Jumaat, 16 Januari 2009

SMS dan Pesanan Khas Dari Pemimpin Hizbullah? Hukum Menyebar-luaskannya...

SMS dan Pesanan Khas Dari Pemimpin Hizbullah? Hukum Menyebar-luaskannya...


Oleh: Ibn Mustofa Dzul Riyhayn Bin Abd Wahab
Sumber: http://purify-educate.blogspot.com

Tahun baru masihi 2009 kali ini membuka tirainya dengan penuh duka dan luka. Rejim Zionis yahudi la’natullah telah melakukan tindakan bacul dan biadap tanpa perikemanusiaan dengan menyerang dan membunuh rakyat Palestin secara membabi-buta, tanpa mengira masyarakat awam yang tidak bersenjata dengan pejuang HAMAS yang mereka buru. Merekalah sebiadap-biadap insan di muka bumi ini. Firman Allah SWT:

Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan redha kepadamu (wahai Muhammad) sehingga Engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar". dan demi sesungguhnya jika Engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu Yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah Engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu.” [Surah al-Baqarah, 2:120]

Tindakan tak berperikemanusiaan rejim Zionis ke atas penduduk Palestin dengan pantas telah membuka mata sekaligus mengundang banyak perhatian masyarakat dunia. Pelbagai bentuk bantahan telah diadakan di hampir seluruh pelosok dunia demi mengutuk tindakan kejam Israel ke atas Palestin serta menggesa boneka dan ’kuda tunggangan’ Israel; Amerika Syarikat untuk mengadakan sekatan ke atas negara haram Israel dan memberhentikan tindakan kejam mereka. Seluruh lapisan masyarakat dunia tanpa mengira bangsa dan agama telah menunjukkan rasa simpati mereka terhadap penderitaan yang dihadapi rakyat Palestin.

Peristiwa ini telah menyebabkan ramai pihak menjadi ’ringan tangan’ ingin menghulurkan bantuan dalam apa saja bentuk yang mereka termampu berpaksikan rasa simpati kemanusiaan yang ada di dalam diri mereka. Ada yang menghulurkan sumbangan dari segi harta (wang ringgit), ada pula yang menyumbang dalam bentuk pakaian dan ubat-ubatan, dan ada pula yang mengambil langkah mendo’akan dibantunya saudara seislam di Palestin dan dihancurkan bangsa Yahudi zionis Israel. Bahkan, ada yang menyebar-luaskan mesej berbentuk khidmat pesanan ringkas (SMS) yang bertulis:

Pemimpin Hizbullah Lebanon, Sayid Hasan Nashrullah meminta seluruh masyarakat muslimin untuk melafazkan ayat Quran berikut: Surah al-Fath ayat 26-27, surah Yunus ayat 85, 86 dan 87 pada malam ini. Tolong sebarkan agar Israel hancur. Sebarkan kepada seluruh umat Islam... ”

Demikianlah, pesanan yang diterima-langsung dari pemimpin besar Hizbullah yang beraliran Syi’ah. Pesanan ringkas yang sarat dengan petua-petua dan amalan-amalan yang ’berbaur’ agama. Masyarakat kita (orang melayu), dek kerana kadar ke’sedar’an dan simpatinya yang tinggi tanpa berfikir-panjang terus menyebar-luaskan mesej-mesej seumpama ini. Bukan saja tanpa ada sikap mahu menilai ataupun menganalisa kembali kebenaran, disebalik dakwaan penyebar mesej ini bahawa SMS ini dititipkan khas dari Nashrullah, bahkan juga sejauhmana kebenaran dan ketepatan ’amalan khas’ yang diperturunkan Nashrullah itu di neraca timbangan al-Quran dan al-Sunnah. Tanpa tahu menahu ataupun mungkin terlupa akan firman Allah SWT akan situasi ini:

Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang yang fasiq membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan)kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” [Surah al-Hujurat, 49: 6]

Kata al-Qadhi Abu Bakr ibn al-Arabi:

Siapa yang pasti kefasikkannya maka batallah perkataannya (hilang kredibiliti) di dalam menyampaikan berita. Ini adalah ijma’. Sebabnya adalah berita itu suatu amanah dan kefasikkan pula adalah sesuatu yang membatalkannya.”

[Ibn al-Arabi, Ahkam al-Qur’an, 4/147, cetakan Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah, Beirut. Dinukil dari: Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin, Menangkis Pencemaran Terhadap Agama dan Tokoh-Tokohnya, Terbitan Karya Bestari, m/s 12]

Bagaimana mungkin kita boleh menerima berita dan petua agama daripada individu (Nashrullah yang merupakan seorang syi’ah) yang jelas pegangan ideologinya mencela dan mengakfirkan majoriti para sahabah seperti Abu Bakar, Umar al-Khattab, Utsman al-’Affan, Abdurahman al-’Auf ,menuduh isteri baginda Nabi SAW; ’Aeesyah seorang perempuan yang jalang, serta mendakwa bahawa al-Qur’an yang ada sekarang tidak lengkap?! Bagaimana mungkin kitaq boleh mempercayai kata-kata dari seorang yang syi’ah dalam perkara keagamaan?! Terlupakah kita akan sabda Nabi SAW:

Janganlah kalian mencerca sahabahku.”

[Hadits riwayat Muslim IV/1967, Dinukil dari: Dr Sa’id Bin Ali Bin Wahf al-Qohtani, Ya Rabbi... Selamatkan Lisanku (Terjemahan dari A-fat al-Lisan fi Daw al-Qur’an wa al-Sunnah), Terjemahan AQWAM Jembatan Ilmu, m/s 134]

Abdullah Bin Mas’ud radhiyallah ’anhu meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:

Mencaci/mencela seorang muslim (menyebabkan seseorang menjadi) fasiq.”

[Hadits riwayat al-Bukhari I/17, Muslim I/18, Al-Lu’ Lu’ wa al-Marjan I/13. Dinukil dari: ibid, m/s 135]

Al-Imam al-Nawawi rahimahullah menjelaskan hadits ini:

Ketahuilah, bahawa mencaci para sahabah radhiyallahu ’anhum adalah keharaman yang paling keji...”

[Rujuk: Shahih Muslim bi Syarh al-Nawawi XVI/93. Dinukil dari: ibid, m/s 134]

Demikianlah, Rasulullah SAW memberitahu kita yang sesiapa yang mencaci seorang muslim maka dia adalah fasiq. Akan tetapi, syi’ah bukan sahaja mencaci para sahabah, bahkan ada yang sampai ke tahap mengkafirkan para sahabah. Ada yang percaya dengan konsep raj’ah (kelahiran semula ke dunia selepas mati) dan berbagai kepercayaan karut-marut lagi. Lantas, tak hairan ramai daripada para ulama’ besar Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah mengatakan yang golongan syi’ah terkeluar dari Islam seperti yang diperkatakan oleh al-Imam Ibn Hazm al-Andalusy.

[Rujuk: Maulana Mohd Asri Yusoff, Syi’ah Rafidhah: Di Antara Kecuaian Ulama’ dan Kebingungan Ummah, Terbitan Pustaka Bisyarah, m/s 4-5]

Di dalam kitab Ushul al-Kahfi karangan al-Kulaini; yang merupakan kitab hadits yang paling utama dan dipegang di dalam golongan Syi’ah mereka bahkan mengangkat para Imam mereka setaraf dengan para Rasul bahkan lebih daripada mereka. Mereka mendakwa para Imam mengetahui bila waktu kematian mereka dan hanya mati dengan kematian mereka. Bahkan yang lebih serius lagi mereka mendakwa para Imam mengetahui perkara ghaib yang terdahulu dan akan datang.

[Rujuk: Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Menangkis Pencemaran Terhadap Agama dan Tokoh-Tokohnya, Terbitan Karya Bestari, m/s 93-98]

Jika difikirkan secara kritis serta rasional, kebarangkalian mesej tersebut (dikirim dan dipesan oleh Nashrullah) palsu adalah seratus peratus. Bak kata Kapten Protaz Hafiz Firdaus ketika mengulas tentang hal ini, beliau telah memberi istilah yang ianya adalah ’Made in Malaysia’.

[Rujuk: Hafiz Firdaus, Himpunan Risalah Dalam Beberapa Persoalan Ummah Buku 5, Terbitan Jahabersa, m/s 56]

Di dalam hadits Nabi SAW ada larangan yang jelas agar tidak membawa semua cerita yang didengar atau diterima tanpa menyelidikinya. Bahkan perbuatan tersebut dianggap sebahagian daripada pendustaan. Sabda Nabi SAW:

Cukuplah sesorang itu digelar pendusta sekiranya dia menceritakan setiap (perkara) yang dia dengar.”

[Riwayat Muslim dalam mukadimah Shahihnya]

Islam telah mensyaratkan setiap perkara yang dikaitkan dengan agama itu mestilah berpaksikan fakta yang shahih bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah. Inilah disiplin yang dipegang oleh Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah. Namun, ada sebahagian individu ataupun kelompok yang terbabas saat hendak melakukan sesuatu amal yang tujuannya baik. Hanya beralasan matlamat yang baik mereka menyangka mereka boleh mencipta sesuatu ibadah dalam Islam. Perlu diingat, Islam bukanlah serupa sebagaimana teori yang dikemukakan oleh Niccolo Machievelli dalam buku karyanya The Prince yakni ”Matlamat menghalalkan cara”.

Teori bertuhankan akal dan nafsu oleh Machievelli ini telah lama lagi dinafikan kerelevannya oleh al-Qur’an dan al-Sunnah. Makanya, tidak sepatutnya wujud umat Islam yang mahu meniru teori kebajikan Robin Hood dari hutan Sherwood yang menghalalkan jenayah rompakan berdalihkan hasil rompakan tersebut akan diagihkan kepada masyarakat miskin England. Islam menuntut umatnya bukan cukup setakat beramal, tapi yang menjadi tuntutan dalam Islam adalah amal yang soleh. Kriteria bagi sesuatu amal soleh itu ia mestilah memenuhi dua syarat ini yakni: 1) ikhlas dan 2) Ittiba’ (mengikuti sunnah). Ini seperti yang ditafsirkan oleh al-Qadhi Fudhail Bin Iyadh. Takutilah amal yang kita lakukan selama ini berhamburan tidak bernilai pada pandangan Allah di hari akhirat kelak.

Buktinya, sahabah Nabi SAW yang terkenal dengan kefaqihannya yakni Ibn Mas’ud radhiyallahu ’anhu telah menegur dengan keras beberapa indivdu yang membentuk bulatan lalu bertasbih, bertakbir, dan bertahlil di zamannya bahkan mengatakan pada mereka itu adanya ciri-ciri khawarij; salah satu kelompok sesat yang dikhabarkan Nabi SAW dalam haditsnya yang shahih. Hayatilah peristiwa yang telah terakam dalam sejarah ini dan sematkanlah ia di dalam jiwa kita semua:

Demi Allah wahai Abu Abdurrahaman (Abdullah Bin Mas’ud), sesungguhnya kami hanya bertujuan baik.” Jawabnya (Abdullah Bin Mas’ud): ”Betapa ramai yang bertujuan baik namun tidak menepatinya[/i].”

[Riwayat al-Darimi dalam Musnadnya dan dinilai shahih oleh Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani dalam [i]Silsilah al-Ahadits al-Shahihah. Dinukil dari: Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin, Bid’ah Hasanah: Istilah yang Disalah-Fahami, Terbitan Jahabersa, m/s 74]

Jika difikirkan dengan teliti, tidakkah pensyari’atan supaya bertahmid, bertasbih dan bertahlil itu ada dalilnya dari al-Sunnah? Namun begitu, kenapa sahabah Nabi Ibn Mas’ud dan Abu Musa al-Asy’ari tidak menyetujui bahkan membangkang secara keras amal sebegitu? Jawabnya kerana ianya tidak menepati tatacara sebagaimana sunnah yang disyari’atkan Nabi SAW.

Diriwayatkan pula daripada Nafi’ (guru al-Imam al-Bukhari):

Seorang lelaki telah bersin disebelah Ibn ’Umar radhiyallahu ’anhuma lalu mengucapkan: ”Alhamdulillah wassalam ’ala Rasulillah.” Ibn ’Umar lantas menegur: ”Aku juga pernah mengatakan Alhamdulillah wassalam ’ala Rasulillah (akan tetapi) bukan begitu yang diajar oleh Rasulullah SAW kepada kami (selepas bersin). Baginda SAW mengajar kami agar menyebut Alhamdulillah dalam setiap keadaan.”

[Hadits yang shahih. Riwayat al-Tirmidzi no: 2738 dan riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak jilid 4, Kitab al-Adab, no: 265 dan lafaz adalah bagi al-Tirmidzi. Dinukil dari: Mohd Yaakub Mohd Yunus, Fahaman Wahabi Menular: Satu Analisis Terhadap Dakwaan yang Ditimbulkan Oleh Akhbar Utusan Malaysia, Ternbitan Jahabersa, m/s 14]

Sekali lagi, cuba renungi, bukankah penambahan wassalam ’ala Rasulullah pada kalimah tahmid (Alhamdulillah) itu sesuatu yang kelihatannya baik? Bukankah pensyari’atan supaya umat Islam berselawat pada Rasulnya itu ada diriwayatkan di dalam hadits Shahih Muslim? Kenapa sahabah Nabi SAW; Ibn ‘Umar anak kepada Amirul Mukminin Umar al-Khattab membantah tindakan lelaki itu? Kenapa? Jawabnya kerana ianya tidak menepati tatacara sebagaimana sunnah yang disyari’atkan Nabi SAW.

Ini dapat difahami daripada perkataan al-Imam as-Subki (salah seorang penentu qowl mu’tamad dalam mazhab al-Syafi’e) seperti yang dinukilkan oleh al-Hafizh Ibn Hajar al-Asqalani:

Asal hukum di dalam ibadat adalah tawaqquf (berhenti hingga ada dalil)”.

[Rujuk: Ibn Hajar al-Asqalani, Fath al-Bari Penjelasan Shahih al-Bukhari, Terjemahan Pustaka Azzam, m/s]

Syaikh Muhammad Soleh al-Utsaimin rahimahullah telah menjelaskan syarat yang wajib dipenuhi dalam ibadah ada enam syarat yakni sebab, jenis, kadar, kaifiyyat (tatacara), waktu, dan tempat. Sebagai contoh membaca do’a khusus dari al-Qur’an dan al-hadits seperti surah al-Fath ayat 26-27 dengan tujuan mahu memperoleh bantuan Allah, dan pada waktu tertentu seperti ketika saat genting diserang musuh adalah tiada sumbernya daripada al-Sunnah yang tsabit daripada Nabi SAW. Pengkhususan itu yang menyebabkan ianya tertolak. Pendek kata; bid’ah.

[Rujuk: Syaikh Muhammad Soleh al-Utsaimin, Mutiara Ilmu: Himpunan Tiga Buah Buku (di bawah bab al-Ibda’ fi Kamal al-Islam wa Khothru al-Ibda’), Terbitan Jahabersa, m/s 78-81]

Sabda Nabi SAW:

”Barangsiapa yang melakukan suatu amalan yang tiada dasar perintahnya daripada kami maka ianya tertolak.”

[Hadits shahih riwayat Muslim (1178). Dinukil dari: Kompilasi Empat Ulama’ Besar (Imam al-Nawawi, Imam Ibn Daqiq al-E’id, Syaikh Abdurrahman as-Sa’di, Syaikh Muhammad Soleh al-Utsaimin), Syarah Hadits Arba’in, Terbitan Pustaka Arafah, m/s 111]

Kesimpulan yang saya ingin tegaskan disini, seharusnya kita melakukan apa telah diriwayatkan dari Nabi SAW bahawa beliau pernah mengerjakan qunut nazilah selama satu bulan penuh untuk mendoakan suatu kaum. Dan ditegaskan pula beliau pernah membaca qunut nazilah untuk mendoakan suatu kaum tertindas dari para sahabah beliau, di mana mereka ditawan oleh orang-orang yang melarang mereka berhijrah. Dengan demikian adalah disunnahkan membaca qunut nazilah pada saat terjadinya kejadian yang menyengsarakan kaum muslimin dengan membaca doa-doa yang sesuai dengan keadaan, baik mendoakan kebaikan atau keburukan bagi suatu kaum, atau sesuai dengan peristiwa yang dialami. Hadits-hadits berkenaan hal ini banyak. Inilah yang diperjelaskan oleh Dr. Sa’id Bin Ali Bin Wahf al-Qohtani.

[Rujuk: Dr. Sa’id Bin Ali Bin Wahf al-Qohtani, Panduan Shalat Lengkap (Terjemahan dari Shalatul Mu’min: Mafhum wa Fadha’il wa Adaab wa Anwa’ wa Ahkam wa Kaifiyyatu fi Dhaw’i al-Qur’an wa al-Sunnah), Terjemahan Penerbit al-Mahira, m/s 267-272][/align]
[/size]

3 ulasan:

al_insan berkata...

assalamualaikum ust...mohon untuk coppy bahan ini...jazakallah

Mohd Yaakub bin Mohd Yunus berkata...

Wa'alaikumussalaam Warahmatullah

Amat dialu-alukan untuk disebarkan

Terima Kasih

Koi 9w2mzr berkata...

Asalamualaikum..terima kasih berkongsi kan maklumat di atas..kalo saya x baca mungkin sy akan menyebarkan juga sms sedemikian..terima kasih