dengan neraca al-Qur’an dan al-Sunnah. Menurut Dr. Yusuf al-Qaradhawi di dalam kitabya Mauqiful Islam Minal Ilham wal Kasyaf wa Ra’yu waminat-Tama’im wal Kahanah war-Ruqaa’: “Seseorang yang bermimpi bertemu dengan Nabi s.a.w. dalam tidurnya, lalu Nabi menyuruh atau melarangnya dari melakukan sesuatu, atau menzahirkan kecintaan kepada sesuatu atau kepada peribadi atau kepada kumpulan tertentu atau menunjukkan kemurkaan dan kebenciannya kepada seseorang atau jemaah atau sesuatu pendirian atau amalan, semuanya ini tidak boleh diambil kira dan tidak mensabitkan sebarang hukum syarak baik hukum wajib, sunat haram, makruh dan juga harus atau memberikan ketuanan, pembebasan mahupun permusuhan. Semuanya perlu dibentangkan terlebih dahulu kepada syari’at yang sabit lagi maksum. Jika bertepatan ia boleh diterima tetapi jika sebaliknya yang menjadi hujah tetap syari’at. Mimpi hanya untuk menggembirakan atau menjinak-jinakkan hati sahaja.”

Tambah Dr Yusuf Qaradhawi lagi : “Perkara yang hanya dipertanggungjawabkan (taklif) oleh Allah supaya kita meyakini dan beramal dengannya ialah sesuatu yang diwahyukan kepada Rasul-Nya semasa hayat Rasul tersebut, bukan berdasarkan kepada apa yang dibawa oleh mimpi di dalam tidur setelah kewafatannya.”

Seringkali kedengaran ada kelompok tertentu yang mendakwa bahawa ajaran yang terdapat di dalam tarekat mereka ini di ambil oleh Syaikh mereka daripada Rasulullah s.a.w. dalam keadaan sedar atau terjaga. Mereka mendakwa bahawa ajaran-ajaran tersebut walaupun berbeza dengan apa yang terkandung di dalam al-Qur’an atau sunnah, bercanggah pula dengan pendapat para ulamak fekah mahupun hadis tetap boleh diamalkan kerana ianya diterima secara terus daripada Rasulullah s.a.w. dalam keadaan sedar. Mereka berhujah dengan sebuah riwayat yang mana Nabi s.a.w. bersabda: “Barangsiapa yang melihatku dalam mimpi, maka dia akan melihatku dalam keadaan terjaga dan syaitan tidak mampu menyerupaiku.” [Hadis riwayat Imam al-Bukhari]

Walaupun hadis ini sahih namun tafsiran mereka terhadapnya tidak benar. Rasulullah s.a.w. telah wafat sebagaimana manusia yang lain. Firman Allah S.W.T.: “Sesungguhnya kamu akan mati dan sesungguhnya mereka akan mati (pula) Kemudian sesungguhnya kamu pada hari kiamat akan berbantah-bantah di hadapan Tuhanmu. [al-Zumar (39) : 30-31] Baginda hanya akan dibangkitkan semula di alam akhirat setelah terjadinya kiamat. Maka tiada nas yang menunjukkan bahawa baginda boleh bangkit di dunia dan boleh bertemu dengan seseorang secara fizikal dan mengajar mereka ajaran-ajaran tentang Islam. Tiada suatu riwayat pun yang menunjukkan para sahabat Nabi pernah berjumpa baginda dalam keadaan sedar setelah baginda wafat sedangkan merekalah yang paling rapat dengan baginda, paling warak dan tawaduk.

Al-Hafiz Ibnu Hajar r.h juga menempelak dakwaan golongan yang mengaku bertemu dengan Rasulullah dalam keadaan sedar menerusi kitabnya Fathul Baari. Menurut beliau: “Hal ini begitu aneh. Jika dimaksudkan (pertemuan tersebut) secara zahir maka mereka (yang mendakwa bertemu Nabi secara sedar) itu boleh dianggap sahabat Nabi, sedangkan tidak mungkin sahabat Nabi itu akan ada terus menerus sehingga hari kiamat.”

Tentang maksud sebenar maka dia akan melihatku dalam keadaan terjaga maka Imam al-Nawawi r.h telah memberikan tiga pendapat:

Pertama, ia berkaitan dengan mereka yang hidup pada zaman Rasulullah s.a.w. Oleh tu sesiapa yang bermimpi bertemu dengan Nabi sedangkan dia belum berhijrah maka Allah akan memberi taufik kepadanya untuk berhijrah dan bertemu dengan Nabi secara zahir.

Kedua, dia akan melihat kenyataan mimpinya tersebut dalam keadaan terjaga pada hari kiamat, kerana semua umat baginda akan melihatnya pada hari kiamat.

Ketiga, dia akan melihat Nabi s.a.w. pada hari akhirat secara khusus dalam keadaan dekat dan mendapat syafaat daripadanya atau yang semisalnya.

Sewajarnya kita memahami bahawa Allah S.W.T. tidak membebankan seseorang itu dengan apa yang terjadi ketika mimpi. Nabi s.a.w. bersabda: “Catatan amal diangkat dari tiga orang, anak kecil hingga baligh, orang tidur hingga terbangun dan dari orang gila hingga sedar” [Hadis riwayat Imam Abu Dawud] Dari hadis ini dapat kita fahami bahawa ketika tidur seseorang itu terlepas dari sebarang tanggungjawab, maka bukanlah suatu kemestian bagi seseorang itu untuk melaksanakan apa sahaja yang dilihatnya ketika bermimpi melainkan ianya sesuai dengan tuntunan syarak.

Allah S.W.T telah menyempurnakan syariat agama Islam dengan penurunan wahyu kepada Nabi s.a.w. semasa hayat baginda. Kesempurnaan syariat agama Islam ini diakui sendiri oleh Allah S.W.T. melalui firman-Nya: “Pada hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu dan Aku telah redha Islam menjadi agama kamu.” [al-Maaidah (5) : 3] Sempurna dalam ayat ini bererti ianya telah lengkap. Sekiranya agama telah sempurna, mengapa kita masih memerlukan mimpi untuk dijadikan perantaraan bagi menerima amalan-amalan baru yang tidak pernah diamalkan oleh Rasulullah dan para salafussoleh (ulama terdahulu)? Justeru, mereka yang mendakwa sesuatu ajaran baru itu masih boleh diterima menerusi mimpi hanya mencerminkan gambaran pemikiran mereka yang menganggap Islam ini belum sempurna sehingga memerlukan ritual-ritual baru. Sungguh rosak pemikiran sedemikan rupa.

3 ulasan:

BUJANG SUSAH berkata...

ziarah sahabat

Unknown berkata...

Mohon izin untuk terbit artikel di http://almizan.wordpress.com Terima kasih.

Mohd Yaakub bin Mohd Yunus berkata...

Assalaamu'alaikum

Semua artikel saya dalam blog ini boleh disebarkan bahkan amat dialu-alukan.

Terima Kasih Akhi Hazman.