Isnin, 12 Januari 2009

Menjawab Artikel ‘Cinta Asyura Dan Karbala’ di Utusan


Assalaamu'alaikum

Artikel ini merupakan bantahan terhadap sebuah artikel yang dikarang oleh wartawan Utusan Malaysia yang terdapat berberapa unsur berbau Syi'ah. Ianya di karang oleh Ustaz Mohd Aizam bin Mas’od dari Caw. Aqidah Bah. Penyelidikan JAKIM. Untuk membaca artikel yang telah disirakan dalam Utusan Malaysia tersebut sila ke alamat di bawah


Nasihat akob berhati-hati dengan jarum Syi'ah. Hendak bekerjasama dengan Hizbullah atau Iran dalam memerangi musuh-musuh Islam tidak bermakna untuk kita mengiktiraf pegangan atau akidah mereka yang sesat lagi menyesatkan.

Sekian Wassalaam


Jawapan Artikel ‘Cinta Asyura Dan Karbala’


Oleh: Mohd Aizam bin Mas’od ( Caw. Aqidah Bah. Penyelidikan JAKIM )


Sumber : http://www.islam.gov.my/

Penulis agak terkejut apabila terbaca artikel bertajuk ‘Cinta Asyura dan Karbala’ tulisan wartawan Utusan Malaysia, Helmi Mohd. Foad (HMF) bertarikh 7 Januari 2009. Apakah ia suatu dakyah Syiah atau keikhlasan untuk menyatakan kebenaran? Kalau pun jawapannya sebuah keikhlasan, ia masih boleh diragukan. Mengapa dibangkitkan isu aqidah Sunni-Syiah di sebalik apa yang melanda bumi Gaza? Mengapa pula isu Palestin dikaitkan dengan semangat Asyura dan Karbala? Apakah umat Islam perlu disyiahkan agar Zionis mampu ditumbangkan?

Jelas! Artikel ini hanya menyajikan fakta yang dangkal sama sekali. Tidak diketahui sama ada ia ditulis oleh seorang penganut Syiah atau kerana tertarik dengan Syiah. Menyeru umat Islam di sebuah negara berpegangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah supaya meniru sambutan Asyura dengan mengingati peristiwa Karbala seperti di Iran, Iraq dan Pakistan adalah sesuatu yang biadap. HMF cuba beralasan dengan mengiaskan sambutan tersebut tiada bezanya dengan sambutan Maal Hijrah yang juga tiada dalilnya menurut al-Qur’an dan al-Sunnah.

Kiasan palsu yang direka oleh HMF ini langsung tidak mengenai ‘illah (alasan) antara dua sambutan tersebut. Bukankah sambutan Maal Hijrah ialah sambutan memperingati perjuangan Rasulullah SAW dan umat Islam dalam melakukan hijrah dari Makkah ke Madinah al-Munawwarah. Tiada sesiapa pun di kalangan umat Islam tanpa mengira apa jua ideologi dan mazhab yang mengingkari fakta sejarah ini. Justeru, apa pula ‘illah sambutan mengingati peristiwa Karbala diadakan? Perjuangan apakah sebenarnya yang mahu dibangkitkan melalui peristiwa tersebut? Atau ia hanya satu bentuk penyesalan dan keinsafan yang kononnya mahu ditonjolkan oleh satu pihak terhadap pengkhianatan yang dilakukan oleh tangan mereka sendiri!

Bid’ah Asyura tajaan Syiah
Mengaitkan hari Asyura iaitu 10 Muharram sebagai hari memperingati peristiwa Karbala juga amat menyalahi konsep kesyukuran yang dinyatakan oleh Nabi SAW pada hari tersebut. Ini sebagaimana yang diriwayatkan oleh hadith Rasulullah SAW yang sahih: “Rasulullah SAW tiba di Madinah, lalu beliau melihat orang-orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura (tanggal 10 Muharram), maka beliau bertanya: “Hari apakah ini?” Mereka menjawab: “Ini adalah hari yang baik. Ini adalah hari di mana Allah menyelamatkan Bani Israil dari musuhnya, maka Musa AS berpuasa pada hari itu kerana syukur kepada Allah. Dan kami berpuasa pada hari itu untuk mengagungkannya.” Nabi SAW bersabda: “Aku lebih berhak atas Musa daripada kalian”, maka Nabi berpuasa Asyura dan memerintahkan puasanya”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Itulah cara memperingati hari Asyura, sesuai dengan apa yang telah diamal dan diajarkan oleh Rasulullah SAW beserta para sahabatnya dan sesuai dengan apa yang dilakukan oleh Saiyidina Ali ra dan Saiyidina Husin ra serta seluruh Ahlul Bait dan keturunannya sampai kini.

Namun apabila syahidnya Saiyidina Husin ra di bumi Karbala pada 10 Muharram tahun 61 hijrah, tercetuslah satu bid’ah yang menyesatkan. Asyura mula dijadikan oleh Syiah sebagai hari berkabung, duka cita, dan menyiksa diri sebagai ungkapan dari kesedihan dan penyesalan. Pada setiap kali Asyura, mereka memperingati kematian Saiyidina Husin dengan melakukan perbuatan-perbuatan tercela seperti berkumpul sambil menangis dan meratapi bagaikan histeris. Mereka juga mengadakan perarakan di jalan-jalan dan pasar-pasar sambil memukul tubuh dengan rantai besi, melukai kepala dengan pedang, mengikat tangan dan sebagainya. (Al-Tasyayyu’ Wasy-Syi’ah, Ahmad al-Kisrawiy al-Syi’iy, hal.141, Tahqiq Dr. Nasyir al-Qifari).

Persoalannya mengapakah Syiah tergamak melakukan perbuatan sehingga ke tahap yang sedemikian rupa? Apakah pendorong yang menyebabkan peristiwa Karbala menjadi sesuatu yang amat signifikan bagi puak Syiah? Jawapannya mudah. Ini kerana Syiah sendiri adalah pencetus kepada peristiwa pembunuhan Saiyidina Husin di Karbala!

Syiah pencetus peristiwa Karbala
Golongan Syiah sepatutnya tidak leka untuk mengkaji catatan para ulama mereka yang muktabar menerusi kitab-kitab utama mereka. Umpamanya di dalam Al-Ihtijaj 'Ala Ahlil Lajaj, Ahmad bin Ali bin Abi Talib al-Thabarsi menulis bahawa Imam Ali Zainal Abidin anak Saiyidina Husin ra yang ikut serta dalam rombongan Husin ra ke Kufah telah berkata kepada penduduk Kufah, “Wahai manusia (orang-orang Kufah)! Dengan Nama Allah aku bersumpah untuk bertanya kamu, ceritakanlah! Tidakkah kamu sedar bahawasanya kamu mengutuskan surat kepada ayahku (menjemputnya datang), kemudian kamu menipunya? Bukankah kamu telah memberikan perjanjian taat setia kamu kepadanya? Kemudian kamu membunuhnya, membiarkannya dihina. Celakalah kamu kerana amalan buruk yang telah kamu lakukan untuk dirimu”.(Al-Ihtijaj juz 2 hal. 306)

Pada halaman sebelumnya al-Thabarsi mengemukakan kata-kata Fatimah al-Shughra anak perempuan Saiyidina Husin ra kepada penduduk Kufah, “Wahai Penduduk Kufah, wahai pembelot dan pengkhianat! Kami adalah Ahlul Bait yang Allah Ta'ala menguji kami dengan kamu dan menguji kamu dengan kami”, seterusnya selepas memuji-muji kedudukan Ahlul Bait beliau berkata lagi, “Kamu telah membunuh kami dan merampas harta benda kami sebagaimana kamu telah membunuh datuk kami Ali ra. Pedang-pedang kamu sentiasa menitiskan darah-darah kami Ahlul Bait”.(Al-Ihtijaj juz 2 hal 302).

Mulla Baqir al-Majlisi yang diberikan gelaran Khatimatul Muhaddithin (penyudah kepada ahli-ahli hadith) di sisi Syiah menukilkan kata-kata Saiyidina Husin ra kepada Syiah Kufah yang telah bersiap untuk bertempur dengan beliau, “Wahai orang-orang Kufah! Semoga kamu dilaknat sebagaimana dilaknat maksud-maksud jahatmu. 3Wahai orang-orang yang curang, zalim dan pengkhianat! Kamu telah menjemput kami untuk membela kamu di waktu kesempitan tetapi bila kami datang untuk memimpin dan membela kamu dengan menaruh kepercayaan kepadamu maka sekarang kamu hunuskan pedang dendammu kepada kami dan kamu membantu musuh-musuh dalam menentang kami”.(Jilaau al'Uyun,hal 391).

Di dalam kitab A'yanus Syi'ah pengarangnya Sayyid Muhsin al-Amin mengatakan bahawa, “Seramai dua puluh ribu penduduk Iraq telah berbai'ah kepada Husin kemudian mereka mengkhianatinya lalu memberontak terhadapnya dalam keadaan bai'ah masih lagi berada di tengkuk-tengkuk mereka dan membunuhnya”.(A'yanus Syi'ah jilid 1 hal 34).

Dan banyak lagi kitab-kitab Syi'ah menukilkan perkara yang sama seperti Al-Irsyad Syeikh Mufid hal. 234, I'lamul Wara hal. 242, Kasyful Ghummah jilid 2 hal 18 dan lain-lain lagi.

Berdasarkan kepada segala fakta yang dikemukakan di atas dapatlah disimpulkan bahawa Syiah Kufah adalah pencetus peristiwa Karbala dan pembunuh Saiyidina Ali ra. Inilah yang menjadi punca ratapan dan penyesalan mereka yang tidak berkesudahan. Malah pengakuan Syiah pembunuh-pembunuh Saiyidina Husin ini diabadikan oleh ulama-ulama Syiah yang merupakan rujukan agama mereka seperti Baqir Majlisi, Nurullah Syustri dan lain-lain di dalam buku masing-masing.

Baqir Majlisi menulis: “Sekumpulan orang-orang Kufah terkejut oleh satu suara ghaib. Maka berkatalah mereka, " Demi Tuhan! Apa yang telah kita lakukan ini tak pernah dilakukan oleh orang lain. Kita telah membunuh "Ketua Pemuda Ahli Syurga" kerana Ibn Ziad anak haram itu. Di sini mereka mengadakan janji setia di antara sesama mereka untuk memberontak terhadap Ibn Ziad tetapi tidak berguna apa-apa”. (Jilaau al-'Uyun, hal. 430)

Qadhi Nurullah Syustri pula menulis di dalam bukunya Majalis al-'Mu'minin bahawa selepas sekian lama (lebih kurang 4 atau 5 tahun) Saiyidina Husin terbunuh, ketua orang-orang Syiah mengumpulkan orang-orang Syiah dan berkata, “Kita telah memanggil Saiyidina Husin dengan memberikan janji akan taat setia kepadanya, kemudian kita berlaku curang dengan membunuhnya. Kesalahan kita sebesar ini tidak akan diampunkan kecuali kita berbunuh-bunuhan sesama kita ". Dengan itu berkumpullah sekian ramai orang-orang Syiah di tepi Sungai Furat sambil mereka membaca ayat yang bermaksud, " Maka bertaubatlah kepada Tuhan yang telah menjadikan kamu dan bunuhlah dirimu. Itu adalah lebih baik bagimu pada sisi Tuhan yang menjadikan kamu”.(Al Baqarah :54) Kemudian mereka berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Inilah golongan yang dikenali dalam sejarah Islam dengan gelaran “al-Tawwabun”.

Sejarah juga tidak akan melupai peranan Syits bin Rab'ie dalam pembunuhan Saiyidina Husin di Karbala. Tahukah anda siapa itu Syits bin Rab'ie? Dia adalah seorang Syiah pekat, pernah menjadi duta kepada Saiyidina Ali dalam peperangan Siffin, sentiasa bersama Saiyidina Husin. Dialah juga yang menjemput Saiyidina Husin ke Kufah untuk mencetuskan pemberontakan terhadap kerajaan pimpinan Yazid, tetapi apakah yang telah dilakukan olehnya?

Sejarah memaparkan bahawa dialah yang mengepalai 4,000 orang bala tentera untuk menentang Saiyidina Husin dan dialah orang yang mula-mula turun dari kudanya untuk memenggal kepala Saiyidina Husin. (Jilaau al-'Uyun dan Khulashat al-Mashaaib, hal. 37)

Inilah peristiwa sebenar di sebalik apa yang berlaku. Bagaimana mungkin Syiah menafikan keterlibatan mereka? Sedangkan sejarah Karbala ditulis oleh tangan-tangan mereka sendiri. Namun sudah menjadi tabiat buruk mereka, pemalsuan dan pembohongan sentiasa disandarkan kepada golongan Sunni. Hanya kerana satu sebab. Dendam kesumat yang tidak pernah kan padam walau di telan arus zaman dan masa. Kerana itu, HMF sempat menukilkan kata-kata, “Tetapi peristiwa penjarahan kejam terhadap Hussin, ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya oleh tentera Umar bin Saad di Karbala membuka lembaran sejarah kepada umat”.

Tuduhan
Alangkah celuparnya kata-kata ini apabila menyandarkan pembunuhan Saiyidina Husin kepada anak seorang sahabat besar Baginda SAW iaitu Umar bin Saad bin Abi Waqqas. Tidak mungkin sama sekali kita menerima Umar bin Saad telah melakukan keganasan dan penghinaan sebegitu rupa sebagaimana yang dinyatakan di dalam buku-buku sejarah kerana ia bertentangan dengan riwayat Abu Mikhnaq Lut bin Yahya sendiri bahawa perawi berkata, “Seolah-olah aku masih lagi nampak airmata Umar bin Saad yang mengalir membasahi pipi dan janggutnya”. (Tarikh al-Thabari jilid 4 m.s. 245)

Orang yang sekejam dan seganas seperti yang digambarkan oleh sejarah itu tidak mungkin akan menangisi kematian orang yang dibunuhnya sampai begitu sekali bahkan sebaliknya tangisannya itu menunjukkan kesedihannya yang amat sangat di atas kematian Saiyidina Husin yang telah dibunuh secara zalim itu.

Selain dari itu Umar bin Saad ini telah disebut oleh Ibn Saad di dalam ‘Thabaqat’ nya dalam senarai peringkat yang pertama dari kalangan tabiin penduduk Madinah. Hafiz Ibn Hajar pula menyenaraikan nama-nama orang yang meriwayatkan hadith daripadanya. Kata Hafiz Ibn Hajar, “Umar bin Saad bin Abi Waqqas Az Zuhri Abu Hafas Al Madani” tinggal di Kufah. Beliau telah meriwayatkan hadith daripada ayahnya dan dari Abi Sa’id Al Khudri. Sementara orang-orang yang meriwayatkan hadith- hadith daripadanya ialah anaknya Ibrahim dan cucunya Abu Bakar bin Hafas, Abu Ishaq As-Sabi’i, Aizar bin Hiraits, Yazid bin Abi Maryam, Qatadah, Suhri, Yazid bin Abi Habib dan lain-lain lagi”.

‘Ijli pula berkata, “Beliau meriwayatkan beberapa hadith daripada ayahnya dan beliau adalah seorang tabii yang thiqah (yang dipercayai)”. (Tahzib al-Tahzib jilid7 hal. 396)

Kenyataan Hafiz Ibn Hajar ini menunjukkan bahawa Umar bin Saad adalah seorang yang dipercayai oleh ulama mutaqaddimin yang digolongkan sebagai orang yang dipercayai dalam periwayatan mereka. Sekiranya keganasan dan kezaliman terhadap Saiyidina Husin dan rombongannya berlaku kerana angkara Umar bin Saad, bagaimana mungkin para ulama yang ulung dalam periwayatan hadith menerimanya sebagai seorang yang adil lagi thiqah? Kenyataan ini juga menunjukkan bahawa kisah-kisah kezaliman yang dihubungkan kepada Umar bin Saad itu tidak dapat diterima oleh ahli ilmu dan cerdik pandai Islam.

Larangan meratap

Setelah memahami isu di atas, kita boleh menyimpulkan tiada kena mengena sama sekali antara sambutan mengingati peristiwa Karbala anjuran Syiah dengan perjuangan membebaskan bumi Palestin daripada cengkaman Zionis. Hari Asyura yang berkonsepkan Karbala itu tidak pernah dan tidak akan menjadi tradisi di kalangan penganut Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Malah tradisi Sunni ialah berpegang kepada ajaran al-Qur’an dan al-Sunnah.

Al-Sunnah dengan jelas menyebut perbuatan meratapi si mati sehingga menampar-nampar muka dan dada, menyeksa diri dengan melukakan tubuh serta kepala adalah amalan jahiliyyah dan diharamkan berdasarkan kepada hadith Rasulullah SAW. Imam Bukhari dan Muslim telah meriwayatkan hadith daripada Ibnu Mas'ud ra bahawa Nabi SAW telah bersabda, “Bukan dari kalangan kami orang yang memukul-mukul pipi, mengoyak-ngoyak kolar baju dan menyeru dengan seruan jahiliyyah”. (Sahih Bukhari Kitab al-Jan’aiz dan Muslim Kitab al-Iman).

Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Abu Malik al-Asy’ari bahawa Rasulullah SAW telah bersabda, “Meratap adalah termasuk dari amalan jahiliyyah, orang yang meratap bilamana dia meninggal dunia dalam keadaan tidak sempat bertaubat, Allah akan memakaikan kepadanya pakaian dari minyak tar (yang panas) dan baju dari nyalaan api neraka”.(Sunan Ibnu Majah bab larangan dari meratap).

Dua hadis yang tersebut di atas membuktikan bahawa amalan tersebut dilarang oleh Rasulullah SAW dengan disertai janji azab di Hari Qiamat kelak bagi orang yang melakukannya. Kerana itu tiada ulama di kalangan Ahli Sunnah yang mengharuskannya apa lagi untuk melakukannya serta menjadikannya sebagai satu syiar.

Sunni pejuang bumi Palestin
Syiah juga tidak boleh menjadikan alasan kononnya syiar perayaan Karbala itu terbukti kemujarabannya melalui kelantangan Iran mencabar kebiadapan Amerika Syarikat. Begitu juga kemenangan Hizbullah mengusir Zionis di selatan Lubnan. Jika itu penilaiannya, setujukah jika dikatakan golongan Sunni lebih berhak mendapat pengiktirafan ‘al-haq’ berbanding Syiah kerana sejarah membuktikan Baitul Maqdis hanya berjaya dibebaskan oleh golongan Sunni.

Renungkan! Siapakah orang Islam pertama yang membebaskan Palestin setelah ia diperintah selama 12 kurun oleh kerajaan Babilon, Yunani, Parsi dan Rom? Bukankah beliau ialah Khalifah Islam kedua, Saiyidina Umar al-Khattab ra. Beliaulah yang telah berjaya membebaskan bumi Palestin dan merebut kembali Baitul Maqdis melalui satu penyerahan terhormat yang dilakukan oleh Ketua Paderi Safraneus pada tahun ke-17 hijrah bersamaan tahun 638 masihi. Panji Islam terus mengibar di bumi suci ini sehingga 12 kurun lamanya hasil daripada kegigihan yang ditunjukkan oleh Saiyidina Umar serta usaha yang telah dirintis pada awalnya oleh Saiyidina Abu Bakar al-Siddiq ra.

Lalu apa kata Syiah terhadap sahabat agung ini? Lihat sahaja, bagaimana ketika umat Islam berduka di atas kesyahidan Saiyidina Umar di tangan Abu Lu'luah yang beragama Majusi itu. Tetapi Syiah sebaliknya merasa gembira dengan tragedi itu. Mereka menggelarkan Abu Lu'luah dengan Baba Syuja'uddin (Wira Agama) sebagai menghargai keberaniannya. (Ringkasan Syiah Mazhab Imam Dua Belas: Shah Abdul Aziz al-Dahlawi. DBP. hal. 455).

Ali bin Muzahir al-Wasiti meriwayatkan daripada Ahmad ibn Ishaq (seorang tokoh Syiah di Qum dan dianggap telah mendapat kehormatan yang besar kerana bertemu dengan Imam Hasan al-Askari, Imam kesebelas Syiah) bahawa dia berkata,"Hari ini (hari Abu Lu'luah membunuh Sayyidina Umar) adalah hari raya besar, hari kebangsaan, hari berkat dan hari hiburan. "

Adakah ini balasan Syiah kepada seorang wira agama yang telah berjaya membebaskan bumi Palestin?

Perhatikan pula, siapakah yang telah membebaskan Palestin buat kali kedua selepas ia jatuh ke tangan tentera Salib pada 15 Julai 1099? Sejarah mencatatkan sewaktu penaklukan berlaku, tentera Salib telah menyembelih penduduk awam Islam lelaki, perempuan dan kanak-kanak dengan teramat ganas. Mereka turut membantai orang-orang Yahudi dan orang-orang Kristian yang enggan bergabung dengan kaum Salib. Keganasan yang melampau itu telah dikutuk dan diperkatakan oleh para saksi dan penulis sejarah yang terdiri daripada pelbagai agama dan bangsa. Justeru, siapakah akhirnya yang telah membebaskan bumi suci ini daripada tentera Salib? Adakah ia seorang Syiah?

Sekali-kali tidak! Malah beliau ialah seorang pejuang Ahli Sunnah tulen iaitu Sultan Salahuddin al-Ayyubi. Baginda lahir pada tahun 1138M. Keluarga Salahuddin merupakan keturunan yang taat beragama dan berjiwa pahlawan. Kelahiran Sultan Salahuddin al-Ayyubi ke dalam dunia Islam telah memberikan kekuatan baru kepada umat Islam pada zaman tersebut. Akhirnya pada hari Jumaat 27 Rejab 538H Sultan Salahuddin bersama kaum Muslimin telah berjaya memerdekakan Baitul Maqdis. Iaitu setelah hampir 92 tahun kota tersebut ditakluk oleh tentera Salib.

Dalam pada itu, Sultan Salahuddin tidak pernah melupai peranan Syiah Fatimiyyah Mesir yang menyumbang kepada kejatuhan Palestin ke tangan tentera Salib. Kerana itu, sebelum melancarkan perang ke atas tentera Salib, beliau terlebih dahulu membersihkan bumi Mesir daripada golongan Syiah Fatimiyyah.

Sejarah membuktikan bahawa di Tripoli, Ibnu Ammar, seorang hakim dan salah seorang pengikut Fatimiyyah telah mengirim delegasi kepada tentera Salib dan mengutarakan keinginan untuk bekerjasama dengan mengusulkan agar mereka (tentera Salib) dapat memerangi puak Saljuk supaya nanti wilayah utara Syria berada di bawah kekuasaan tentera Salib dan Palestin di bawah dominasi Fatimiyyah. Namun, setelah pengkhianatan demi pengkhianatan dilakukan, tentera Salib berjaya menduduki Ramallah, Lod dan Bethlehem. Pada 7 Jun 1099, pengepungan wilayah Baitul Maqdis dilakukan. Akhirnya kota ini dikuasai oleh tentera Salib pada 15 Julai 1099 iaitu ketika di bawah penguasaan Iftikhar al-Daulah, penguasa daripada kerajaan Syiah Fatimiyyah. Apakah Syiah tidak mengetahui sejarah ini?

Golongan Sunni juga mustahil untuk melupakan pengkhiatan Syiah terhadap kerajaan Bani Abbasiyyah. Dua orang Syiah yang menjadi menteri kepada Khalifah al-Musta’sim Billah, iaitu Muhammad ibn al-‘Alqami dan Nasiruddin al-Tusi adalah manusia yang bertanggungjawab di atas pembunuhan umat Islam secara besar-besaran oleh tentera Monggol selama 40 hari berturut-turut. Setelah itu, kedua-dua mereka dilantik menjadi menteri kepada Hulagu sebagai ganjaran menjayakan misi menjajah Baghdad. Ibnu Kathir menyebut, jumlah korban pada saat itu mencecah ke angka 800,00 atau satu juta orang.

Malangnya, pengkhianatan yang dilakukan oleh kedua-dua manusia ini, mendapat pengiktirafan dan penghargaan daripada pemimpin agung Syiah, al-Khomeini. Sebagai contoh, dalam bukunya al-Hukumah al-Islamiyyah halaman 128, al-Khomeini menyebut, “Sekalian orang merasa kerugian di atas kehilangan al-Khawwajah Nasiruddin al-Tusi dan selainnya, dari mereka yang telah menyumbangkan khidmat yang agung buat Islam”.

Apakah pencetus kepada penjarahan dan pembantaian ratusan ribu umat Islam Sunni dianggap satu khidmat buat Islam menurut fahaman Syiah?

Sebaliknya, siapakah yang akhirnya berjaya menyekat kemaraan menggila tentera Monggol serta berjaya mengembalikan Syria dan Palestin ke pangkuan umat Islam? Beliau ialah pemerintah Dinasti Mamalik, Sultan al-Muzaffar Saifuddin Qutz. Iaitu murid kepada seorang tokoh ulama Ahli Sunnah Wal-Jamaah terkenal, Imam al-Izz bin Abdul Salam. Sesiapa sahaja yang membaca sejarah peperangan Ain Jalut sudah pasti akan mengetahui bagaimana kehebatan jundullah pimpinan Saifuddin Qutz menewaskan keangkuhan dan kesombongan tentera Tartar. Ia juga menjadi episod kekalahan demi kekalahan tentera Tartar serta pengembalian wilayah Palestin ke tangan umat Islam. Di manakah Syiah dalam peperangan ini?

Kenangkan juga, bagaimana kegigihan Sultan Abdul Hamid kedua, khalifah Islam Sunni Bani Uthmaniyyah yang terakhir dalam mempertahankan al-Quds. Ketika pengasas gerakan Zionis Theodor Hertzl melawat ke Istanbul pada tahun 1901 dan cuba bertemu dengan beliau.Beliau mengarahkan Ketua Jemaah Menterinya menyampaikan pesanannya terkenal:

“Nasihatkan Dr. Hertzl supaya tidak mengambil apa-apa langkah seterusnya dalam projeknya. Aku tidak boleh memberikan walau segenggam dari tanah Palestin ini kerana ia bukan milikku, ia adalah milik umat Islam seluruhnya. Umat Islam yang telah berjihad demi bumi ini dan mereka telah membasahinya dengan darah-darah mereka. Yahudi boleh menyimpan jutaan wang mereka. Sekiranya Khilafah Islam ini dimusnahkan pada suatu hari nanti, mereka boleh mengambil Palestin tanpa bayaran! Tetapi selagi aku masih hidup aku lebih rela sebilah pedang merobek tubuhku daripada melihat bumi Palestin pecah dan diberikan keluar dari Negara Islam. Ini (penjualan Palestin) adalah sesuatu yang tidak akan berlaku, aku tidak akan memotong-motong tubuh kami selagi kami masih hidup”. (Lihat: Sahwah al-Rajul al-Maridh, Muwaffaq Bani al-Marjah)

Malah banyak lagi pengorbanan Sunni dalam mempertahankan bumi Palestin yang tercatat dalam sejarah. Jangan kita lupa kepada perang Arab-Zionis pada tahun-tahun 1947-1948. Lupakah kita terhadap kemenangan tentera-tentera sukarelawan Mesir dan Syria dalam kalangan anggota gerakan Ikhwan al-Muslimin? Mereka hampir sahaja berjaya menghapuskan terus kekuatan pengganas-pengganas Zionis.

Begitu juga perang Karamah 1968 di Jordan. Tentera Zionis telah dikalahkan dengan teruk dalam peperangan antara mereka dengan tentera Jordan. Sehingga hari ini, pada 21 Ogos setiap tahun, Jordan akan merayakan hari kemenangan tersebut.

Pengunduran tentera Zionis beserta penduduk Yahudi dari Gaza pada Ogos 2005 juga bukti kemenangan Sunni melalui gerakan Intifadah rakyat Palestin. HAMAS, Jihad Islami, briged Syuhada al-Aqsa milik Fatah dan juga lain-lain fraksi perjuangan berhak menerima kredit untuk tujuan tersebut. Bukankah mereka Ahli Sunnah? Sekali lagi, Ahli Sunnah sememangnya mampu untuk mengalahkan Zionis. Bukan sekali, malah banyak kali, jauh lebih banyak daripada golongan Syiah!

Jika itu senario di Palestin, di tempat lain di serata dunia banyak lagi contoh yang boleh dibanggakan oleh Ahli Sunnah. Perang di Afghanistan sebagai contoh. Bukankah para mujahidin telah berjaya mengalahkan Rusia. Mereka bukannya puak Syiah. Syiah hanya datang selepas kemenangan untuk meluaskan pengaruh mereka di sana dan telah menyebabkan perang saudara meletus. Begitu juga di Bosnia dan Cechnya, pejuang Sunni hadir ke bumi tersebut semata-mata atas nama jihad mempertahankan agama Islam bukan kerana mazhab tertentu.

Kesimpulannya, perjuangan jihad dan juga kemenangan tidak terletak pada Syiah atau tidaknya sesuatu kumpulan. Maka, adalah silap bagi mereka yang mempromosikan Syiah hanya kerana kejayaan seorang wartawan Syiah, Muntazer al-Zaidi berjaya memalukan Presiden Bush dengan lontaran jamrah 'kasut but' bersaiz 10 itu. Apalah nilainya berbanding darah para syuhada Sunni yang telah mengalir sepanjang masa, zaman dan tempat bagi mempertahankan Islam yang suci ini.

Sambutan Asyura sempena memperingati peristiwa Karbala juga bukanlah jawapan untuk membangkitkan semangat menentang kezaliman. Apakah perbuatan Syiah mengumandangkan syair-syair mencaci maki Bani Umayyah dan para sahabat Rasulullah SAW atas tuduhan mereka sebagai perampas hak dan pembunuh Saidina Husin itu dianggap pencetus kebangkitan ummah? Adakah Syiah mahu melihat golongan Sunni mengungkap kembali dan membongkar segala titik hitam pengkhianatan Syiah terhadap umat Islam termasuk ke atas Ahlul Bait sendiri? Benar, Syiah sememangnya berhak melakukan apa sahaja yang mahu dilakukan sempena peristiwa Karbala tersebut. Tetapi tidak bagi Sunni. Mereka berlepas diri (bari’) dari kesemua perbuatan tersebut.

Malaysia bumi Sunni
Oleh itu, jangan jadikan isu kekejaman Zionis di bumi Gaza sebagai agenda mempromosikan Syiah. Jangan jadikan Malaysia seumpama apa yang berlaku di Iraq dan Pakistan. Jangan sengaja disemarakkan api perbalahan mazhab itu. Ingatlah bahawa Malaysia ialah bumi Sunni dari segi tradisi, budaya dan perundangannya. Mesyuarat Jemaah Menteri pada 20 Mac 1996, Sidang Majlis Keselamatan Negara pada 17 Oktober 1996 dan mesyuarat Jawatankuasa Kemajuan Hal Ehwal Islam Malaysia Ke 27 pada 24 Jun 1997 telah memutuskan bahawa hanya aqidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah menjadi pegangan umat Islam di Malaysia.

Mana-mana ajaran yang bercanggah dengan fahaman dan amalan Ahli Sunnah Wal-Jamaah dilarang dan disekat penyebarannya di kalangan umat Islam. Manakala Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang diadakan pada 2 dan 3 Mei 1996 di Langkawi memutuskan bahawa; Pertama, menetapkan bahawa umat Islam di Malaysia hendaklah hanya mengikut ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah dari segi akidah, syariah dan akhlak. Kedua, memperakukan pindaan kepada semua Undang-undang Negeri yang berhubung dengan hukum Syarak bagi menyelaraskan takrif “Hukum Syarak” atau “Undang-undang Islam” seperti berikut: “Hukum syarak” atau “Undang-undang Islam” ertinya Undang-undang Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal- Jamaah dari segi aqidah, syariah dan akhlak”.

Oleh itu, kewarasan dan kebijaksanaan diperlukan dalam mendepani isu Palestin dan Zionis. Penggunaan fiqh awlawiyyat (keutamaan) perlu dipertimbangkan. Sunni dan Syiah perlu melihat kepada musuh mereka yang satu iaitu Zionis Yahudi. Mereka perlu dihancurkan sehancur-hancurnya. Ini bukan masanya untuk mempropagandakan doktrin masing-masing. Bagi Sunni, kita menyeru seluruh umat Islam bersatu tanpa mengira mazhab dalam menghapuskan penjajahan Yahudi di bumi Palestin. Biarpun ia adalah penganut Syiah seperti Hizbullah, Sunni tetap menyokong dalam bahasa melenyapkan kerakusan Zionis. Bukan dalam bahasa mendokong doktrin aqidah pegangan Hizbullah. Jika syiar Karbala atau Asyura atau Wilayatul Faqih yang menjadi pegangan mereka, anutan itu tetap ditolak, ia tetap bid’ah di sisi Sunni, dan jangan sekali-sekali mendakyahkannya di bumi ini.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Panjang, tetapi berbaloi untuk dibaca..
Penuh ilmiah dan fakta...

Apapun, demi Islam, saya berpendapat ketika masing2 sedang mempertahankan mazhab masing2...

Eloklah kita bersatu merampas kembali Baitulmaqdis...

Kalaulah Hizbullah dan Hamas bersatu, mungkin lebih besar kejayaan dapat dicapai...

Mungkin Fatah dan Israel dapat diusir dari bumi Palestin...

Mohd Yaakub bin Mohd Yunus berkata...

Assalaamu'alaikum

Pertamanya Demi Islam kita kena cerahkan kepada masyarakat tentang kesesatan Syi'ah dan mereka bukan satu mazahab dari kalangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah.

Kedua hendak mengadakan hubungan diplomasi dengan kerajaan Syi'ah seperti Iran dan Iraq tidak menjadi masalah. Untuk mengadakan kerjasama ketenteraan dengan kelomok Syi'ah seperti Hizbullah juga boleh. Tapi nak kata akidah Syi'ah adalah Islam, itu tidak mungkin. Yang sesat tetap sesat.

Ketiga, jangan terlalu kagum dengan Hizbullah, kena kaji latar belakang dan sejarah mereka. Lebih ramai golongan Sunni yang telah berjuang menentang tentera kuffar berbanding dengan Syi'ah.

Sekian Wassalaam