Isnin, 19 Januari 2009

Gong Xi Fa Cai dan Ilmu Astrologi


ILMU ASTROLOGI MENCEMARI KEMURNIAAN TAUHID
Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus


Setiap kali munculnya Tahun Baru Cina maka ramai di kalangan rakyat Malaysia yang berminat dengan ramalan yang dikeluarkan oleh pakar-pakar ramal berkaitan dengan tahun yang bakal mendatang. Lantaran itu pelbagai telahan akan dikeluarkan oleh mereka berkaitan dengan aspek ekonomi, politik, kemasyarakatan, kehidupan individu dan lain-lain lagi. Budaya ramalan sebegini sebenarnya bukanlah ekslusif milik kaum Cina sahaja malah ianya juga wujud dalam pelbagai masyarakat yang lain. Masyarakat Arab pada zaman jahiliyah juga amat terpengaruh dengan tilikan tukang ramal sebegini. Malah penduduk di negara-negara barat turut terdorong untuk mempercayai ramalan horoskop. Mereka membahagikan individu mengikut bintang-bintang melalui tarikh lahir mereka seperti Aries, Pisces, Sagitarius dan lain-lain. Menerusi bintang-bintang ini mereka meramalkan apa yang bakal berlaku kepada individu tersebut sepanjang tahun, bulan bahkan setiap hari. Ramalan-ramalan horoskop sebegini turut diberikan ruangan khusus dalam beberapa akhbar-akhbar harian di Malaysia. Ini semua membuktikan bahawa hal-hal sebegini memiliki pengaruh yang besar dalam masyarakat kita. Jika diteliti asal-usul kebanyakan ilmu-ilmu ramalan ini maka sebahagian besar darinya adalah berpandukan kepada pergerakan bintang-bintang di langit atau ilmu astrologi. Itulah sebabnya bagi masyarakat Melayu tukang ramal ini juga dikenali sebagai ahli nujum. Perkataan nujum itu berasal dari bahasa arab najm yang bermaksud bintang. Menurut Imam Ibnu Taymiyyah r.h Tanjim adalah meramal kejadian-kejadian di bumi berdasarkan petunjuk keadaan bintang.

Sekiranya kita menyemak firman-firman Allah S.W.T. di dalam al-Qur’an maka kita dapati terciptanya bintang-bintang di langit dan pergerakan-pergerakannya bukan berperanan untuk menentukan kebaikan atau keburukan perjalanan hidup makhluk Allah S.W.T di atas muka bumi ini. Peranan bintang-bintang adalah sebagai perhiasan di langit, penunjuk arah perjalanan dan sebagai pelempar syaitan. Ini adalah sebagaimana yang diperjelaskan oleh Allah S.W.T. melalui firman-firman-Nya:

Dan demi sesungguhnya! Kami telah menghiasi langit yang dekat (pada penglihatan penduduk bumi) dengan bintang-bintang, dan Kami jadikan bintang-bintang itu punca rejaman terhadap syaitan-syaitan; dan Kami sediakan bagi mereka azab neraka yang menjulang-julang. – al-Mulk (67) : 5

Dan (Dia mengadakan) tanda-tanda panduan jalan, dan dengan bintang-bintang (pada waktu malam) mereka dapat mengetahui arah yang hendak dituju. - Al-Nahl (16) : 16

Seorang Tabi’in yang terkemuka Imam Qatadah r.h telah berpendapat bahawa bagi sesiapa yang melihat hikmah kejadian bintang itu selain dari tiga perkara di atas termasuk untuk menetapkan atau meramalkan apa yang bakal berlaku telah menyanggahi syarak. Katanya:

Penciptaan bintang-bintang ini (oleh Allah S.W.T.) hanya untuk tiga hal; penghias langit, pelempar syaitan dan tanda bagi orang untuk mengenali arah. Maka barangsiapa menafsirkan selain dari itu, dia telah salah dan mengsia-siakan bahagiannya dan memaksakan diri dalam sesuatu yang dia tidak mengetahuinya. – Riwayat Imam al-Bukhari secara mu’allaq di dalam Shahihnya.

Ilmu ramalan sebegini atau dikenali sebagai astrologi mencemari kemurniaan tauhid dan boleh membawa kepada amalan syirik kerana seseorang yang mengamal atau mempercayainya telah menyandarkan sesuatu kejadian kepada sesuatu selain daripada kekuasaan Allah S.W.T. dengan menyakini perkara tersebut boleh membawa mudarat atau manfaat kepada kita. Islam meletakkan kejadian sesuatu perkara itu bergantung kepada kehendak Allah S.W.T semata-mata. Firman-Nya:

Katakanlah (wahai Muhammad): "Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal". – al-Taubah (9) : 51

Menyandarkan sesuatu musibah itu berlaku bersangkutan dengan gerakan atau kedudukan bintang adalah perbuatan yang tercela kerana segala sesuatu itu ditetapkan oleh Allah S.W.T. tanpa ada faktor lain yang mempengaruhi keputusan-Nya. Firman Allah S.W.T.:

Ketahuilah, sesungguhnya nahas dan malang mereka itu hanya di tetapkan di sisi Allah, akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui. – al-A’raaf (7) : 131

Mungkin ada yang menganggap terdapat tilikan-tilikan daripada ahli nujum ini benar-benar menjadi realiti. Pada hakikatnya dia hanya benar dalam beberapa tilikan sahaja tetapi telah salah dalam beribu-ribu tilikan yang lain. Tilikan yang benar itu pula bukan berdasarkan ilmu yang benar, cuma secara kebetulan sahaja ianya bertepatan dengan takdir yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T.. Adakalanya tilikan mereka ini juga dibantu oleh oleh jin yang membisikkan ke telinga pengikutnya dan bisiskan jin ini walaupun adakalanya benar tetapi kebanyakannya adalah dusta dan bertujuan untuk memporak-perandakan hidup manusia. Aisyah r.a pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w:

Wahai Rasulullah, sesungguhnya orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib lazimnya mengkhabarkan kami dengan sesuatu kemudian kami dapati ia adalah benar. Rasulullah menjawab: Ia adalah kalimah (perkara) benar yang diambil seorang jin lalu dibisikkan kepada telinga pengikutnya, kemudian dibuat tambahan padanya dengan seratus kedustaan. – Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahihnya no: 2228

Rasulullah s.a.w. sendiri telah mencela dengan keras ilmu astrologi ini dan memberi amaran bahawa ia termasuk dalam ilmu sihir yang diharamkan. Sabdanya:

Barangsiapa mempelajari sebahagian dari ilmu nujum (mengkaji bintang-bintang untuk membuat ramalan), maka dia telah mempelajari sebahagian dari sihir. Semakin bertambah (ilmu yang dia pelajari), semakin bertambah pula (dosanya). - Hadis riwayat Imam Ahmad, Abu Dawud dan Ibnu Majah daripada Ibnu ‘Abbas r.a

Di antara perkara yang amat dikhuatiri oleh baginda sekiranya menimpa umatnya adalah menularnya budaya mempercayai ramalan ahli nujum. Sabdanya:

Aku mengkhuatiri tiga hal pada umatku; kezaliman para Imam, percaya kepada nujum, dan dusta terhadap takdir. – Hadis riwayat Ibnu Asakir daripada Abu Mihjan dan Imam al-Suyuthi menyatakan hadis ini hassan

Rasulullah s.a.w. juga menyatakan bahawa bagi sesiapa yang menemui tukang ramal termasuk mereka yang menggunakan ilmu astrologi ini dan memprcayai ramalannya maka solatnya tidak diterima selama empat puluh hari. Sabdanya:

Barangsiapa mendatangi tukang ramal dan bertanyakan kepadanya tentang sesuatu lalu dia membenarkan apa yang dikatakannya, maka solatnya tidak diterima selama empat puluh hari. – Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahihnya, no: 2230

Menurut baginda mempercayai tukang ramal dan ahli nujum adalah salah satu dari perkara yang berbentuk kekafiran. Sabdanya:

Barangsiapa mendatangi dukun atau ‘arraaf (tukang ramal), lalu dia membenarkan apa yang dikatakannya, maka dia telah kafir terhadap apa yang diturunkan kepada Muhammad s.a.w. - Hadis riwayat Imam Ahmad di dalam Musnadnya no: 9171.

Sewajarnya seluruh umat Islam menghindarkan diri dari bertemu tukang ramal, membaca ataupun mempercayai ramalan-ramalan menurut ilmu astrologi sebegini. Kita wajib meyakini segala ilmu tentang perkara yang ghaib seperti perkara yang bakal terjadi pada masa hadapan itu hanyalah milik Allah S.W.T. dan makhluk Allah seperti bintang tidak memilki ilmu-ilmu ghaib tersebut. Firman-Nya:

Katakanlah lagi: Tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah!" – al-Naml (27) : 65

Sekiranya kita meletakkan sesuatu makhluk lain seperti peredaran bintang-bintang sebagai punca terjadinya sesuatu perkara pada masa hadapan maka ia termasuk dalam kategori perbuatan syirik. Ternyata syirik merupakan satu perbuatan yang zalim dan Allah S.W.T. tidak akan mengampunkan golongan yang mengsyirikan-Nya melainkan bagi mereka yang bertaubat. Firman-Nya:

Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:" Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar". - Luqman (31) : 13

Firman-Nya lagi:

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa orang yang mempersekutukan-Nya dengan sesuatu dan akan mengampunkan (dosa) selain kesalahan (syirik) bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu, sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh." – Surah al-Nisa' (4) : 116.

Namun begitu pengkajian pergerakan bintang-bintang, bulan dan matahari bagi menentukan arah angin, arah kiblat, arah sesuatu tempat, keadaan cuaca, kiraan hari, taburan hujan dan lain-lain yang mengikuti kaedah saintifik adalah dibenarkan. Dalam erti kata lain Islam mengiktiraf penggunaan bintang-bintang dalam bidang astronomi dan ilmu falak. Ibnu Rajab r.h menyatakan bahawa diperbolehkan dalam mempelajari ilmu peredaran bintang dan bukan ilmu pengaruh (kedudukan bintang tersebut dalam kehidupan kita) kerana hal itu merupakan suatu bentuk kebatilan dan keharaman baik sedikit mahupun banyak. Adapun ilmu peredaran bintang-bintang jika mempelajari apa yang diperlukan sebagai petunjuk jalan dan mengetahui arah kiblat maka hal tersebut diperbolehkan oleh majoriti ulamak.

4 ulasan:

Mohd Yaakub bin Mohd Yunus berkata...

Wa'alaikumussalaam Warahmatullah

Terima atas minat anda terhadap blog ini dan artikel-artikel saya.

Anda boleh terbitkan mana-mana artikel yg saya tulis

Sekiranya ada memerlukan maklumat lanjut boleh hubungi saya di akob73@yahoo.com

sekian wasalaam

milan berkata...

Salam,
Tahniah Bo Akob.semoga bertambah ramai yang mendapat manfaat dari artikel saudara.
Saya nak tanya, (1) boleh tak pegi ziarah rumah jiran cina di Tahun Baru Cina yang bakal mrk sambut tak lama lagi ni.

(2) Boleh tak ucapkan pada kaum cina Xong Xi Fa Chai atau Selamat Menyambut Tahun Baru.

Tanpa Nama berkata...

mcmana pula ilmu meramal nasib melalui tarikh lahir yg begitu popular akhir-akhir ini?

mcamana dgn ilmu 'menilik' melalui tapak tangan?..

Mungkin sdr boleh mengkaji juga tentang 'remote viewing' yang sudah pun menjadi sains yang boleh dikaji dan boleh diaplikasikan oleh sesiapa saja (melalui ilmu dan latihan tertentu)

# remote viewing membolehkan manusia melihat peristiwa masa lalu, masa kini (walaupun di tempat beribu-ribu batu jauhnya) dan masa akan datang.

Saya percaya qada' dan qadar Allah itu begitu rahsia dan tersembunyi..tiada siapa pun mengetahuinya..pun begitu, melalui kebolehan dan keupayaan manusia berfikir dan mengkaji, perkara-perkara yang tidak terjangkau akal fikiran kita selama ini, boleh dicapai.

moralnya..Ilmu dan Rahsia Allah itu terlalu agung dan luas.tidak boleh dijangkau dgn logik akal dan tafsiran sembrono..

.:GaDiS KaLiS PeLuRu:. berkata...

amat berguna...nice blog