Sabtu, 26 Julai 2008

TAHNIAH MAJALAH i & BERITA HARIAN

Assalaamu'alaikum
Alhamdulillah, akob ingin ucapkan sekalung tahniah kepada En Ahmad Yani & Crew MAJALAH i dan juga Pn Hasliza & Crew ruangan Agama di Berita Harian kerana telah memenangi anugerah pada malam Anugerah Media Islam Negara (AMIN). Selama ini MAJALAH i dan Berita Harian telah memberi sokongan yang hebat kepada akob dan sesungguhnya akob berbangga dengan pencapaian MAJALAH i dan Berita Harian.
Menerusi kategori Anugerah Penerbitan Media Cetak, akhbar Berita Harian dipilih sebagai Penerbit Akhbar Terbaik manakala Penerbit Terbitan Berkala Terbaik dimenangi Majalah-I terbitan Karangkraf Sdn. Bhd.
Tahniah sekali lagi kepada MAJALAH i dan Berita Harian dan terima kasih kerana sentiasa menyokong akob.
Sekian Wassalaam
Dr. Ismail pemenang Anugerah Perdana Media Islam Negara
PUTRAJAYA 24 Julai - Bekas Duta Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Dr. Ismail Ibrahim dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Perdana Media Islam Negara dalam majlis Anugerah Media Islam Negara (AMIN) Kali Kedua di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini malam ini.
Beliau yang juga bekas Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, aktif dalam penulisan buku terutama ketika berkhidmat sebagai Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan kini menjadi kolumnis akhbar Mingguan Malaysia.
Tokoh Maal Hijrah 2001 itu sekarang ialah penyandang Kursi Abdullah Fahim di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Dengan kemenangan itu, beliau menerima hadiah wang RM10,000, tiket mengerjakan umrah dan satu set terjemahan tafsir Fi Zilal al-Quran bernilai RM3,000 sumbangan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM).
Pada majlis anugerah anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu, penulis Shahrul Nazmi Sannusi menerusi rencananya Islam Dalam Dunia Perbankan - Fahami Maksud Elak Prejudis dalam majalah Al-Islam terbitan Utusan Karya Sdn. Bhd. memenangi kategori Penulis Rencana Terbaik.
Menerusi kategori Anugerah Penerbitan Media Cetak, akhbar Berita Harian dipilih sebagai Penerbit Akhbar Terbaik manakala Penerbit Terbitan Berkala Terbaik dimenangi Majalah-I terbitan Karangkraf Sdn. Bhd.
Bagi kategori yang baru diperkenalkan iaitu Anugerah Laman Web dimenangi oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bagi segmen Penerbit Laman Web Berunsur Islam Terbaik.
Majlis juga memberikan pengiktirafan kepada pengamal media dan seni menerusi Anugerah Penerbitan Radio, Anugerah PenerbitanTelevisyen dan Anugerah Drama.
Setiap pemenang anugerah kategori masing-masing menerima wang RM2,000, hadiah iringan dan satu set terjemahan kitab tafsir Fi Zilal Al-Quran sumbangan YAPEIM dan Jakim.
Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap merasmikan malam anugerah itu berkata, media Islam berperanan dalam mendidik dan membentuk nilai budaya murni yang kini semakin terhakis akibat acuan media Barat.
"Media Islam harus menyebarkan ideologi bukan sekadar mencerminkan realiti sosial, bahkan lebih jauh dari itu dengan mencipta realiti sosial yang Islamik.
''Dalam perkembangan dunia maklumat yang semakin rancak, kita tidak menafikan bahawa kegiatan dakwah umat Islam tidak akan berhasil tanpa didukung oleh media massa," katanya.
Amin iktiraf tokoh dakwah menerusi media
Oleh Hasliza Hassanbhagama@bharian.com.my

Komunikasi medium integrasi pertingkat martabat Islam tepati perubahanANUGERAH Media Islam Negara (Amin) kali kedua anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang berlangsung malam kelmarin bagi mengiktiraf sumbangan pengamal media cetak dan elektronik berjaya memberi persepsi baru dalam dunia dakwah masa kini. Ibarat majlis penyampaian anugerah Grammy, penerima Anugerah Perdana Media Islam Negara, Datuk Dr Ismail Ibrahim, 71, berkata Amin adalah dakwah integrasi yang mampu meningkatkan martabat Islam melalui media sebagai medium penting.

"Kehadiran serta pembabitan ramai artis tanah air memungkinkan majlis ini setanding majlis anugerah lain dan peningkatan dalam usaha dakwah sentiasa dialu-alukan supaya mengikut atau menepati perubahan semasa," katanya. Dalam ucapan ringkas selepas diumumkan sebagai penerima Anugerah Perdana Media Islam Negara kali kedua, Ismail sempat berkongsi perasaannya menerima pengiktirafan terhadap sumbangan yang semuanya hasil daripada cetusan pemikirannya Penyandang Kursi Sheikh Abdullah Fahim Institut Islam Hadhari (Hadhari) Universiti Kebangsaan Malaysia dan Tokoh Maal Hijrah 2002 itu berkata, sumbangan dalam penulisan atau pelaksanaan tugas diamanahkan lahir daripada sifat semula jadi.
Di samping itu, beliau mengakui pencapaian diraih sekarang adalah berkat asuhan ibunya yang sentiasa berpesan setiap kali keluar untuk menuntut ilmu supaya pergi terus, jangan tengok ke belakang. "Masa itu saya tidak tahu kenapa ibu saya berkata begitu tetapi sekarang saya faham maksud jangan paling belakang iaitu apabila pergi menuntut ilmu tumpu perhatian kepada apa yang diusahakan," katanya. Anugerah disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid. Hadir sama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim dan Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz. Anugerah Perdana Media Islam Negara diberikan kepada tokoh yang banyak memberi sumbangan dalam media khususnya mengenai perkembangan dan dunia Islam. Penerima membawa pulang wang tunai RM10,000, trofi, sijil penghargaan, tiket mengerjakan umrah untuk dua orang dan set kitab tafsir terjemahan Fi Zilal al-Quran.
Pada majlis itu juga akhbar Berita Harian sekali lagi dipilih penerima anugerah Penerbit Akhbar Terbaik untuk kali kedua. Kemenangan itu mengiktiraf sumbangan Berita Harian yang menyediakan dua halaman setiap hari bagi menyiarkan isu semasa mengenai Islam. Berikutan pemilihan itu, Berita Harian menerima hadiah wang tunai RM2,000, trofi, sijil penghargaan dan set kitab tafsir terjemahan Fi Zilal al-Quran. Anugerah Amin kali kedua menyediakan empat kategori utama iaitu Anugerah Penerbitan TV, Anugerah Penerbitan Radio, Anugerah Penerbitan Media Cetak, Anugerah Penerbitan Drama, Anugerah Laman Web serta Anugerah Perdana Media Islam Negara. Sebanyak lima kategori diberikan kepada Anugerah Penerbitan TV iaitu Penerbitan Dokumentari Berunsur Islam TV Terbaik, Penerbitan Majalah Berunsur Islam TV Terbaik, Penerbitan Bicarawara Berunsur Islam TV Terbaik, Penyampai Rancangan Agama TV Lelaki Terbaik dan Penyampai Rancangan Agama TV Terbaik. Anugerah Penerbitan Radio juga turut merangkumi lima kategori iaitu Penerbitan Dokumentari Berunsur Islam Radio Terbaik, Penerbitan Majalah Berunsur Islam Radio Terbaik, Penerbitan Bicarawara Berunsur Islam Radio Terbaik, Penyampai Rancangan Agama Radio Lelaki Terbaik dan Penyampai Rancangan Agama Wanita Radio Terbaik. Anugerah Penerbitan Media Cetak pula, lima kategori yang disediakan ialah Penerbit Buku Terbaik, Penerbit Terbitan Berkala Terbaik, Penerbit Akhbar Terbaik, Penulis Buku Terbaik dan Penulis Rencana Terbaik. Anugerah Penerbitan Drama menyediakan lapan kategori iaitu Penulis Skrip Drama Berunsur Islam Radio Terbaik, Penulis Skrip Drama Berunsur Islam TV Terbaik, Pelakon Drama Berunsur Islam Radio Lelaki Terbaik, Pelakon Drama Berunsur Islam Radio Wanita Terbaik, Pelakon Drama Berunsur Islam TV Lelaki Terbaik, Pelakon Drama Berunsur Islam TV Wanita Terbaik, Penerbit Drama Berunsur Islam Radio Terbaik, Penerbit Drama Berunsur Islam TV Terbaik. Majlis anugerah kali ini memperlihatkan kelainan apabila menampilkan gandingan pengacara, pelakon, penyanyi dan pelawak terdiri daripada Shamsul Ghau-Ghau, Fazley Yaacob, Fahrin Ahmad dan Wan Ashahilly. Artis tanah air turut menyerikan Amin sebagai penyampai anugerah antaranya Datuk Rahim Razali, Datuk Aziz Singah, Datuk Yusuf Haslam, Datuk Sarimah Ahmad, Kartina Aziz dan Datuk Siti Nurhaliza Tarudin yang turut membuat persembahan. Penonton turut dihiburkan dengan persembahan penyanyi Siti Fairuz, Aris Ariwatan, kumpulan nasyid Far East, Nasir Wahab dan Mohram. Kemuncak acara malam itu ialah cabutan nombor bertuah untuk semua pengunjung yang menawarkan hadiah pakej umrah serta buku. Malam anugerah Amin disiarkan secara langsung melalui RTM1.

Tiada ulasan: