Jumaat, 9 Januari 2009

HARIAN METRO 9/1/09 : HARI ASYURA : Rai Dengan Berpuasa


Rai dengan berpuasa
Oleh Mohd Yaakub Mohd Yunus
rencana@hmetro.com.my
http://www.hmetro.com.my/

APABILA membicarakan mengenai Hari Asyura yang jatuh pada 10 Muharam setiap tahun, kita tidak dapat menghindarkan daripada memperkatakan peristiwa Karbala yang begitu menyayat hati.

Peristiwa itu adalah kisah Saidina Hussain yang dibunuh kejam di Karbala, Iraq. Rentetan dari peristiwa itu ada upacara khas yang dianjurkan pada Hari Asyura dengan cara yang amat bertentangan dengan syarak.

Malah, ada golongan Syiah mempergunakan peristiwa Karbala untuk meraih simpati umat Islam kepada kelompok mereka seolah-olah mereka ingin menggambarkan yang merekalah satu-satunya pembela Ahlul Bait, iaitu keluarga Rasulullah.

Rentetan dari peristiwa Karbala timbul dua golongan yang menyambut hari Asyura secara ekstrem, iaitu golongan Syiah ar-Rafidhah dan mereka yang memusuhi Syiah ar-Rafidhah, digelar Nawashib.

Golongan Syiah ar-Rafidhah menjadikan 10 Muharam sebagai hari berkabung dan menunjukkan kesedihan memperingati kematian Saidina Hussain.

Ketika menyambut Hari Asyura mereka memperlihatkan perbuatan jahiliah, dengan memukul wajah dan badan sehingga berdarah, menyeksa diri, berteriak serta menangis menunjukkan kesedihan dan merobek-robek pakaian, seperti di sesetengah tempat di Iran, Iraq dan Pakistan.

Tindakan itu bertentangan dengan hukum syarak kerana yang diperintahkan Allah apabila ditimpa musibah ialah bersabar, sebagaimana dijelaskan dalam ayat 155 hingga 157 surah al-Baqarah.

Meratap dan menyeksa diri apabila ditimpa musibah dicela syarak.

Rasulullah bersabda, maksudnya: "Bukan golongan kami orang yang memukul pipi, merobek pakaian dan berdoa dengan doa-doa jahiliah." (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

Golongan itu memperhebatkan lagi celaan mereka kepterhadap sahabat Nabi ketika sambutan Hari Asyura. Mereka juga membacakan syair serta hikayat palsu menceritakan peristiwa Karbala.

Sementara golongan kedua, menyambut hari Asyura sebagai satu perayaan yang penuh kebahagiaan. Mereka terdiri kumpulan yang memusuhi Syiah ar-Rafidhah, digelar Nawashib.

Golongan terbabit dari kalangan Ahlu Sunnah yang jahil, yang memusuhi Saidina Ali dan keluarganya, pengampu kerajaan Bani Umaiyah dan benci golongan Syiah ar-Rafidhah. Mereka menterjemahkan kebencian dengan melakukan sesuatu bertentangan dengan golongan Syiah.

Mereka menunjukkan kegembiraan pada Hari Asyura, menyambut hari bersejarah itu bagaikan pesta, menghias bandar dengan indah, memasak makanan tertentu, lalu bersedekah kepada orang ramai.

Tindakan golongan kedua itu juga bertentangan dengan syarak, apatah lagi dilakukan bersempena dengan hari terbunuhnya Saidina Hussain, cucu Rasulullah iaitu seorang pemimpin pemuda yang menghuni syurga.

Wajarkah suasana yang gembira dihubungkaitkan dengan satu peristiwa hitam dalam sejarah umat Islam, mengakibatkan syahidnya seorang yang memiliki keutamaan serta kedudukan tinggi bagi masyarakat Islam?

Apatah lagi tiada contohnya dari Rasulullah untuk menyambut Hari Asyura seperti hari perayaan yang besar malah kalangan sahabat, generasi soleh yang lampau (salafussoleh) serta imam mazhab yang empat juga tidak pernah menganjurkan sambutan sedemikian rupa.

Oleh itu, sambutan sedemikian rupa adalah suatu amalan bidaah yang sesat dan boleh mengakibatkan pelakunya dihumban ke neraka.

"Aku wasiatkan kepada kalian agar bertakwa kepada Allah, mendengar nasihat dan mentaatinya. Sesungguhnya manusia itu berkelompok-kelompok, siapa yang akan hidup di antara kalian kelak akan melihat adanya banyak perbezaan pendapat. Maka hendaklah kalian berpegang teguh kepada sunnahku dan sunnah kalangan Khulafa al-Rasyidin. Berpegang teguhlah kepadanya dan peganglah ia erat-erat. Jauhilah segala perkara yang baru kerana setiap perkara yang baru itu adalah bidaah dan setiap bidaah adalah sesat." (Hadis riwayat Imam Abu Dawud)

Jika kedua-dua cara seperti dua golongan terbabit menyambut Hari Asyura adalah suatu bentuk kesesatan dalam agama, jadi apakah yang sewajarnya dilakukan oleh umat Islam pada hari terbabit?

Apabila diperhatikan lagi, ada banyak kisah yang dihubungkaitkan dengan Hari Asyura, misalnya Nabi Adam bertaubat kepada Allah, Nabi Idris diangkat ke langit, Nabi Nuh diselamatkan dari banjir besar dan Nabi Ibrahim diselamatkan dari dibakar Raja Namrud.

Bahkan, ada pihak mendakwa Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa dan Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara pada hari berkenaan.

Pelbagai kisah dihubungkan dengan 10 Muharam, tetapi sukar bagi kita untuk mendapatkan kepastian mengenai kebenarannya.

Cuma yang nyata dan sah berkaitan dengan Hari Asyura hanyalah peristiwa Nabi Musa diselamatkan dari tentera Firaun.

Kisah itu berlaku pada Hari Asyura diperakui oleh Rasulullah.

Nabi s.a.w datang ke Madinah dan dilihatnya orang-orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura. Menurut mereka: Ini hari baik di saat mana Allah membebaskan Nabi Musa dari Firaun. Maka sabda Rasulullah: Kamu lebih berhak terhadap Musa daripada mereka maka berpuasalah." (Hadis riwayat Imam Bukhari)

Oleh itu, bagi mengelak kekeliruan, sewajarnya kita tidak menghubungkaitkan apa-apa peristiwa berkaitan Hari Asyura sewenang-wenangnya, melainkan terdapat dalil yang diperakui kebenarannya.

Melalui hadis di atas juga dapat kita fahami, ibadat khusus sempena Hari Asyura yang diiktiraf Rasulullah adalah puasa. Berpuasa pada hari Asyura juga dapat menghapuskan dosa kita pada tahun sebelumnya.

Sebagaimana sabda Rasulullah: "Puasa tiga hari dari setiap bulan sejak dari Ramadan ke Ramadan berikutnya dianggap berpuasa setahun penuh. Sedangkan puasa hari Arafah pahalanya menurut Allah dapat menghapuskan dosa setahun sebelumnya dan setahun sesudahnya. Adapun puasa hari Asyura, pahalanya menurut Allah dapat menghapuskan dosa setahun sebelumnya." (Hadis riwayat Imam Muslim)

Allah mengurniakan taufik kepada mereka yang berpuasa pada hari itu. Dari Ibnu Umar r.a, dia berkata: "Tidaklah seorang hamba Allah berpuasa di dalamnya [Hari Asyura] kecuali puasanya akan memberikan taufik kepadanya." (Hadis riwayat Imam Bukhari)

Disunatkan juga untuk menambahkan puasa pada Hari Asyura dengan berpuasa sehari sebelum atau sehari sesudahnya. Rasulullah memerintahkan hal ini bertujuan untuk menyelisihi amalan orang Yahudi.

Baginda bersabda, maksudnya: "Berpuasalah kalian pada hari Asyura dan berselisihlah dengan orang Yahudi di dalamnya dan berpuasalah sehari sebelumnya atau sehari sesudahnya." (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Ibn Qayyim al-Jauziyyah dalam Zaad al-Ma'ad, dinukilkan dari kitab al-Bida' al-Hauliyyah, edisi terjemahan bertajuk Ritual Bidaah Dalam Setahun, menyatakan: "Susunan (kelebihan) puasanya ada tiga, yang paling sempurna ialah puasa (dimulakan) sehari sebelumnya dan sehari selepasnya, berikutnya (boleh juga) puasa pada hari kesembilan (Tasu'aa) dan kesepuluh (Asyura), terdapat banyak hadis dalam perkara ini, berikutnya pula (boleh juga) puasa pada sepuluh Muharram sahaja."

Tiada ulasan: