Isnin, 21 Julai 2008

Berita Harian 21hb Julai : Pangkai Tangkal Cemar Kemurniaan Tauhid

Pakai tangkal cemar kemurnian tauhid
Oleh Mohd Yaakub Mohd Yunus




RAMPASAN: Selendang dan objek azimat yang dirampas pihak berkuasa di Bayan Lepas, baru-baru ini. - Gambar hiasan

Menghindari penggunaan azimat langkah selamat elak terjerumus syirik


MELETAKKAN asas kemurnian tauhid terhadap umat manusia adalah tugas utama semua Rasul. Hanya melalui tauhid yang murni saja manusia akan dapat mengecapi keamanan hakiki dalam kehidupan serta mudah menerima hidayah daripada Allah. Allah berfirman yang bermaksud: "Orang yang beriman dan tidak mencampuradukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang yang mendapat keamanan dan merekalah orang yang mendapat hidayah petunjuk." (Surah al-An'aam, ayat 82)

Antara faktor utama dalam mencetuskan kemurnian tauhid adalah keyakinan sepenuhnya bahawa tiada sesuatu pun yang dapat memberi manfaat atau menolak kemudaratan melainkan Allah. Firman Allah yang bermaksud: "Dan jika Allah mengenakan (menimpakan) engkau dengan bahaya bencana, maka tidak ada sesiapa pun yang dapat menghapuskannya melainkan Dia sendiri; dan jika Dia mengenakan (melimpahkan) engkau dengan kebaikan, maka Dia adalah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu." (Surah al-An'aam, ayat 17) Walaupun Malaysia semakin gah di persada dunia dengan kemajuan dalam pelbagai bidang, namun masih ada segelintir umat Islam yang pemikirannya masih pada takuk lama.



TAHYUL: Sebahagian barang azimat dirampas di Dungun, baru-baru ini. - Gambar hiasan

Mereka masih berkeyakinan tangkal dan azimat mampu menghilangkan atau menahan sesuatu musibah seperti penyakit, gangguan hantu syaitan atau menjadi kebal. Pemakaian tangkal dan azimat mencemar kemurnian tauhid kerana wujudnya keyakinan bahawa ia mampu menandingi kuasa Allah dalam mendatangkan manfaat serta menolak bahaya. Ketika hayat Rasulullah SAW, Baginda menentang keras budaya memakai tangkal dan azimat. Diriwayatkan bahawa Baginda SAW menolak bai'ah seorang yang ingin memeluk agama Islam kerana ada tangkal pada tangannya. Selepas orang itu memutuskan tangkal itu baru baginda menerima bai'ahnya seraya bersabda yang bemaksud: "Sesiapa menggantung tangkal maka sesungguhnya dia telah berbuat syirik." (Hadis riwayat Imam Ahmad) Tangkal yang dipakai sebenarnya tidak membawa sebarang manfaat bahkan melemahkan diri seseorang dan menyebabkan seorang itu hidup dalam kerugian. Baginda SAW pernah menegur seorang yang memakai tangkal berupa benang yang berwarna kekuningan di tangannya

Baginda SAW bersabda yang bermaksud: "Lepaskan itu kerana ia hanya akan menambahkan kelemahan pada dirimu. Sesungguhnya jika kamu mati dan ia masih berada pada tubuhmu, kamu tidak akan beruntung selama-lamanya." (Hadis riwayat Imam Ahmad) Memakai tangkal atau azimat bukan sekadar satu perbuatan sia-sia bahkan ia adalah satu faktor yang menghalang termakbul doa seseorang serta boleh menyebabkan dia hidup dalam keadaan tidak tenteram. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Barang siapa yang menggantungkan tangkal maka Allah tidak akan memakbulkan keinginannya; barang siapa memakai wada'ah (tangkal yang diperbuat dari cengkerang siput) semoga Allah tidak memberi ketenangan pada dirinya." (Hadis riwayat Imam Ahmad) Diriwayatkan bahawa seorang sahabat Nabi SAW iaitu Hudhaifah ketika melawat seorang yang sedang sakit terlihat orang itu memakai tangkal yang diperbuat daripada benang di tangannya bertujuan untuk menghilangkan panas. Lantas Hudhaifah memotong tangkal itu dan menyatakan jika orang itu meninggal dunia tatkala dia masih memakai tangkal nescaya beliau tidak akan sembahyang jenazahnya. Ketika Hudhaifah memotong benang itu beliau membacakan ayat al-Qur'an yang bermaksud: "Dan (orang yang beriman kepada Allah), kebanyakan mereka tidak beriman kepada Allah melainkan mereka menyekutukannya dengan yang lain." (Surah Yusuf, ayat 106) Beginilah kerasnya sikap Rasulullah SAW serta sahabat terhadap penggunaan tangkal dan azimat. Namun ulama berbeza pendapat mengenai penggunaan tangkal atau azimat yang menggunakan ayat al-Quran atau zikir kepada Allah.

Sungguhpun begitu langkah selamat adalah menghindari apa juga bentuk tangkal mahupun azimat walaupun menggunakan ayat al-Quran. Penggunaan ayat al-Quran sebagai tangkal atau azimat boleh menjerumuskan seorang melakukan perbuatan mencemari ayat itu seperti membawanya masuk ke tandas, tempat bernajis serta wanita yang memakainya ketika sedang haid. Justeru, menghindari segala jenis bentuk tangkal adalah langkah sejahtera untuk menutup pintu yang boleh membawa seseorang itu terjerumus kepada syirik dan Allah tidak akan mengampunkan golongan yang syirik melainkan mereka bertaubat. Allah berfirman yang bermaksud: "Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya: Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar." (Surah Luqman, ayat 13)

Oleh itu buang jauh budaya kuno memakai tangkal dan gantikan dengan memohon perlindungan daripada Allah melalui doa. Jika ada tanda penyakit, bersegeralah mendapat rawatan daripada pakar perubatan. Umat Islam disarankan menjalani cara hidup sihat sebagai langkah mencegah penyakit.

Penulis adalah Penolong Naib Presiden di Bahagian Perbankan Perniagaan, Affin Bank Berhad dan boleh dihubungi menerusi http://akob73.blogspot.com/

Jumaat, 18 Julai 2008

MEMBONGKAR PEMBOHONGAN BUKU DIALOG SUNNAH-SYI'AH (AL-MURAJA'AT)

TO DOWNLOAD PLEASE GO TO THE ADDRESS STATED BELOW:
Assalaamu'alaikum

Bagi penganut fahaman Syi'ah di Malaysia buku Dialog Sunnah-Syi’ah (al-Muraja'at) karangan ‘Abdul Husayn al-Musawi merupakan buku yang paling dibanggakan oleh mereka. Buku ini telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa. Bagi yang terbaca buku ini maka besar kemungkinan mereka boleh terpengaruh dengan fahaman Syi'ah yang sesat ini kerana pengolahan buku ini kelihatan seperti ilmiah dan meyakinkan. Apatah lagi latar belakang buku ini merupakan sebuah dialog di antara ulamak Syi'ah dan Grand Syeikh Universiti al-Azhar.

Benarkah dialog ini pernah berlaku?

Benarkah ianya merupakan sebuah buku yang mengandungi hujah yang ilmiah ataupun hanya sekadar pembohongan?

Sebenarnya terdapat sebuah buku yang telah menjawab segala persoalan berkaitan dengan buku al-Muraja'at (Dialog Sunnah-Syi'ah) ini. Buku tersebut bertajuk Al-Bayyinat, fi ar-Radd’ ala Abatil al-Muraja’at karya Mahmud az-Zaby. Buku ini telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Indonesia dengan tajuk Sunni yang Sunni Tinjauan Dialog Sunnah-Syi'ahnya al-Musawi. Namun khabarnya ianya amat sukar untuk dibeli di pasaran Indonesia kerana ada seorang telah membeli hak percetakannya agar ianya diberhentikan dari dicetak. Buku ini yang berbentuk e-book pernah disiarkan di dalam sebuah laman web. Malangnya ia juga telah tidak dapat diakses tidak beberapa lama kemudian.
Kenapa ada pihak yang bersungguh-sungguh berusaha untuk menghalang tersebarnya buku ini?

Alhamdulillah akob telah sempat untuk mengdownload versi e-book buku tersebut beberapa tahun yang lalu.

BERITA BURUK UNTUK GOLONGAN SYIAH!!!!

Buku Sunni yang Sunni Tinjauan Dialog Sunnah-Syi'ahnya al-Musawi kini boleh didownload (PDF Format) melalui blog MINDA AKOB seperti di alamat di bawah

http://www.4shared.com/file/136900136/ca424b83/_2__Sunni-sunni.html

Untuk download buku ini mungkin mengambil masa sikit kerana ianya setebal 319 mukasurat. Jadi tunggu apa lagi. Download segera! Simpan elok-elok dan sebarkan seluas-luasnya kepada seluruh umat Islam di Malaysia.

Sekian Wassalaam

Selasa, 15 Julai 2008

Sesatkah Wahhabi?

Assalaamu'alaikum


Semenjak kebelakangan ini ada beberapa kumpulan ekstrem yang telah menjelajah ke seluruh negara untuk memberi ceramah bertujuan untuk menyesatkan Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyyah, Syaikh Muhammad Abdul Wahhab dan pengikut golongan yang mereka gelarkan sebagai Wahhabi atau Kaum Muda.


Akob sedikit sebanyak telah mengupas isu ini dalam buku akob bertajuk "Fahaman Wahhabi Menular". Sila dapatkan buku tersebut di pasaran. Masih banyak lagi buku yang memperjelaskan isu ini yang telah di tulis ataupun diterjemahkan dan ianya mudah untuk dibeli di pasaran. Buku-buku ini telah membuktikan tuduhan kelompok ekstrem terhadap golongan Wahhabi ini sebenarnya terdapat unsur-unsur fitnah.


Namun semalam akob mendapat sms dari sahabat akob al-Fadhil Ustaz Adlan seorang ulamak muda yang tinggi ilmunya dalam pelbagai bidang terutamanya Ilmu Hadis tentang wujudnya sebuah artikel penjelasan JAKIM tentang isu Wahhabi. Alhmadulillah akob ingin berkongsi bersama penjelasan tersebut dengan pembaca blog akob walaupun beberapa fakta dalam penjelasan tersebut memerlukan penjelasan lanjut. Namun ianya memadai untuk menidakkan tuduhan yang melampau dari kelompok ekstrem dalam menuduh golongan Wahhabi aka Kaum Muda ini sesat.


Sekian Wassalaam







PANDANGAN RASMI JAKIM TENTANG ISU WAHHABIYYAH

Caw. Aqidah, Bah. Penyelidikan JAKIM
http://caw-aqeedah.blogspot.com/


Isu Wahhabiyyah atau nama lainnya seperti Ittiba’ al-Sunnah, Kaum Muda atau Salafiyyah telah dibincangkan beberapa kali di peringkat Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan Mesyuarat Panel Kajian Aqidah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Pada asasnya kerajaan menolak kehadiran fahaman Wahhabiyyah atas dasar ia boleh menimbulkan kekecohan dan perpecahan di kalangan umat Islam. Ia sepertimana yang telah diputuskan di dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan iaitu pada kali ke-12 (1985), kali ke-14 (1985), kali ke-16 (1986), kali ke-40 (1996), kali ke-42 (1997) dan kali ke-44 (1998). Ia juga dibincangkan berkali-kali di dalam mesyuarat Panel Kajian Aqidah JAKIM pada kali ke-14 tahun 2000, kali ke-20 tahun 2002 dan kali ke-23 tahun 2003. Kesemua keputusan perbincangan adalah menjurus kepada menyekat penularan fahaman Wahhabiyyah atas alasan isu-isu khilafiyyah fiqhiyyah yang dibangkitkan boleh menggugat perpaduan umat Islam di Malaysia.

Bagaimanapun keputusan tidak mengatakan bahawa Wahhabiyyah merupakan ajaran sesat malah Wahhabiyyah masih dianggap sebagai Ahli Sunnah Wal-Jamaah.

Perbincangan Fatwa

Kertas konsep dan kedudukan mazhab Ahli Sunnah Wal-Jamaah dalam pentadbiran Islam di Malaysia telah dibentangkan sebanyak tiga kali oleh S.S. Mufti Perlis (Dato’ Alim Panglima Mat Jahya Hussin) iaitu pada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-40 (1996), kali ke-42 (1997) dan kali ke-44 (1998). Antara hujjah-hujjah yang dikemukakan oleh beliau berhubung pengamalan Ahli Sunnah di negeri Perlis adalah seperti berikut:-

a) Di negeri Perlis, Perlembagaan Negeri, undang-undang Pentadbiran Negeri, agama Islam negeri serta mazhab yang dianuti oleh Ketua beragama Negeri dan Ahli Majlis Agama Islam Negeri, adalah mengikut mazhab Ahli Sunnah Wal-Jamaah iaitu sama ada mazhab Hanafi, Maliki, Hanbali dan Syafi’i. Apa yang jelas hanya negeri Perlis yang tidak terikat dengan salah satu daripada mazhab tersebut. Dari segi aqidah pula tidak dinafikan lagi bahawa ia di bawah aliran mazhab Ahli Sunnah Wal-Jamaah pimpinan Abu Hasan al-Asy’ari dan Abu Mansur al-Maturidi sebagaimana negeri lain juga di Malaysia.


b) Mengikut keputusan fatwa negeri Perlis, asas pegangan ialah; al-Qur’an, Hadith Sahih, ijma’ Sahabah, fatwa Sahabah, Hadith Mursal dan Hadith Daif,qiyas ketika darurat, al-masalih al-mursalah, sadd al-zara’i’, istihsan, ‘uruf dan al-qawa’id al-fiqhiyah.

Berdasarkan apa yang dibentangkan oleh S.S. Mufti Perlis, muzakarah telah bersetuju untuk menerima kertas tersebut tetapi dengan beberapa keputusan dan ulasan seperti berikut:-

a) JFK bersetuju supaya dikaji semula definisi hukum syara’ yang mengecualikan Perlis daripada mazhab yang mu’tabar.

b) Mana-mana golongan yang mengisytiharkan diri mereka tidak bermazhab dan menganggap bahawa dialah orang yang lebih baik di samping mencerca dan menghina golongan yang bermazhab, sedangkan mereka ini berada di dalam kelompok yang sama, maka pendekatan dengan cara perbincangan adalah lebih baik supaya tidak timbul perpecahan di kalangan umat Islam sendiri.

c) Golongan yang tidak bermazhab atau Wahhabi adalah sama sahaja kerana mereka begitu aktif bergerak untuk menyebarkan fahaman mereka.

Kesimpulannya, fahaman Ahli Sunnah Wal-Jamaah di Perlis dari segi aqidah adalah sama seperti di negeri-negeri lain walaupun berbeza manhaj. Apa yang berbeza hanyalah fahaman mereka terhadap tradisi bermazhab yang tidak terikat dengan mana-mana mazhab. Selain daripada itu kertas konsep Ahli Sunnah Wal-Jamaah yang dibentangkan oleh S.S. Mufti Perlis diterima oleh ahli JFK dengan beberapa pindaan dan pembetulan.

Keputusan Panel Kajian Aqidah Terdahulu Berkenaan Ibnu Taimiyyah dan Wahhabiyyah

Mesyuarat Panel Kajian Aqidah kali ke-14 pada 21 Mac 2000 mengambil keputusan bahawa;


1) Aqidah yang dibawa oleh Muhammad bin Abdul Wahab tidak bersalahan dengan aqidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah tetapi pengikut Wahhabi membesarkan perkara bid’ah dan khilafiah.


2) Golongan Wahhabi di Malaysia tidak mahu menerima pendapat golongan yang selain dari mereka dan mereka tidak menerima pembahagian bid’ah kepada Bid’ah Hasanah dan Bid’ah Dhalalah.


3) Hendaklah dibuat pemantauan kepada guru-guru yang berfahaman Wahhabi dan guru-guru ini hendaklah dipanggil dan dijelaskan kedudukan mazhab di Malaysia.


Mesyuarat Panel Kajian Aqidah kali ke-20 bertarikh 29 April 2002, setelah membincangkan kerta kerja bertajuk “Pendekatan Antara Ahli Sunnah Dan Wahhabi” memutuskan bahawa sumber utama bagi kedua-dua aliran pemikiran ini adalah sama iaitu al-Quran dan al-Hadith serta meletakkan naqli mendahului akal.

Mesyuarat Panel Kajian Aqidah kali ke-23 bertarikh 13 Mac 2003, kertas kerja bertajuk “Ibn Taimiyyah” telah dibentangkan. Mesyuarat memutuskan bahawa Ibn Taimiyyah dan Wahhabiyyah adalah dari golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Mesyuarat juga memutuskan karangan Haji Said Haji Ibrahim dalam bukunya Perbandingan Aqidah Dan Fahaman Umat Islam dan K.H. Siradjuddin Abbas dalam bukunya Iktikad Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang menyentuh tentang kesalahan aqidah Ibn Taimiyyah mengandungi fakta yang salah dan boleh menyebabkan orang menuduh Ibn Taimiyyah adalah kafir.

Justeru mesyuarat mencadangkan usaha menyatukan pandangan di antara Ahli Sunnah dan Ibn Taimiyyah dan seterusnya mengeluarkan satu garis panduan yang menerangkan tentang konsep yang mesti dipegang oleh masyarakat agar tidak berlakunya tuduh menuduh antara satu pihak dengan pihak yang lain.

Pandangan Prof. Dato’ Dr. Abdul Shukor Husin merangkap Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan

Prof. Dato’ Dr. Abdul Shukor Husin di dalam kertas kerja beliau berjudul ‘Ahli Sunnah Wal-jamaah, Pemahaman Semula’ menyebut:

“Berdasarkan pegangan dan penghayatan masyarakat Islam Malaysia, budaya ilmu dan pengajian serta kekuatan undang-undang penguatkuasaan yang tersurat dan tersirat, ternyata meluas dan kukuhnya pengaruh aliran Ahli Sunah khususnya Asyairah dan Maturidiah dalam masyarakat Islam di Malaysia. Tidak keterlaluan jika kita rumuskan bahawa masyarakat Islam Malaysia khususnya orang awam dalam aspek akidah, fahaman aliran Asyairah adalah sinonim dengan Ahli Sunah. Sementara aliran lain seperti Salaf - Ibnu Taimiah dan Wahabiah tidak begitu dikenali atau tidak dianggap sebahagian daripada aliran Ahli Sunah. Oleh itu apabila aliran ini dibincang dan diketengahkan ke dalam masyarakat walaupun untuk tujuan ilmiah, masyarakat Islam terasa ganjil dan resah kerana terdapat kelainan dengan apa yang mereka fahami dan hayati”.

“Fahaman dan pegangan masyarakat Islam kepada aliran Asyairah dan Maturidiah sebagai Ahli Sunah Waljamaah adalah benar dan secara tidak langsung memberikan sumbangan yang membina kepada kesatuan akidah dan rohani masyarakat Islam. Ini kerana fahaman Asyairah dan Maturidiah pada hakikatnya adalah sebahagian daripada Ahli Sunah Waljamaah tetapi fahaman tradisi ini tidak dapat memberikan kefahaman yang tepat dan menyeluruh tentang Ahli Sunah Waljamaah. Fahaman ini juga tidak mampu merentasi generasi Islam yang berada di abad awal Islam yang dikenali sebagai Ahli Salaf atau generasi sebelum Abu Hasan Asyaari dan Abu Mansur Maturidi. Berdasarkan pegangan dan fahaman tradisi masyarakat Islam maka Ahli Salaf dan generasi berikutnya tidak tergolong dalam Ahli Sunah Waljamaah. Oleh itu pemahaman tradisi ini harus dinilai kembali berasaskan pendekatan yang patut ditonjolkan bagi memahami aliran Ahli Sunah yang sebenar dengan lebih terbuka supaya fahaman yang sangat terbatas dan keresahan rohani serta perbezaan pendapat dapat dikurangkan”.


"Ahli Salaf dari perspektif metodologi ini tidak berakhir pada generasi pertama Islam. Malahan ia berterusan dan diperjuangkan oleh ulama yang ikhlas seperti Imam Malik bin Anas (w. 179H), Imam Ahmad bin Hanbal (w. 241H) dan pengikut-pengikut mereka. Pada awal abad ke-7 Hijrah lahir Imam Ahmad bin Abdul Halim (Ibnu Taimiah) dan Ibnu Qayyim Jawziyyah (w. 751H). Beliau adalah seorang murid setia kepada Ibnu Taimiah. Kemudian pada abad ke-12 Hijrah lahir pula di Semenanjung Tanah Arab seorang tokoh bernama Muhammad bin Abdul Wahab yang mengasas aliran Wahabiah. Walaupun kehadiran dan peranan tokoh-tokoh di atas berbeza dari sudut dan situasi persekitaran, namun faktor itu membuatkan mereka sentiasa mendahulukan petunjuk Quran dan Sunnah. Mereka tidak menerima pendekatan lain atau pandangan dari mana-mana sumber sebelum mereka menyelaraskannya dengan Quran dan Sunnah Nabi s.a.w.".


Pandangan Prof. Zakaria Stapa

Prof. Zakaria Stapa dalam satu wawancara dengan Utusan Malaysia berjudul ‘Jangan Berpecah Kerana Perbezaan Fahaman Sunni’ menjawab mengenai kumpulan Wahhabiyyah seperti berikut:-

“Masyarakat perlulah memahami bahawa fahaman Wahabi ini bukanlah ajaran sesat kerana ia juga termasuk dalam kumpulan aliran Ahli Sunah Wal Jamaah. Ia adalah gerakan yang diasaskan oleh Imam Muhammad Abdul Wahab at-Tamimi (1703-1791M) yang lahir di Uyaynah, utara Riyadh, Arab Saudi. Imam Muhammad Abdul Wahab adalah ulama yang berpegang kepada aliran Hanabilah (Hanbali) yang diasaskan oleh Imam Ahmad bin Hanbal. Pegangan tauhidnya pula berasaskan fikrah Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim yang juga bermazhab Hanbali. Dalam aspek akhlak dan tasawuf pula aliran Hanabilah banyak berpegang kepada pandangan Imam al-Harawi al-Ansari dan Sheikh ‘Abd al-Qadir al-Jaylani. Secara umumnya, Imam Muhammad Abdul Wahab muncul ketika pengaruh mazhab Hanbali merosot dan umat Islam pada masa itu banyak melakukan pencemaran akidah dan penyelewengan amalan keislaman seperti percaya kepada khurafat dan melakukan amalan bidaah. Sehubungan itu, beliau melancarkan gerakan reformasi dan pembaharuan di semenanjung Arab untuk membersih dan mengembalikan umat Islam kepada ajaran sebenar al-Quran dan hadis. Jadi, dari aspek sejarahnya mereka ini terpaksa mengambil pendekatan yang agak keras dalam usaha mencapai matlamat pembersihan akidah dan amalan keislaman tersebut”.

Keputusan Dar al-Ifta’ Mesir

Dar al-Ifta’ al-Misriyyah (Jabatan Fatwa Mesir) : Dalam keputusannya bernombor 375292 menyebut, Wahhabiyyah masih lagi termasuk di dalam Ahli Sunnah Wal-Jamaah walaupun mereka berpegang dengan manhaj yang rigid pada sesetengah perkara, maka tidak harus mengkafirkan atau menghukum mereka terkeluar daripada agama.

KESIMPULAN

Dasar kerajaan adalah jelas, Wahhabiyyah ditolak kerana metodologi dakwah mereka yang keras terutama dalam masalah fiqh dan bid’ah tidak sesuai untuk diamalkan di negara ini. Ia dikhuatiri boleh mengundang kegelisahan dan perpecahan umat Islam. Bagaimanapun aqidah Wahhabiyyah masih dianggap sebagai Ahli Sunnah Wal-Jamaah dan bukan ajaran sesat.

Sumber,
Cawangan Aqidah
Bahagian Penyelidikan JAKIM
PUTRAJAYA

Sabtu, 12 Julai 2008

Berita Harian 12 Julai : Solat Sunat Bantu Tampung Kekurangan


Solat sunat bantu tampung kekurangan
Oleh Mohd Yaakub Mohd Yunus


Perbanyak amalan dapat meninggikan darjat, hapuskan dosa lalu


HADIS Rasulullah SAW menyatakan mengenai solat sunat sebagai solat al-Tathawwu' yang bermaksud melakukan ketaatan. Dari segi syariat pula ia bermaksud ketaatan yang tidak wajib seperti solat, sedekah, puasa, haji jihad dan amalan sunat lain. Oleh itu, setiap jenis solat yang disyariatkan dalam Islam sebagai tambahan kepada solat fardu lima waktu, termasuk dalam kumpulan solat sunat. Mengerjakan solat sunat memiliki banyak keutamaan. Solat sunat adalah amalan terbaik untuk mendekatkan diri kepada Allah.


Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Istiqamahlah kamu semua, janganlah kamu menghitungnya, dan ketahuilah bahawa sebaik-baik amalmu adalah solat.” (Hadis riwayat Imam Ibnu Majah) Menjadi lumrah bagi manusia apabila mengerjakan solat fardu akan terjadi perbuatan yang dapat mengurangkan kesempurnaan solat itu seperti tidak khusyuk, bacaan ayat al-Quran kurang kemas dan lain-lain kesilapan. Solat sunat dapat menutupi segala kekurangan yang mungkin wujud ketika mengerjakan solat fardu. Abu Hurairah meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya amalan manusia yang mula-mula dihisab pada hari kiamat ialah solat mereka. Tuhan berfirman kepada malaikat-Nya padahal Dia lebih mengetahui: Periksalah solat hamba-Ku! Sempurnakah atau kurang? Jika solatnya sempurna catatkanlah sebagai sempurna, dan jika ada sesuatu kekurangan Tuhan berfirman pula: Periksalah adakah hamba-Ku mempunyai amalan solat sunat? Jika dia mempunyai amalan solat sunat lalu Tuhan berfirman: Sempurnakanlah solat fardu hamba-Ku dengan solat sunatnya. Kemudian diperhitungkan amalan itu dengan cara demikian.” (Hadis riwayat Imam Abu Dawud).


Mengerjakan solat sunat dapat menyebabkan seseorang menjadi ahli syurga. Daripada Rabi’ah bin Malik al-Aslami, dia berkata: “Aku pernah bermalam di rumah Rasulullah SAW. Ketika Baginda bangun, aku mengambil air wuduk untuk Baginda dan melayani apa yang Baginda perlukan. Selanjutnya Baginda bersabda kepadaku: Mintalah! Aku menjawab: Aku meminta supaya aku dapat menemani engkau di syurga kelak. Baginda bertanya: Adakah permintaan selain daripada itu? Aku menjawab: Cukup itu saja. Baginda lalu bersabda: Bantulah aku bagi mencapai permintaanmu itu dengan memperbanyakkan sujud (solat sunat).” (Hadis riwayat Imam Muslim)


Amalan solat sunat juga dapat meninggikan darjat seseorang serta menghapuskan dosanya yang lalu. Daripada Mi’dan bin Abi Thalhah al-Ya’mari, dia bercerita: “Aku pernah bertemu Tsauban, pembantu Rasulullah SAW lalu kukatakan: Beritahukan kepada ku suatu amalan yang dengan mengerjakannya Allah akan memasukkanku ke dalam syurga. (Atau dia menceritakan: Ku katakan dengan amal yang paling disukai Allah). Kemudian Tsauban diam. Maka aku tanyakan lagi kepadanya. Dia tetap diam. Selanjutnya aku bertanya untuk yang ketiga kalinya, dia pun berkata: Aku pernah bertanyakan hal itu kepada Rasulullah SAW lalu Baginda menjawab: Hendaklah engkau memperbanyakkan sujud (solat sunat) kepada Allah kerana sesungguhnya tidaklah engkau bersujud kepada Allah sekali saja, melainkan dengannya Dia meninggikanmu satu darjat serta menghapuskan darimu satu kesalahan.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)


Allah mencintai mereka yang mengerjakan amalan sunat (nawafil) termasuk solat sunat. Daripada Abu Hurairah, dia berkata Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah berfirman: Barang siapa yang memusuhi wali-Ku, sungguh Aku mengizinkan supaya dia diperangi. Tidak ada amal paling Aku senangi yang dipergunakan oleh hamba-Ku untuk mendekatkan diri kepada-Ku selain ibadah yang telah Aku fardukan kepadanya. Hamba-Ku yang senantiasa mendekatkan diri kepada-Ku dengan ibadah sunat (nawafil), pasti Aku mencintainya. Jika Aku sudah mencintainya, maka Aku menjadi pendengarannya yang dengannya dia mendengar; Aku menjadi penglihatannya yang dengannya dia melihat; Aku menjadi tangannya yang dengannya dia membuat (sesuatu); Aku menjadi kakinya yang dengannya dia berjalan; jika dia memohon kepada-Ku pasti akan Ku beri; jika dia memohon perlindungan daripada Ku pasti akan Ku lindungi dia. Aku tidak pernah bimbang dalam melakukan sesuatu sebagaimana kebimbangan Ku ketika hendak mencabut nyawa seorang mukmin yang tidak menyukai sakitnya sakratul maut, sementara Aku pun tidak ingin menyakitinya.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)


Mengerjakan solat sunat di rumah akan mendatangkan keberkatan. Berbeza dengan solat fardu, solat sunat lebih afdal jika dikerjakan di rumah masing-masing kecuali solat sunat sememangnya disyaratkan untuk dikerjakan secara berjemaah di masjid, tanah lapang atau tempat tertentu.
Zaid bin Tsabit menyebutkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Wahai sekalian manusia, kerjakanlah solat (sunat) di rumah kalian, sebab solat yang paling utama adalah solat seseorang yang dikerjakan di rumahnya, kecuali solat fardu.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

Khamis, 10 Julai 2008

BIOGRAFI IMAM AL-SYATHIBI

Assalaamu'alaikum

Apabila membicarakan tentang bid'ah, tidak dapat tidak kita pasti akan menemui nama Imam al-Syathibi disebutkan. Hal ini adalah kerana beliau merupkan pengarang kitab Kitab al-I’tisom yang telah mengupas secara panjang lebar tentang bid'ah dan cabangannya. Jadi tidak hairanlah sekiranya apabila akob membicarakan tentang isu-isu bid'ah dalam artikel-artikel mahupun buku-buku akob, pasti akan ada rujukan kepada kitab Imam al-Syathibi ini. Imam al-Syathibi merupakan ilmuwan Ahlus Sunnah wal Jamaah yang hebat dan telah mengarang banyak kitab yang sehingga kini dijadikan rujukan oleh para ulamak.
Alhamdulillah sahabat baik serta rakan seperjuangan akob, seorang ilmuwan muda yang tinggi ilmunya, al-Fadhil Ustaz Mohd Fikri telah menulis biografi ringkas Imam besar ini.
Nantikan buku akob seterusnya tentang Solat-Solat Sunat Cara Rasulullah yang akob karang dan disemak oleh Ustaz Fikri ini. Tapi bila nak ada di pasaran, akob tak tahu lagi.
Oleh itu akob ingin mengambil kesempatan di sini untuk memperkenalkan Imam al-Syathibi kepada pembaca blog akob ini.
Dan Jangan lupa untuk mengunjungi blog Ustaz Fikri di http://mohdfikri.com/blog/
Sekian Wassalaam

Nama penuh beliau ialah Abu Ishaq, Ibrahim bin Musa bin Muhammad al-Lakhmi al-Gharnathi. Beliau dilahirkan di Granada pada tahun 730H dan meninggal dunia pada hari Selasa bertarikh 8 Syaaban tahun 790H bersamaan dengan tahun 1388M. Gelaran al-Syathibi merupakan nisbah kepada tempat kelahiran ayahnya di Syathibah (ditulis dalam bahasa sepanyol sebagai Xativa), sebuah daerah dalam perwilayahan Asybelinsi (Valencia) di sebelah timur Andalusia.

Pada tahun 1247M, keluarga Imam al-Syathibi berpindah menuju ke Granada setelah kejatuhan kota Xativa ke tangan raja Sepanyol kabilah Aragon setelah keduanya berperang hampir 9 tahun sejak dari tahun 1239M.

Granada sendiri pada mulanya hanyalah sebuah kota kecil yang terletak di kaki banjaran Sierra Nevada yang sangat dingin saljunya. Kerana Granada ini sebuah kota yang kecil dan sangat dingin, maka orang-orang muslim ketika itu lebih suka untuk berpindah ke kota Elvira, merupakan sebuah kota yang terletak tidak jauh dari Granada.

Semasa zaman Imam al-Syathibi, kota Granada diperintah oleh pemerintahan Bani Ahmar. Suku Bani Ahmar ini dikatakan berasal dari keturunan Sa’ad bin Ubadah, salah seorang sahabat Nabi (s.a.w) dari kabilah Ansar. Sedang laqab (gelar) Ahmar ditujukan kepada salah seorang rajanya yang bernama Abu Sa’id Muhammad al-Sadis yang sempat memerintah dari tahun 761 hingga 763H. Ini disebabkan beliau memiliki warna kulit kemerah-merahan. Orang Sepanyol sendiri menggelarkan Abu Sa’id ini dengan gelaran al-Barmekho yang bererti warna yang kemerah-merahan seperti jeruk.

Ketika Bani Ahmar berkuasa, kehidupan masyarakat jauh dari kehidupan yang lebih Islamik. Bahkan hidup mereka dipenuhi dengan kepelbagaian khurafat dan bidaah. Kedudukan ini semakin parah ketika Muhammad al-Khamis yang bergelar al-Ghani Billah memegang tampuk kekuasaan.

Bukan hanya setakat pertumpahan darah dan pemberontakan yang sering terjadi. Malahan setiap orang yang cuba menyeru agar kembali berpegang kepada cara beragama yang sebenar telah difitnah dan ditohmah dengan murtad atau keluar dari prinsip agama. Bahkan, acap kali juga orang-orang yang menyeru pada kesahihan beragama telah menerima hukuman yang sangat berat.

Hampir semua tokoh agamawan yang dipilih pada masa itu adalah orang-orang yang tidak memiliki latar belakang ilmu agama yang cukup. Kadangkala terdapat juga sesetengah mereka yang tidak tahu menahu mengenai persoalan agama telah dilantik oleh para pemerintah sebagai anggota majlis fatwa. Oleh kerana itu, tidaklah hairanlah apabila fatwa-fatwa yang dihasilkan sangat jauh menyeleweng dari kebenaran yang dianjurkan oleh Islam.

Imam al-Syathibi bangkit menentang dan melawan para agamawan Granada yang ‘jahil’ ketika itu. Beliau dengan sedaya termampu cuba meluruskan dan mengembalikan amalan bidaah kepada sunnah serta membawa masyarakat dari kesesatan kepada kebenaran.

Perseteruan sengit antara Imam al-Syathibi dan para ulama kerajaan Granada pada masa itu tidak dapat dielakkan lagi. Setiap kali Imam al-Syathibi berfatwa halal, mereka sebaliknya terus berfatwa dengan yang haram tanpa melihat terlebih dahulu kepada dalil dan hujah syariah. Kerana itulah, Imam al-Syathibi kemudiannya diperleceh, direndah malahan hingga ke tahap dianggap telah keluar dari agama yang sebenarnya.

Hal sebegini sebenarnya menambahkan lagi kekuatan kepada mereka yang beriman untuk terus bangkit biarpun keseorangan demi menegakkan kebenaran. Tidak ada sikap lemah atau berputus asa, sebaliknya kekentalan jiwa para ulama seperti Imam al-Syathibi semakin menggunung sehinggakan karyanya masih terus dikaji hingga kini dan tidak pernah basi.

Hal lain yang disoroti oleh Imam al-Syathibi adalah mengenai amalan tasawuf yang dilakukan oleh para agamawan saat itu yang dikira amat jauh menyimpang. Antaranya, amalan mereka yang mula berkumpul pada malam hari, lalu berzikir bersama dengan suara yang kuat kemudian diakhiri dengan tari dan nyanyian sampai penghujung malam. Ada pula di kalangan mereka yang berzikir sambil memukul-mukul dada dan kepalanya sendiri.

Imam al-Syathibi dengan penuh rasa taqwa bangkit mengharamkan amalan tersebut yang jauh menyimpang dari ajaran Tauhid yang penuh rahmat kepada sekalian alam. Menurut Imam al-Syathibi, setiap cara yang dilakukan untuk mendekatkan diri kepada Allah Taala bukan dari ajaran atau amalan yang pernah dipraktikkan oleh Rasulullah (s.a.w) dan para sahabatnya adalah perbuatan batil dan dilarang daripada terus diamalkan.

Fatwa al-Syathibi tentang amalan tasawuf yang menyimpang ini juga dikuatkan oleh salah seorang ulama fiqh yang juga tasawuf terkemuka ketika itu iaitu Abu al-Hasan al-Nawawi. Beliau mengatakan bahawa, “Barangsiapa yang melihat orang yang mendekatkan diri kepada Allah Taala dengan jalan yang jauh menyimpang dari amalan syariah barpandukan al-Quran dan al-Sunnah, maka janganlah kaum yang beriman mendekati kelompok mereka itu.”

Imam al-Syathibi turut mengkaji sikap fanatik atau taksub berlebihan yang diamalkan oleh para ulama Granada dan masyarakat Andalus masa itu terhadap mazhab Maliki. Mereka menganggap setiap orang yang bukan dari mazhab Maliki adalah sesat dan menyeleweng.

Sepertimana diketahui, bahawa masyarakat Andalus mengamalkan mazhab Maliki ini sejak raja mereka Hisyam al-Awwal bin ‘Abd al-Rahman al-Dakhil yang memerintah dari tahun 173-180 hijrah. Beliau telah menjadikan mazhab Maliki ini sebagai mazhab rasmi negara. Menurut salah satu riwayat, kecenderungan Hisyam al-Awwal untuk mengambil mazhab Maliki ini adalah ketika dia bertanya kepada dua orang ulama, salah seorangnya bermazhab Hanafi serta yang lainnya bermazhab Maliki.

Khalifah Hisyam al-Awwal ketika itu bertanya: “Dari mana asalnya Imam Abu Hanifah itu?” Ulama dari mazhab Hanafi menjawab: “Dari Kufah”. Lalu dia bertanya pula kepada ulama Maliki: “Dari mana asal Imam Malik?” Ulama yang bermazhab Maliki ini menjawab: “Beliau berasal dari Madinah”. Hisyam lalu berkata: “Imam yang berasal dari tempat hijrah Rasulullah (s.a.w) sudah cukup bagi kami”.

Bermula saat itulah masyarakat Andalus memegang kukuh mazhab Maliki sebagai sebuah mazhab rasmi kerajaan. Semakin bertambah fanatik mereka menjelang zaman Imam al-Syathibi hatta mereka tidak lagi mengenal dan tidak ingin bersahabat dengan mazhab yang lain terutama sekali mazhab Hanafi. Gambaran ini dilakarkan oleh Muhammad Fadhil bin Asyur di dalam kitabnya yang berjudul A’lam al-Fikr al-Islami menggambarkan sikap sebahagian penduduk Andalus ketika itu: “Mereka tidak lagi mengenal selain al-Qur’an dan al-Muwatha’ Imam Malik”.

Para ulama yang tidak bermazhab Maliki saat itu tidak terlepas dari cercaan seperti yang dialami oleh al-‘Allamah Baqi Ibn Makhlad (201-276H/816-889M) yang lebih cenderung dengan mazhab ahli Atsar. Imam Al-Syathibi melukiskan ulama ini sebagai ulama besar yang tidak ada tolok bandingnya saat itu, dia yang pernah berguru dengan Imam Ahmad ibn Hanbal, Abu Bakar ibn Abi Syaibah dan ulama-ulama lainnya yang berada di luar Andalus. Bahkan beliau digelar Hafiz al-Andalus, jika bukan kerana usaha beliau dalam mencari ilmu secara bersemuka dengan hampir 200 orang tokoh muhaddis, maka al-Sunnah tidak akan dikenali oleh penduduk Andalus ketika itu.

Sekalipun Imam Al-Syathibi seorang ulama Maliki, bahkan Syeikh Muhammad Makhluf menjadikannya sebagai ulama Maliki tingkatan ke-16 dari sanad cabang yang bertapak di Andalus. Namun, beliau tetap menghargai sumbangan ulama-ulama mazhab yang lain, termasuklah mazhab Hanafi yang ketika itu selalu menjadi sasaran cercaan dan tohmahan oleh lawan mereka dari mazhab Maliki.

Bahkan, dalam pelbagai kesempatan dan ruang yang beliau miliki dia akan menyanjung jasa dan sumbangan Imam Abu Hanifah dan ulama-ulama yang lain. Kitab al-Muwafaqat sendiri sengaja disusun oleh Imam al-Syathibi dalam rangka mengendurkan ketegangan yang terjadi ketika itu di antara Mazhab Maliki dan Hanafi. Di samping itu juga, sebagai tindakbalas terhadap amalan bidaah dan khurafat yang semakin berkembang biak dewasa itu, Imam al-Syathibi turut berusaha menyusun sebuah lagi karya yang paling bermutu dan kekal hingga kini, iaitu kitab al-I’tisom.

Demikianlah, secebis kisah kehidupan Imam al-Syathibi dan kedudukan masyarakat sekitarnya yang menjadikan beliau terdorong untuk menyusun karya-karya agung yang begitu tinggi nilainya.

Karya-karya Imam al-Syathibi

Di antara karya Imam al-Syathibi yang semuanya menjurus kepada dua bidang ilmu sebagaimana menurut istilah Hammadi al-‘Ubaidi yang pernah mengkaji kehidupan Imam al-Syathibi dan menulis kitab berjudul al-Syathibi wa Maqasid al-Syari’ah, bahawa dua bahagian tersebut ialah, [1] ulum al-wasilah dan [2] ulum al-maqasid.

Ulum al-wasilah adalah ilmu-ilmu bahasa Arab yang merupakan wasilah atau perantara untuk memahami secara mudah pengajian Ilmu al-Maqasid. Antara karya beliau yang terkenal ialah:

1. Kitab al-Muwafaqat

Kitab ini adalah kitab paling bermutu dan paling dikenali di antara karya-karya beliau yang lain. Kitab ini terdiri dari empat bahagian. Pada mulanya kitab ini diberi judul al-Ta’rif bi Asrar al-Taklif kemudian setelah Imam al-Syathibi bermimpi beliau mengubahnya kepada judul al-Muwafaqat iaitu untuk menyeimbangkan kedudukan antara mazhab Maliki dan Hanafi.

2. Kitab al-I’tisom

Kitab ini terdiri dari dua bahagian dan ditulis setelah selesainya penulisan al-Muwafaqat. Kitab ini mengupas secara panjang lebar tentang bidaah dan cabangannya. Ditulis oleh Imam Al-Syathibi dalam suatu perjalanan khusus tapi sayangnya beliau meninggal terlebih dahulu sebelum dapat menyelesaikan tulisannya ini.

3. Kitab al-Majalis

Kitab ini merupakan huraian dari Kitab al-Buyu’ yang terdapat di dalam Sahih al-Bukhari. Al-Tunbukti salah seorang muridnya melihat faedah kitab ini dengan mengungkapkan: “Daripadanya terdapat faedah dan hakikat kebenaran yang tidak diketahui melainkan Allah Sahaja”.

4. Syarah al-Khulasoh

Kitab ini merupakan kitab yang berkaitan dengan ilmu Nahu yang juga huraian dari kitab Alfiyyah Ibn Malik. Terdiri dari empat jilid besar dan menurut ulama kitab ini merupakan syarah Alfiyyah Ibn Malik terbaik dari segi kedalaman dan keluasan ilmu yang dipaparkannya.

5. Kitab ‘Unwan al-Ittifaq fi ‘Ilm al-Isytiqaq

Kitab tentang ilmu Sorof dan Fiqh Lughah (linguistik). Kitab ini sebanding dengan kitab al-Khulasoh karya Ibn Jinni. Sayangnya kitab ini telah hilang sejak Imam al-Syathibi masih lagi hidup.

6. Kitab Usul an-Nahw

Kitab ini membahaskan secara mendalam tentang Qawa’id Lughah dalam ilmu Sorof dan ilmu Nahu. Di dalamnya dibahaskan Qawa’id Asliyyah sekitar subjek tersebut, malangnya kitab ini sudah hilang semenjak dahulu lagi.

7. Al-Ifadaat wa al-Insyadaat

Kitab ini khusus ditulis sebagai gambaran perjalanan hidup Imam al-Syathibi sekaligus menyebutkan guru-guru dan murid-muridnya.

8. Fatawa al-Syathibi

Kitab ini adalah kitab yang bukan dikarang oleh Imam al-Syathibi ia hanya merupakan himpunan dan kumpulan fatwa-fatwa beliau yang terkandung di dalam Kitab al-I’tisom dan al-Muwafaqat.Di antara pelbagai karya Imam al-Syathibi ini, kitab yang sempat dicetak cuma tiga buah sahaja setakat pengetahuan saya iaitu kitab al-Muwafaqat, kitab al-I’tisom dan kitab al-Ifaadat wa al-Insyadaat.

Segala usaha ini semoga mendapat keberkatan daripada Allah Taala hendaknya.

Rabu, 9 Julai 2008

Majalah i May 2008 : WAJIBKAH BERPEGANG KEPADA MAZHAB


WAJIBKAH BERPEGANG KEPADA MAZHAB?
Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

Antara isu yang sering diperdebatkan adalah tentang kewajipan untuk mengikuti hanya satu mazhab di dalam segala perkara berkaitan dengan fekah.. Di dalam masyarakat Islam di Malaysia telah tersebarnya pandangan bahawa sekiranya seseorang itu tidak mengikuti satu mazhab tertentu dalam sesuatu ibadah maka dia telah dianggap melakukan talfiq (mengikuti hukum tentang sesuatu perkara daripada pelbagai mazhab). Pada tanggapan mereka mengamalkan talfiq adalah sesuatu perbuatan yang diharamkan dan amal ibadah yang tidak bertaklid atau mengikuti hanya pada satu mazhab adalah tidak sah.

Sebelum penulis menjawab kekeliruan di atas, ingin penulis sisipkan beberapa Firman Allah S.W.T tentang kewajiban kita untuk mencontohi Rasulullah s.a.w. dalam apa jua keadaan.

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang). - al-Ahzaab (33) : 21

Ayat ini merupakan pokok dan dasar yang agung dalam anjuran dari Allah S.W.T. untuk mencontohi Rasulullah s.a.w., baik dalam perkataan, perbuatan mahupun keadaan atau keperibadian baginda.

Seterusnya Allah S.W.T. berfirman:

Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata. - al-Ahzaab (33) : 36

Ayat ini jelas menunjukkan bahawa apabila Allah S.W.T. dan Rasul-Nya telah menentukan hukum ke atas sesuatu perkara, maka tidak diperbolehkan untuk sesiapapun menentang hukum-hukum tersebut. Sesungguhnya manusia tidak memiliki pilihan selain tunduk atas segala yang telah diputuskan oleh Allah S.W.T. dan Rasul-Nya.

Firman Allah S.W.T.:

Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya. - al-Nisaa’ (4) : 59

Melalui ayat di atas Allah S.W.T. mewajibkan bagi kita sekiranya terjadi sesuatu perselisihan pendapat samada dalam perkara yang pokok atau cabang dalam agama, hendaklah dirujuk semula kepada al-Qur’an dan al-Sunnah untuk mendapatkan kepastian tentang pandangan mana yang lebih benar dan tepat. Keengganan mencerminkan sikap seseorang yang tidak beriman sepenuhnya kepada Allah S.W.T. dan hari akhirat.

Maka dengan berdalilkan ayat-ayat di atas, Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah berpendirian untuk tetap berada di atas sunnah Rasulullah s.a.w. dalam apa jua bentuk ibadah. Berpijak atas dasar ini maka telah wujud kesepakatan antara keempat-empat imam mazhab untuk mengutamakan al-Qur’an dan hadis-hadis Nabi shalallahu 'alaihi wasallam dari pendapat mereka sendiri malah mereka melarang keras manusia untuk bertaklid kepada mereka apabila pendapat mereka bertentangan dengan Kitabullah dan hadis-hadis tersebut.

Telah berkata Imam Abu Hanifah r.h:
Kalau saya mengemukakan suatu pendapat yang bertentangan dengan al-Qur’an dan Hadis Rasulullah s.a.w., tinggalkanlah pendapatku itu. - Dinukil daripada buku Sifat Shalat Nabi shalallahu 'alaihi wasallam oleh Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani, Media Hidayah, ms. 55

Imam Malik bin Anas r.h pula telah berkata:
Saya hanyalah seorang manusia, terkadang salah, terkadang benar. Oleh itu, telitilah pendapatku. Bila sesuai dengan al-Qur’an dan al-Sunnah, ambillah; dan bila tidak sesuai dengan al-Qur’an dan al-Sunnah, tinggalkanlah. - Dinukil daripada buku Sifat Shalat Nabi, ms. 55-56

Sementara itu Imam Muhammad bin Idris al-Syafi’i r.h berkata:
Bila suatu masalah ada hadisnya yang sah dari Rasulullah s.a.w. menurut kalangan ahl al-Hadis, tetapi pendapatku menyalahinya, pasti aku akan mencabutnya, baik selama aku hidup mahupun setelah aku mati. - Dinukil daripada buku Sifat Shalat Nabi, ms. 59

Selanjutnya Imam al-Syafi’i r.h juga pernah berkata:
Bila kalian menemukan dalam kitabku sesuatu yang berlainan dengan hadis Rasulullah, peganglah hadis Rasulullah itu dan tinggalkanlah pendapatku itu. - Dinukil daripada buku Sifat Shalat Nabi, ms. 58

Imam Ahmad bin Hanbal r.h pula menyatakan sebagai berikut:
Barangsiapa yang menolak hadis Rasulullah s.a.w., dia berada di jurang kehancuran. - Dinukil daripada buku Sifat Shalat Nabi, ms. 51

Oleh itu bolehlah kita rumuskan bahawa mazhab sebenar keempat-empat imam tersebut berdiri atas tiga prinsip utama iaitu :

1) Kesahihan hadis Rasulullah s.a.w.



2) Jika pendapat mereka bertentangan dengan sabda Nabi s.a.w. mereka menolak pendapat mereka dan mengambil sabda Nabi s.a.w.



3) Jika ada hadis yang sahih dalam suatu masalah yang bertentangan dengan pendapat mereka, maka mereka menarik kembali pendapat mereka, baik ketika mereka masih hidup mahupun sesudah mereka meninggal.

Menurut Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah tidak ada seorang imam atau ulamak pun yang terpelihara dari melakukan kesilapan dan kesalahan walaupun mereka telah mencapai darjat ilmu yang sangat tinggi. Manusia yang maksum (tidak berbuat salah) hanyalah Rasulullah s.a.w.. Oleh itu bukanlah menjadi satu kesalahan untuk meninggalkan pendapat mazhab masing-masing apabila terjumpa hadis yang sahih dari Rasulullah s.a.w.. Ini telah dipraktikkan oleh para pengikut imam-imam tersebut. Sebagai contohnya anak murid Imam Abu Hanifah iaitu Muhammad bin Hasan dan Abu Yusuf telah menolak satu pertiga dari pendapat gurunya. Begitu juga dalam apa jua bentuk ibadah ianya bukanlah menjadi satu kesalahan untuk mengikuti (ittiba’) sunnah Nabi s.a.w. dan meninggalkan pendapat mazhab rasmi negara kita iaitu mazhab al-Syafi’i kerana keempat-empat Imam Mazhab termasuk Imam Muhammad bin Idris al-Syafi’i sendiri tidak rela pendapat mereka lebih diutamakan dari al-Qur’an dan al-Sunnah.

Mendahulukan hadis Nabi s.a.w. dari pendapat mazhab masing-masing bukanlah perbuatan talfiq yang tercela, malah telah menjadi kesepakatan bahawa kewajipan dalam beribadah adalah dengan mencontohi Rasulullah s.a.w. dalam segala permasalahan. Mazhab-mazhab hanya bertindak sebagai sarana untuk memudahkan kita memahami hukum-hukum yang terkandung dalam al-Qur’an dan al-Sunnah.

Menurut Syaikh al-Albani r.h:

Sesungguhnya penyeru untuk kembali kepada al-Sunnah tidak bermaksud meninggalkan semua mazhab yang ada baik secara global mahupun secara rinci, bahkan mereka (yang mengajak untuk kembali kepada sunnah Nabi s.a.w. - Pen) senantiasa menghargai mazhab-mazhab tersebut dan menghormati para imam mazhab sambil bergantung pada pandangan para imam untuk memahami al-Kitab dan al-Sunnah. Mereka hanya meninggalkan pendapat para imam apabila jelas bertentangan dengan al-Kitab dan al-Sunnah. - Muhammad Nashiruddin al-Albani, Risalah Ilmiah Albani, Pustaka Azzam, ms. 42

Tentang amalan memilih-milih antara mazhab atau talfiq maka tidak ada satu nas dari al-Qur’an dan hadis yang mengharamkannya. Begitu juga tidak ada satu nas dari al-Qur’an dan al-Sunnah yang mewajibkan kita hanya mengikuti satu mazhab sahaja. Yang wajib kita patuhi tanpa berbelah bagi adalah Allah dan Rasul-Nya. Firman Allah S.W.T :

Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman ketika mereka diajak ke pada Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya, supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka, hanyalah mereka berkata: "Kami dengar dan kami taat": dan mereka itulah orang-orang yang beroleh kejayaan. Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya dan takut melanggar perintah Allah serta, menjaga dirinya jangan terdedah kepada azab Allah, maka merekalah orang-orang yang beroleh kemenangan. - al-Nuur (24) : 51-52

Telah berkata Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyyah r.h dalam Majmu’ al-Fatawa (jilid 22, ms. 252):

Apabila seorang pengikut mazhab Abu Hanifah, Malik, al-Syafi’i atau Ahmad lalu dia melihat dalam sebahagian masalah mazhab lain ternyata lebih kuat lalu dia mengikutinya, maka dia telah melakukan sesuatu yang baik. Dia tidak menyalahi agama mahupun kredibilitinya. Bahkan sikap ini adalah lebih benar dan lebih dicintai Allah dan Rasul-Nya s.a.w. berbanding seseorang yang taksub kepada tokoh tertentu selain Nabi, seperti orang yang taksub kepada Malik atau al-Syafi’i atau Ahmad atau Abu Hanifah serta menganggap pendapat tokoh tersebut adalah benar yang mesti diikuti dan tidak boleh mengikuti pendapat imam yang berbeza (pendapat) dengannya. Sesiapa yang melakukan sedemikian, dia adalah orang jahil, sesat bahkan mungkin menjadi kafir…

Syaikh Muhammad Sulthan al-Maksumi al-Khajandi r.h pula berpendapat:

Mazhab-mazhab adalah pendapat dan pemahaman orang-orang berilmu dalam beberapa masalah serta ijtihad. Pendapat, ijtihad dan pemahaman ini tidak diwajibkan Allah dan tidak pula diwajibkan oleh Rasul-Nya kepada seseorang untuk mengikutinya. Di dalamnya (pendapat mazhab-mazhab tersebut – pen) terdapat kemungkinan betul dan salah, dan tidak ada yang betul-betul benar kecuali yang berasal dari Rasul s.a.w.. Seringkali terjadi para imam memiliki satu pendapat dalam sesuatu masalah lantas apabila mereka melihat kebenaran berlawanan dengan pendapat tersebut, lalu mereka menarik kembali pendapat. - Muhammad Sulthan al-Maksumi al-Khajandi, Perlukah Bermazhab, Penerbit Aras Sarana Widia, ms. 54.

Dr. Yusuf al-Qaradhawi telah berkata:

Yang terpenting adalah, hendaklah engkau mengetahui bahawa taklid seorang awam kepada salah seorang imam merupakan hal yang dibolehkan sesuai dengan kaedah dan darjatnya dan ia bukan merupakan satu kewajipan sebagaimana yang dikatakan oleh sebahagian ulamak kebelakangan. Ini kerana tidak ada satupun yang wajib kecuali apa yang telah diwajibkan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah. Kenyataannya, kedua-dua sumber tersebut tidak mewajibkannya. Berdasarkan hal ini tidak ada larangan bagi seorang Muslim untuk bebas mengikuti sesuatu mazhab tertentu atau bertanya kepada salah seorang ulamak yang mudah dihubunginya berkenaan sesuatu masalah yang dihadapinya tanpa harus terikat kepada seorang imam sahaja sehingga tidak boleh bertanya kepada imam yang lain.

Jalan inilah yang ditempoh oleh para sahabat dan orang-orang yang mengikuti jejak mereka pada abad-abad terbaik umat ini. Allah telah menghindari mereka daripada praktik taklid yang tercela ini (iaitu terbatas kepada satu imam atau mazhab sahaja).

Orang yang paling penting diberi kebebasan dalam menentukan mazhab mana yang ingin diikutinya ialah orang-orang baru memeluk Islam. Mereka boleh sahaja mengikuti apa yang sebenarnya tidak ditetapkan oleh Allah Ta‘ala, iaitu bertanya kepada mana-mana ulamak yang mereka kehendaki. Juga sebaiknya untuk mereka dikarang buku-buku yang bersifat sederhana yang menjelaskan ajaran Islam tanpa terikat kepada satu mazhab tertentu. - Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Bagaimana Berinteraksi Dengan Peninggalan Ulama’ Salaf , Pustaka al-Kautsar, ms. 118.

Selanjutnya Dr. M. Said Ramadhan al-Buthi pula berkata:

Tidaklah menjadi satu kewajipan bagi seseorang muqallid (mereka yang bertaklid) untuk mengikuti salah satu mazhab tertentu, atau menjadi satu perkara yang haram baginya untuk berpindah-pindah mazhab. Begitu pula telah menjadi suatu kesepakatan kaum muslimin, bahawa seorang muqallid dapat memilih atau mengikuti salah satu mujtahid jika telah diyakini kebenaran mazhab-mazhab dan pendapat-pendapatnya, seperti seseorang berpindah-pindah kepada salah satu dari keempat imam mazhab.

Maka seandainya, pada masa sekarang ada yang melarang untuk berpindah-pindah mazhab, orang itu telah masuk dalam kategori fanatik yang menyesatkan, yang telah menjadi suatu kesepakatan kaum Muslimin untuk meniadakannya.

Suatu yang harus diketahui bagi seorang peneliti, tidak ada pertentangan bahawa tidak ada hukumnya bagi seorang muqallid untuk tidak mengikuti satu mazhab sahaja, atau berpindah-pindah ke mazhab yang lain. Artinya tidak ada kewajipan untuk terikat kepada salah satu mazhab tertentu, sama dengan tidak ada pelarangan untuk terikat kepada salah satu mazhab. - Dr. M. Said Ramadhan al-Buthi, Madzhab Tanpa Madzhab Bid’ah Dalam Syari’at Islam, Pustaka al-Kautsar, ms. 9.

Tambah beliau lagi:

Seorang muqallid jika dapat memahami suatu permasalahan dengan memahami dalil-dalilnya, baik dari al-Qur’an, hadis, atau kaedah ushuliyyah, maka wajib baginya untuk melepaskan diri dari mengambil pendapat imam-imam mazhab, apabila telah mampu melakukan ijtihad sendiri berdasarkan keilmuan yang dimiliki. - Madzhab Tanpa Madzhab Bid’ah Dalam Syari’at Islam, Pustaka al-Kautsar, ms. 9-10.

Dengan ini boleh kita simpulkan bahawa Ahl al-Sunnah berpendapat yang wajib dicontohi ialah Rasulullah s.a.w. seorang yang terpelihara dari melakukan kesilapan (maksum), selain baginda s.a.w. maka perkataan sesiapapun boleh ditolak termasuklah keempat-empat imam mazhab tersebut. Ini sebagaimana yang diperkatakan oleh Imam Malik r.h sendiri: “Siapapun perkataannya boleh ditolak dan diterima, kecuali Nabi shalallahu 'alaihi wasallam sendiri.” (Dinukil daripada kitab Sifat Shalat Nabi, ms. 56) Oleh itu tindakan sesetengah pihak yang melihat kesempurnaan sesuatu ibadah itu hanya diiktiraf sekiranya ianya secocok dengan mengikuti hanya satu mazhab adalah satu tindakan yang tidak tepat dan bertentangan dengan syari’at. Budaya taksub mazhab sebegini harus dikikis dari jiwa setiap umat Islam. Apa yang penulis ingin tekankan sebenarnya tidak ada salahnya untuk mengikuti mazhab asalkan pendapat mazhab itu tidak lebih diutamakan dari al-Qur’an dan hadis Nabi shalallahu 'alaihi wasallam. Dalam ertikata lain sekiranya di dalam sesuatu mazhab itu terdapat amalan yang bercanggah dengan al-Qur’an dan al-Sunnah maka hendaklah ditinggalkan pendapat mazhab tersebut. Diakibatkan oleh bisikan syaitan, wujud dikalangan umat Islam yang begitu taksub terhadap mazhab masing-masing sehingga mereka beranggapan hanya mazhab mereka sahaja yang benar dan wajib ditaati dalam apa jua keadaan. Menurut Syaikh Muhammad Sulthan al-Maksumi al-Khajandi r.h:

Dari sanalah (sikap fanatik mazhab – pen) munculnya saling membenci, saling meninggalkan, saling menghasut dan takbur, hingga urusan umat Islam berantakan dan persatuan menjadi cerai-berai. Jadilah mereka santapan orang-orang Eropah dan penindas. Bukankah setiap imam Ahl al-Sunnah rahimahumullah itu merupakan imam kita dan kita di barisan mereka? Sangat disesalkan orang-orang fanatik ini! Ya Allah, tunjukilah kami dan mereka ke jalan yang lurus. - Syaikh Muhammad Sulthan al-Maksumi al-Khajandi, Perlukah Bermazhab, ms. 86.

Selasa, 8 Julai 2008

Majalah i Bulan Julai 2008




Assalaamu'alaikum


Alhamdulillah Majalah i edisi bulan Julai 2008 telah memaparkan artikel akob yang bertajuk MENGHILANGKAN PENGHALANG TERMAKBULNYA DOA. Terima kasih kepada En. Ahmad Yani, Chief Editor Majalah i.


Selain dari itu Majalah i bulan Julai ini juga telah memaparkan banyak topik-topik yang menarik. Tumpuan utama pada bulan ini adalah tentang kembara rohani. Bagimana seseorang itu melalui fasa-fasa dalam hidup dan akhirnya berjaya mendapat hidayah untuk menjadi insan yang lebih beriman. Antara yang menarik adalah perbincangan tentang perjalanan hidup Malcolm X dari penjenayah ke Nation of Islam ke Muslim Mosque Inc. Bagaimana ibadah haji di Makkah telah merubah persepsi dakwah Malcolm X. Turut dikupas tentang kembara rohani Hajjah Wan Chik Daud, pembaca berita pertama yang memakai tudung di Malaysia.


Mufti Perlis, Dr. Asri Zainul Abidin pula menulis tentang HAK WANITA : ANTARA HUKUM TUHAN DAN PERLAKSANAAN INSAN. Dengan nada yang sama Maizura Mohd Ederis pula membahaskan isu SUARA MUSLIMAH : ANTARA TULEN DAN RADIKAL


Majalah i bulan ini juga membahaskan tentang Tujuh tokoh ulamak yang telah mendapat gelaran Syaikh al-Islam seperti Ibnu Qudamah, Izuddin bin Abdissalam, Imam Nawawi, Ibnu Daqiq, Ibnu Taymiyyah, as-Subki dan Ibnu Hajar. Di sisi lain pula terdapat sebuah artikel yang menceritakan tentang insan-insan yang pernah mengaku menjadi Nabi seperti Musailamah, Aswad al-Ansi, Mirza Ghulam Ahmad sehinggalah ke Rasul Malaysia Haji Kahar. Apa yang lebih menarik majalah i bulan Julai ini juga mendedahkan bahayanya Gerakan Orientalist kepada Umat Islam dan biografi ringkas tokoh-tokoh mereka.


Masih banyak lagi artikel-artikel yang menarik dalam Majalah i bulan Julai. Pastikan anda beli senaskah.



Sekian Wassalaam.