Oleh: Mohd Yaakub Mohd Yunus
Muslim wajib dahului al-Quran, hadis untuk selesai masalah berbangkit
RASULULLAH SAW memberi gambaran bahawa pada zaman yang mendatang umatnya akan berselisih pendapat dalam banyak perkara.
Baginda SAW bersabda yang bermaksud: "Aku berwasiat kepada kamu untuk bertakwa kepada Allah, taat dan patuh (kepada pemimpin), walaupun yang memimpin kamu seorang hamba abdi berkulit hitam. Sesungguhnya sesiapa di antara kamu yang masih hidup setelah aku tiada, dia akan melihat banyak perselisihan. Maka hendaklah kamu berpegang teguh kepada sunnahku dan sunnah Khulafa' al-Rasyidun yang mendapat petunjuk. Gigitlah ia dengan geraham (iaitu berpeganglah dengan kuat), dan hendaklah kamu menjauhi perkara yang baru, kerana setiap perkara baru itu adalah bidaah dan setiap bidaah itu sesat." (Hadis sahih riwayat Abu Daud)
Ternyata ramalan Baginda SAW yang dibimbing wahyu Ilahi itu benar-benar menjadi kenyataan. Perselisihan pendapat sememangnya terjadi secara meluas dan ada kalanya sehingga ke tahap saling sesat-menyesatkan, kafir-mengkafirkan dan pertumpahan darah di antara sesama umat Islam.
Senario itu tidak sepatutnya berlaku kerana Baginda SAW sudah memberi panduan jelas bagaimana perselisihan pendapat harus ditangani iaitu dengan menjadikan al-Quran, al-Sunnah serta amalan para sahabat sebagai neraca timbangan.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Wahai orang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil-Amri (orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisih) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (al-Quran) dan (sunnah) Rasul-Nya, jika kamu benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya." (Surah al-Nisaa', ayat 59)
Namun kebiasaannya perselisihan pendapat ini tidak ditangani dengan sewajarnya kerana keengganan sesetengah pihak mengutamakan kebenaran dan terus bersikap keras untuk berpegang kepada pendapatnya sendiri mahupun golongannya.
Kesombongan yang terpalit di hati menjadi satu tembok sukar untuk dirobohkan apabila hendak merungkaikan sesuatu perselisihan apatah lagi jika seseorang itu memiliki kedudukan tinggi di tengah masyarakat.
Disebabkan sifat kesombongan maka apabila seseorang itu didatangkan kepadanya hujah daripada al-Quran dan al-Sunnah yang membuktikan pendapatnya tidak tepat, dia tetap keberatan untuk menerimanya bahkan terus memerangi pendapat yang bertentangan dengannya itu.
Ternyata sombong adalah satu sifat tercela dan boleh menyebabkan seseorang itu dimasukkan ke dalam neraka. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan apabila dikatakan kepadanya bertakwalah kepada Allah, bangkitlah kesombongan yang menyebabkannya berbuat dosa. Maka cukuplah (balasannya) neraka jahanam. Dan sesungguhnya neraka jahanam itu tempat tinggal yang seburuk-buruknya." (Surah al-Baqarah, ayat 206)
Status seseorang sebagai mufti, ustaz, pendidik, pensyarah atau imam tidak menjadikannya terpelihara daripada melakukan kesilapan sehingga pandangan mereka dalam hal yang dikhilafkan mesti dianggap benar.
Pandangan sesiapapun mesti diadili dengan neraca al-Quran dan al-Sunnah. Jika dalam sesuatu perselisihan pendapat itu jelas kelihatan kebenarannya maka sesiapapun tanpa mengira kedudukan hendaklah berpegang kepadanya walaupun ia bercanggah dengan pendapatnya mahupun golongannya.
Ada beranggapan apabila seseorang itu merubah pendapatnya maka kedudukan atau maruahnya akan tergugat. Akan tetapi tanggapan itu adalah kesalahan kerana kemahuan seseorang untuk menolak pendapat sendiri demi kebenaran sifat yang terpuji.
Jika dikaji sikap ulama, mereka sentiasa menerima teguran dengan hati terbuka, membetulkan ajaran mana yang tersilap dan menghormati antara satu sama lain.
Pernah sekali Imam Malik bin Anas ditanya adakah perlu membasuh jari kaki ketika berwuduk? Beliau menjawab: "Itu tidak perlu."
Setelah berakhirnya majlis kuliah, seorang anak murid Imam Malik, bernama Ibnu Wahab berkata: "Aku mengetahui akan suatu hadis berkenaan soalan tadi. Bertanya Imam Malik: Hadis apakah itu? Ibnu Wahab berkata: Laith ibnu Sa'ad, Ibnu Lahee'ah dan 'Amr bin al-Hariith meriwayatkan daripada Yazid bin 'Amr, daripada Mustawrid bin Shaddad; di mana mereka berkata: "Kami melihat Rasulullah menggosok antara jari kakinya ketika berwuduk dengan anak jarinya. Berkata Imam Malik: "Riwayat ini adalah sahih. Aku tidak pernah mendengarnya hingga seketika tadi. Ibnu Wahab seterusnya menerangkan bahawa Imam Malik kemudian mengajar orang ramai untuk menggosok jari kaki mereka apabila berwuduk."
Demikian sikap Imam Malik yang apabila saja dia mendengar hadis yang beliau anggap sebagai sahih, dia terus membetulkan ajarannya tanpa sebarang halangan atau keraguan. Sikap sedemikian rupa juga dipegang Imam al-Syafie.
Imam al-Syafie berkata: "Bila suatu masalah ada hadisnya yang sah daripada Rasulullah SAW menurut kalangan ahli hadis, tetapi pendapatku menyalahinya, pasti aku akan mencabutnya, baik selama aku hidup mahupun setelah aku mati." (Diriwayatkan oleh Abu Nu'aim di dalam al-Hilyah)
Justeru, hendaklah semua umat Islam mencontohi sikap kedua-dua imam apabila berhadapan dengan perselisihan pendapat. Hendaklah kita segera berpegang kepada pendapat yang benar apabila ia diperjelaskan kepada kita.
Sikap sebegini sedikitpun tidak menjejaskan keperibadian mahupun kedudukan seseorang malah ia mencerminkan sikap terbuka untuk menerima ilmu baru dan menepati dalil sah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan