Isnin, 2 November 2009

Kenyataan Akob tentang Isu Dr Mohd Asri Zainul Abidin



Assalaamu’alaikum

Ramai sahabat yang meminta akob memberi sedikit komentar tentang isu Dr Mohd Asri Zainul Abidin. Dr. Mohd Asri merupakan sahabat serta rakan seperjuangan akob dan sahabat-sahabat. Beliau merupakan seorang tokoh yang tegar berada di atas al-Qur’an dan al-Sunnah menurut manhaj para Salafussoleh. Beliau merupakan seorang tokoh yang telah menerima sokongan dari pelbagai lapisan masyarakat dan pelbagai pertubuhan NGO serta Parti politik. Sedikit sebanyak trend ini telah menimbulkan sedikit perasaan iri hati bagi mereka yang merasakan pengaruh serta periuk nasi mereka semakin terancam.

PERTAMA : Tentang isu memorandum Persatuan Peguam Syarie (PGSM) kepada YDP Agong, kandungan memorandum ini berunsur fitnah yang jahat. Akob boleh sahkan bahawa ianya fitnah kerana akob dan rakan-rakan telah lama bersama-sama dengan Dr Mohd Asri dalam perjuangan ini dan akob faham manhaj yang dipegang oleh Dr Mohd Asri. Tidak hairanlah tidak begitu lama setelah Dr Mohd Asri melakukan Kenyataan Media tentang fitnah tersebut, mereka secara kalut telah mengeluarkan memorandum itu dari laman web mereka. Persoalannya, kenapa kalut sekiranya mereka berada di pihak yang benar? Dr. Mohd Asri telah memberi mereka 7 hari untuk mengemukakan bukti atas kandungan memorandum tersebut. Laporan media tentang isu memorandum ini boleh di baca di : Akhbar Kosmo dan Sinar Harian hari Ahad, Harakah daily dan MStar online. Kita tunggu dan lihat respond dari para-para peguam yang Syarie yang tentu lebih arif dalam perkara memberikan bukti yang benar lagi tepat ke atas segala keterangan mereka.


KEDUA : Tentang isu penangkapan JAIS malam tadi, akob berada di sana semenjak awal ceramah. ketika kedatangan pihak JAIS sehinggalah semasa Dr Mohd Asri di bawa ke Balai polis. Alasan penangkapan kerana melanggar Seksyen 119 berkaitan ajaran ilmu agama yang dibuat tanpa tauliah. Bila akob masuk pejabat pagi tadi ramai sahabat yang bertanyakan kepada akob tentang isu ini. Persoalan utama mereka, “Kenapa seorang yang pernah bergelar Mufti perlukan tauliah untuk berceramah tentang agama?” “Orang hendak mengajar tentang agama pun nak kena tangkap ke?” Mereka yang awam pun mengerti isu ini dan boleh menghidu selective persecution yang cuba dilakukan oleh sesetengah pegawai JAIS. Kita kenal siapa dalang di sebalik semua isu ini dan semoga Allah memberi hidayah kepada mereka semua. Akob mengutuk keras tindakan yang agak kurang matang oleh JAIS dalam kes penangkapan ini.

Alhamdulillah sokongan yang luar biasa telah diberikan kepada Dr Mohd. Asri. Ia telah melangkau segala perbezaan yang terdapat dalam parti-parti politik. Hari ini (2/11/2009) di perkarangan Pejabat Agama Islam Daerah Gombak kelihatan wakil kepada Senator Datuk Jamil Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, wakil-wakil Umno, PAS dan PKR, beberapa orang peguam, Ahli Parlimen Titiwangsa, YB Dr Lo' Lo' Hj Ghazali, Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS, Azman Shafawi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Klang, YB Saari Sungib, Ahli Parlimen PKR Ampang, YB Zuraida Kamaruddin dan 100 orang lain hadir (Laporan MStar online) . Ajaib, isu ini telah menyebabkan mereka yang sering bertelagah pendapat dalam isu politik tetapi telah bersatu dalam membela insan yang bernama Dr. Mohd Asri.

Bagi akob kes ini mempunyai hikmah yang hanya Allah SWT sahaja yang tahu. Sekiranya tragedi 911 menyebabkan masyarakat di Amerika dan Eropah curious tentang Islam. Terjemahan Al-Qur'an menjadi buku yang paling laris terjual dan terdapat peningkatan yang mendadak dalam jumlah mereka yang menganut Islam di sana. Isu ini bagi akob akan menyebabkan orang ramai semakin ingin tahu tentang perjuangan Dr Mohd Asri dan sahabat-sahabatnya. Insya Allah. Stay online with us di http://www.al-fikrah.net/ untuk mengetahui berita terkini tentang kes Dr Mohd Asri ini.

Tiada ulasan: