Selasa, 15 Julai 2008

Sesatkah Wahhabi?

Assalaamu'alaikum


Semenjak kebelakangan ini ada beberapa kumpulan ekstrem yang telah menjelajah ke seluruh negara untuk memberi ceramah bertujuan untuk menyesatkan Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyyah, Syaikh Muhammad Abdul Wahhab dan pengikut golongan yang mereka gelarkan sebagai Wahhabi atau Kaum Muda.


Akob sedikit sebanyak telah mengupas isu ini dalam buku akob bertajuk "Fahaman Wahhabi Menular". Sila dapatkan buku tersebut di pasaran. Masih banyak lagi buku yang memperjelaskan isu ini yang telah di tulis ataupun diterjemahkan dan ianya mudah untuk dibeli di pasaran. Buku-buku ini telah membuktikan tuduhan kelompok ekstrem terhadap golongan Wahhabi ini sebenarnya terdapat unsur-unsur fitnah.


Namun semalam akob mendapat sms dari sahabat akob al-Fadhil Ustaz Adlan seorang ulamak muda yang tinggi ilmunya dalam pelbagai bidang terutamanya Ilmu Hadis tentang wujudnya sebuah artikel penjelasan JAKIM tentang isu Wahhabi. Alhmadulillah akob ingin berkongsi bersama penjelasan tersebut dengan pembaca blog akob walaupun beberapa fakta dalam penjelasan tersebut memerlukan penjelasan lanjut. Namun ianya memadai untuk menidakkan tuduhan yang melampau dari kelompok ekstrem dalam menuduh golongan Wahhabi aka Kaum Muda ini sesat.


Sekian Wassalaam







PANDANGAN RASMI JAKIM TENTANG ISU WAHHABIYYAH

Caw. Aqidah, Bah. Penyelidikan JAKIM
http://caw-aqeedah.blogspot.com/


Isu Wahhabiyyah atau nama lainnya seperti Ittiba’ al-Sunnah, Kaum Muda atau Salafiyyah telah dibincangkan beberapa kali di peringkat Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan Mesyuarat Panel Kajian Aqidah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Pada asasnya kerajaan menolak kehadiran fahaman Wahhabiyyah atas dasar ia boleh menimbulkan kekecohan dan perpecahan di kalangan umat Islam. Ia sepertimana yang telah diputuskan di dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan iaitu pada kali ke-12 (1985), kali ke-14 (1985), kali ke-16 (1986), kali ke-40 (1996), kali ke-42 (1997) dan kali ke-44 (1998). Ia juga dibincangkan berkali-kali di dalam mesyuarat Panel Kajian Aqidah JAKIM pada kali ke-14 tahun 2000, kali ke-20 tahun 2002 dan kali ke-23 tahun 2003. Kesemua keputusan perbincangan adalah menjurus kepada menyekat penularan fahaman Wahhabiyyah atas alasan isu-isu khilafiyyah fiqhiyyah yang dibangkitkan boleh menggugat perpaduan umat Islam di Malaysia.

Bagaimanapun keputusan tidak mengatakan bahawa Wahhabiyyah merupakan ajaran sesat malah Wahhabiyyah masih dianggap sebagai Ahli Sunnah Wal-Jamaah.

Perbincangan Fatwa

Kertas konsep dan kedudukan mazhab Ahli Sunnah Wal-Jamaah dalam pentadbiran Islam di Malaysia telah dibentangkan sebanyak tiga kali oleh S.S. Mufti Perlis (Dato’ Alim Panglima Mat Jahya Hussin) iaitu pada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-40 (1996), kali ke-42 (1997) dan kali ke-44 (1998). Antara hujjah-hujjah yang dikemukakan oleh beliau berhubung pengamalan Ahli Sunnah di negeri Perlis adalah seperti berikut:-

a) Di negeri Perlis, Perlembagaan Negeri, undang-undang Pentadbiran Negeri, agama Islam negeri serta mazhab yang dianuti oleh Ketua beragama Negeri dan Ahli Majlis Agama Islam Negeri, adalah mengikut mazhab Ahli Sunnah Wal-Jamaah iaitu sama ada mazhab Hanafi, Maliki, Hanbali dan Syafi’i. Apa yang jelas hanya negeri Perlis yang tidak terikat dengan salah satu daripada mazhab tersebut. Dari segi aqidah pula tidak dinafikan lagi bahawa ia di bawah aliran mazhab Ahli Sunnah Wal-Jamaah pimpinan Abu Hasan al-Asy’ari dan Abu Mansur al-Maturidi sebagaimana negeri lain juga di Malaysia.


b) Mengikut keputusan fatwa negeri Perlis, asas pegangan ialah; al-Qur’an, Hadith Sahih, ijma’ Sahabah, fatwa Sahabah, Hadith Mursal dan Hadith Daif,qiyas ketika darurat, al-masalih al-mursalah, sadd al-zara’i’, istihsan, ‘uruf dan al-qawa’id al-fiqhiyah.

Berdasarkan apa yang dibentangkan oleh S.S. Mufti Perlis, muzakarah telah bersetuju untuk menerima kertas tersebut tetapi dengan beberapa keputusan dan ulasan seperti berikut:-

a) JFK bersetuju supaya dikaji semula definisi hukum syara’ yang mengecualikan Perlis daripada mazhab yang mu’tabar.

b) Mana-mana golongan yang mengisytiharkan diri mereka tidak bermazhab dan menganggap bahawa dialah orang yang lebih baik di samping mencerca dan menghina golongan yang bermazhab, sedangkan mereka ini berada di dalam kelompok yang sama, maka pendekatan dengan cara perbincangan adalah lebih baik supaya tidak timbul perpecahan di kalangan umat Islam sendiri.

c) Golongan yang tidak bermazhab atau Wahhabi adalah sama sahaja kerana mereka begitu aktif bergerak untuk menyebarkan fahaman mereka.

Kesimpulannya, fahaman Ahli Sunnah Wal-Jamaah di Perlis dari segi aqidah adalah sama seperti di negeri-negeri lain walaupun berbeza manhaj. Apa yang berbeza hanyalah fahaman mereka terhadap tradisi bermazhab yang tidak terikat dengan mana-mana mazhab. Selain daripada itu kertas konsep Ahli Sunnah Wal-Jamaah yang dibentangkan oleh S.S. Mufti Perlis diterima oleh ahli JFK dengan beberapa pindaan dan pembetulan.

Keputusan Panel Kajian Aqidah Terdahulu Berkenaan Ibnu Taimiyyah dan Wahhabiyyah

Mesyuarat Panel Kajian Aqidah kali ke-14 pada 21 Mac 2000 mengambil keputusan bahawa;


1) Aqidah yang dibawa oleh Muhammad bin Abdul Wahab tidak bersalahan dengan aqidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah tetapi pengikut Wahhabi membesarkan perkara bid’ah dan khilafiah.


2) Golongan Wahhabi di Malaysia tidak mahu menerima pendapat golongan yang selain dari mereka dan mereka tidak menerima pembahagian bid’ah kepada Bid’ah Hasanah dan Bid’ah Dhalalah.


3) Hendaklah dibuat pemantauan kepada guru-guru yang berfahaman Wahhabi dan guru-guru ini hendaklah dipanggil dan dijelaskan kedudukan mazhab di Malaysia.


Mesyuarat Panel Kajian Aqidah kali ke-20 bertarikh 29 April 2002, setelah membincangkan kerta kerja bertajuk “Pendekatan Antara Ahli Sunnah Dan Wahhabi” memutuskan bahawa sumber utama bagi kedua-dua aliran pemikiran ini adalah sama iaitu al-Quran dan al-Hadith serta meletakkan naqli mendahului akal.

Mesyuarat Panel Kajian Aqidah kali ke-23 bertarikh 13 Mac 2003, kertas kerja bertajuk “Ibn Taimiyyah” telah dibentangkan. Mesyuarat memutuskan bahawa Ibn Taimiyyah dan Wahhabiyyah adalah dari golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Mesyuarat juga memutuskan karangan Haji Said Haji Ibrahim dalam bukunya Perbandingan Aqidah Dan Fahaman Umat Islam dan K.H. Siradjuddin Abbas dalam bukunya Iktikad Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang menyentuh tentang kesalahan aqidah Ibn Taimiyyah mengandungi fakta yang salah dan boleh menyebabkan orang menuduh Ibn Taimiyyah adalah kafir.

Justeru mesyuarat mencadangkan usaha menyatukan pandangan di antara Ahli Sunnah dan Ibn Taimiyyah dan seterusnya mengeluarkan satu garis panduan yang menerangkan tentang konsep yang mesti dipegang oleh masyarakat agar tidak berlakunya tuduh menuduh antara satu pihak dengan pihak yang lain.

Pandangan Prof. Dato’ Dr. Abdul Shukor Husin merangkap Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan

Prof. Dato’ Dr. Abdul Shukor Husin di dalam kertas kerja beliau berjudul ‘Ahli Sunnah Wal-jamaah, Pemahaman Semula’ menyebut:

“Berdasarkan pegangan dan penghayatan masyarakat Islam Malaysia, budaya ilmu dan pengajian serta kekuatan undang-undang penguatkuasaan yang tersurat dan tersirat, ternyata meluas dan kukuhnya pengaruh aliran Ahli Sunah khususnya Asyairah dan Maturidiah dalam masyarakat Islam di Malaysia. Tidak keterlaluan jika kita rumuskan bahawa masyarakat Islam Malaysia khususnya orang awam dalam aspek akidah, fahaman aliran Asyairah adalah sinonim dengan Ahli Sunah. Sementara aliran lain seperti Salaf - Ibnu Taimiah dan Wahabiah tidak begitu dikenali atau tidak dianggap sebahagian daripada aliran Ahli Sunah. Oleh itu apabila aliran ini dibincang dan diketengahkan ke dalam masyarakat walaupun untuk tujuan ilmiah, masyarakat Islam terasa ganjil dan resah kerana terdapat kelainan dengan apa yang mereka fahami dan hayati”.

“Fahaman dan pegangan masyarakat Islam kepada aliran Asyairah dan Maturidiah sebagai Ahli Sunah Waljamaah adalah benar dan secara tidak langsung memberikan sumbangan yang membina kepada kesatuan akidah dan rohani masyarakat Islam. Ini kerana fahaman Asyairah dan Maturidiah pada hakikatnya adalah sebahagian daripada Ahli Sunah Waljamaah tetapi fahaman tradisi ini tidak dapat memberikan kefahaman yang tepat dan menyeluruh tentang Ahli Sunah Waljamaah. Fahaman ini juga tidak mampu merentasi generasi Islam yang berada di abad awal Islam yang dikenali sebagai Ahli Salaf atau generasi sebelum Abu Hasan Asyaari dan Abu Mansur Maturidi. Berdasarkan pegangan dan fahaman tradisi masyarakat Islam maka Ahli Salaf dan generasi berikutnya tidak tergolong dalam Ahli Sunah Waljamaah. Oleh itu pemahaman tradisi ini harus dinilai kembali berasaskan pendekatan yang patut ditonjolkan bagi memahami aliran Ahli Sunah yang sebenar dengan lebih terbuka supaya fahaman yang sangat terbatas dan keresahan rohani serta perbezaan pendapat dapat dikurangkan”.


"Ahli Salaf dari perspektif metodologi ini tidak berakhir pada generasi pertama Islam. Malahan ia berterusan dan diperjuangkan oleh ulama yang ikhlas seperti Imam Malik bin Anas (w. 179H), Imam Ahmad bin Hanbal (w. 241H) dan pengikut-pengikut mereka. Pada awal abad ke-7 Hijrah lahir Imam Ahmad bin Abdul Halim (Ibnu Taimiah) dan Ibnu Qayyim Jawziyyah (w. 751H). Beliau adalah seorang murid setia kepada Ibnu Taimiah. Kemudian pada abad ke-12 Hijrah lahir pula di Semenanjung Tanah Arab seorang tokoh bernama Muhammad bin Abdul Wahab yang mengasas aliran Wahabiah. Walaupun kehadiran dan peranan tokoh-tokoh di atas berbeza dari sudut dan situasi persekitaran, namun faktor itu membuatkan mereka sentiasa mendahulukan petunjuk Quran dan Sunnah. Mereka tidak menerima pendekatan lain atau pandangan dari mana-mana sumber sebelum mereka menyelaraskannya dengan Quran dan Sunnah Nabi s.a.w.".


Pandangan Prof. Zakaria Stapa

Prof. Zakaria Stapa dalam satu wawancara dengan Utusan Malaysia berjudul ‘Jangan Berpecah Kerana Perbezaan Fahaman Sunni’ menjawab mengenai kumpulan Wahhabiyyah seperti berikut:-

“Masyarakat perlulah memahami bahawa fahaman Wahabi ini bukanlah ajaran sesat kerana ia juga termasuk dalam kumpulan aliran Ahli Sunah Wal Jamaah. Ia adalah gerakan yang diasaskan oleh Imam Muhammad Abdul Wahab at-Tamimi (1703-1791M) yang lahir di Uyaynah, utara Riyadh, Arab Saudi. Imam Muhammad Abdul Wahab adalah ulama yang berpegang kepada aliran Hanabilah (Hanbali) yang diasaskan oleh Imam Ahmad bin Hanbal. Pegangan tauhidnya pula berasaskan fikrah Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim yang juga bermazhab Hanbali. Dalam aspek akhlak dan tasawuf pula aliran Hanabilah banyak berpegang kepada pandangan Imam al-Harawi al-Ansari dan Sheikh ‘Abd al-Qadir al-Jaylani. Secara umumnya, Imam Muhammad Abdul Wahab muncul ketika pengaruh mazhab Hanbali merosot dan umat Islam pada masa itu banyak melakukan pencemaran akidah dan penyelewengan amalan keislaman seperti percaya kepada khurafat dan melakukan amalan bidaah. Sehubungan itu, beliau melancarkan gerakan reformasi dan pembaharuan di semenanjung Arab untuk membersih dan mengembalikan umat Islam kepada ajaran sebenar al-Quran dan hadis. Jadi, dari aspek sejarahnya mereka ini terpaksa mengambil pendekatan yang agak keras dalam usaha mencapai matlamat pembersihan akidah dan amalan keislaman tersebut”.

Keputusan Dar al-Ifta’ Mesir

Dar al-Ifta’ al-Misriyyah (Jabatan Fatwa Mesir) : Dalam keputusannya bernombor 375292 menyebut, Wahhabiyyah masih lagi termasuk di dalam Ahli Sunnah Wal-Jamaah walaupun mereka berpegang dengan manhaj yang rigid pada sesetengah perkara, maka tidak harus mengkafirkan atau menghukum mereka terkeluar daripada agama.

KESIMPULAN

Dasar kerajaan adalah jelas, Wahhabiyyah ditolak kerana metodologi dakwah mereka yang keras terutama dalam masalah fiqh dan bid’ah tidak sesuai untuk diamalkan di negara ini. Ia dikhuatiri boleh mengundang kegelisahan dan perpecahan umat Islam. Bagaimanapun aqidah Wahhabiyyah masih dianggap sebagai Ahli Sunnah Wal-Jamaah dan bukan ajaran sesat.

Sumber,
Cawangan Aqidah
Bahagian Penyelidikan JAKIM
PUTRAJAYA

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Apasal Zamihan yang juga kerja dengan JAKIM kecoh sana sini tuduh Wahabi sesat?

Kalau dia tak setuju dengan Cawangan Akidah, JAKIM, eloklah dia sendiri resign saja dari JAKIM.

Tokngah

Mohd Yaakub bin Mohd Yunus berkata...

Assalaamu'alaikum

Kepada Tok Ngah, akob tak rasa perlu untuk akob komen. Struktur serta manhaj kat JAKIM tu pun akob tak tahu. Yg pasti ada juga di JAKIM tu yg Pro sunnah.

Tentang Ustaz Zamihan memadailah akob katakan tok ngah dapat kan buku-buku beliau tentang Tahlil dan Kenduri Arwah, Salafi Wahhabi Satu Penilaian Semula dan kertas kerja beliau yang menyesatkan Wahhabi tu.

Selepas itu dapatkan pula buku-buku ini :-

1) Membela Sunnah Nabawiyyah oleh Ustaz Abdul Wahhab Bustami
http://www.jahabersa.com.my/store/My/productdetail.asp?ISBN=983-170-833-4

2) Pembongkaran Jenayah Ilmiah Buku Salafi Wahhabi Oleh Hafiz Firdaus Abdullah
http://www.jahabersa.com.my/store/My/productdetail.asp?ISBN=983-170-469-X

3) Siapakah Ahli Sunnah Yang Sebenar? Oleh Dr.Azwira Abdul Aziz
http://www.jahabersa.com.my/store/My/productdetail.asp?ISBN=983-170-964-0

4) Menjawab 17 Fitnah Terhadap Syaikh al-Islam ibn Taimiyyah oleh Syaikh Murad Syukri
http://www.jahabersa.com.my/store/My/productdetail.asp?ISBN=978-967-308-021

Setelah itu buatlah penilaian sendiri tentang Ustaz Zamihan ini.

Itu saja yg ingin akob sampaikan.

Sekian Wassalaam