Jumaat, 25 Julai 2008

WAHAI SUAMI! LAYANI ISTERIMU DENGAN BAIK

WAHAI SUAMI! LAYANI ISTERIMU DENGAN BAIK
Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

Setiap pasangan suami isteri pasti akan mengimpikan satu kehidupan yang bahagia dan harmoni. Setiap suami juga pasti mengidamkan seorang wanita solehah yang merupakan sebaik-baik kenikmatan dunia.

Sabda Nabi s.a.w:

"Dunia itu penuh dengan kenikmatan dan sebaik-baik kenikmatan dunia adalah isteri yang solehah." - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no: 1467.

Namun begitu, apa yang sering dicanangkan adalah peranan isteri untuk membentuk keluarga yang harmoni, bagaimana isteri patut taat kepada suami, apakah balasan bagi isteri yang derhaka, apakah balasan terhadap isteri yang menolak pelawaan suami untuk bersetubuh dan tugas-tugas isteri untuk membahagiakan suami. Hanya sekali-sekala diketengahkan perbahasan tentang apa yang suami perlu lakukan untuk membina sebuah keluarga yang dihiasi dengan perasaan cinta (mawaddah) dan kasih-sayang (rahmah).

Firman ALLAH S.W.T:

"Dan antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-NYA dan rahmat-NYA bahawa DIA menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri dari jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-NYA antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang serta belas kasihan. Sesungguhnya demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir." - Surah al-Ruum: 21.

Suami sememangnya telah diperintahkan oleh ALLAH untuk melayan isteri dengan penuh kebaikan.

Firman ALLAH S.W.T:

"Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik." – Surah al-Nisa’: 19.

Melalui buku ini, marilah kita menelusuri sunnah Nabi s.a.w tentang peranan suami dalam usaha membentuk hubungan yang penuh mawaddah (cinta) dan rahmah (kasih sayang) bersama isteri.

Melayani Isteri Dengan Baik

Seorang suami wajib melayani isterinya dengan perilaku yang baik dan menuruti kehendak isteri dalam perkara yang sesuai dengan syarak. Terdapat begitu banyak nas yang menunjukkan kewajipan ini.

Rasulullah s.a.w bersabda:

"Sesungguhnya orang yang paling baik antara kamu semua adalah orang yang paling baik terhadap isterinya dan aku adalah orang yang terbaik antara kamu semua (dalam membuat kebaikan) terhadap isteriku." - Hadis riwayat al-Tirmizi di dalam Sunan al-Titmidzi, kitab al-Manaqib, hadis no: 3830.

Rasulullah s.a.w bersabda:

"Orang yang paling sempurna imannya adalah yang terbaik akhlaknya antara mereka dan yang paling baik adalah yang paling baik akhlaknya terhadap isteri-isterinya." - Hadis riwayat al-Tirmizi di dalam Sunan Tirmizi, hadis no: 1082.

Para suami juga dituntut berlaku adil terhadap isterinya dengan menunaikan segala haknya dalam semua perkara yang selari dengan syarak.

Firman ALLAH S.W.T:

"Sesungguhnya ALLAH menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat, melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. DIA mengajar kamu (dengan suruhan dan larangan-NYA ini) supaya kamu mengambil peringatan mematuhi-NYA." – Surah al-Nahl: 90.

Bagi suami yang berlaku adil terhadap isterinya maka ganjaran ALLAH di hari akhirat nanti begitu besar sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:

"Orang-orang yang berlaku adil di sisi ALALH nanti akan ditempatkan di atas mimbar-mimbar yang diperbuat dari cahaya dari sebelah kanan al-Rahman 'Azza wa Jalla (ALLAH) lalu Nabi mengangkat tangan kanan-NYA. Orang-orang yang termasuk golongan itu (sebelah kanan Nabi) adalah orang yang adil dalam pemerintahannya, adil terhadap isterinya dan tidak menyimpang." - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no: 1827.

Lelaki merupakan pemimpin bagi wanita sebagaimana firman ALLAH S.W.T:

"Kaum lelaki itu adalah pemimpin terhadap kaum perempuan." – Surah al-Nisa’: 34.

Walaupun ALLAH telah menetapkan bahawa suami adalah pemimpin bagi keluarganya namun ia bukan menjadi 'lesen' bagi para suami untuk bersikap seperti seorang diktator, zalim, sombong serta berkeras terhadap isteri-isteri mereka.
Kekuasaan yang diberi oleh ALLAH itu sebenarnya menuntut sikap bertanggungjawab, kebijaksanaan, adil, sabar dan mampu untuk mengendali segala permasalahan atau bebanan yang timbul dalam rumahtangga. Dalam erti kata lain, status kepimpinan suami itu adalah dalam rangka untuk merealisasikan perintah ALLAH bagi melayan kaum wanita atau isteri dengan sebaik mungkin.

Firman ALLAH S.W.T:

"Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik." – Surah al-Nisa’: 19.

Memberi Nafkah Zahir Yang Sempurna Mengikut Kemampuan

Sudah menjadi kewajipan bagi seorang suami memberi nafkah untuk ahli keluarganya berupa makanan, pakaian, tempat tinggal dan segala keperluan isteri yang tidak bercanggah dengan syarak.

Firman ALLAH S.W.T:

"Kaum lelaki itu adalah pemimpin yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan kerana ALLAH telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) berbanding kaum wanita dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka." – Surah al-Nisa’: 34.

Kadar pemberian nafkah ini adalah mengikut kemampuan seorang suami dan suami tidak sepatutnya membebankan dirinya melebihi dari kemampuannya yang sebenar.

Firman ALLAH S.W.T:

"Orang yang mampu memberi nafkah hendaklah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka dia hendaklah memberi nafkah dari apa yang diberikan ALLAH kepadanya (sekadar yang mampu). ALLAH tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan ALLAH kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) ALLAH akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan." – Surah al-Talaq: 7.

Seorang sahabat bernama Hakim bin Mu’awiyyah bin Hidah al-Qusyairi r.a pernah mendengar ayahnya berkata bahawa dia pernah bertanya kepada Rasulullah:

“Wahai Rasulullah! Apakah hak isteri kami ke atas suami? Rasulullah bersabda: Memberinya makan apabila kamu makan, memberinya pakaian apabila kamu berpakaian.” - Hadis riwayat Abu Daud di dalam Sunan Abu Daud, hadis no: 1830.

Memberi nafkah kepada isteri serta keluarga mempunyai keutamaan yang besar di sisi ALLAH.

Sabda Nabi s.a.w:

"Dinar (wang) yang engkau infakkan (belanjakan) di jalan ALLAH, dinar yang engkau infakkan untuk membebaskan hamba abdi, dinar yang engkau sedekahkan kepada orang miskin, dinar yang engkau nafkahkan kepada keluargamu, pahala yang paling besar adalah dinar yang engkau nafkahkan untuk keluargamu." - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no: 995.

Sabda Nabi s.a.w:

"Tiada pekerjaan yang lebih baik daripada seorang lelaki yang bekerja dengan tangannya sendiri dan tiada infak yang lebih baik daripada seseorang memberikan nafkah untuk diri dan keluarganya, anaknya, pembantunya dan semua itu dihitung sebagai sedekah baginya." - Hadis riwayat Ibn Majah di dalam Sunan Ibn Majah, hadis no: 2129.

Adalah suatu kezaliman yang besar bagi seorang suami yang memiliki kemampuan dari segi ekonominya tetapi bersifat bakhil terhadap isteri dan keluarganya. Apatah lagi sifat bakhil merupakan sifat yang dicela oleh ALLAH dan Rasul-NYA.

Sabda Nabi s.a.w:

"Seburuk-buruk sifat yang ada kepada seseorang adalah bakhil dan penakut." - Hadis riwayat Abu Daud di dalam Sunan Abu Daud, hadis no: 2150.

Bagi isteri yang mempunyai suami bersikap bakhil, maka dibenarkan baginya untuk mengambil harta suami tanpa pengetahuannya sekadar untuk memenuhi keperluan kehidupan seluruh ahli keluarga.
Hindun bin ‘Utbah bin Rabi’ah pernah datang kepada Rasulullah s.a.w. dan berkata:

"Wahai Rasulullah! Abu Sufyan adalah seorang suami yang kedekut. Bolehkah apabila aku mengambil sebahagian hartanya untuk keperluan keluarga kami? Rasulullah bersabda: Tidak mengapa apabila engkau mengambil sesuai keperluanmu dengan cara yang makruf.” - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 2460.

Dengan cara yang makruf bermaksud pengambilan harta tersebut tidak berlebih-lebihan dan tidak merosakkan harta suaminya. Oleh itu, para suami hendaklah benar-benar prihatin terhadap kewajipan memberi nafkah buat ahli keluarganya. Apatah lagi ALLAH telah melebihkan kaum lelaki berbanding kaum wanita dengan beberapa keistimewaan.
Adakah layak bagi seorang suami untuk mendapat keistimewaan ini sekiranya dia tidak menjalankan kewajipan mencari nafkah dan bergantung kepada harta isteri walaupun mereka mampu bekerja?

Sesungguhnya lelaki yang merdeka dan mulia adalah mereka yang membina keluarga mereka hasil keringatnya sendiri dan tidak hanya bergantung kepada harta isterinya.
Suami yang bergantung kepada harta isteri bukan sekadar telah lari daripada tanggungjawabnya tetapi juga mencerminkan kepimpinannya yang lemah. Malaikat juga akan melaknat para suami yang tidak menafkahkan hartanya kepada ahli keluarganya.

Sabda Nabi s.a.w:

"Tidaklah para hamba berada di waktu pagi melainkan ada dua malaikat yang turun. Salah satu dari mereka berdoa: Ya ALLAH! Berikanlah kepada orang yang menafkahkan hartanya balasan yang lebih baik. Sedangkan malaikat yang lain berdoa: Ya ALLAH! Berikanlah kebinasaan kepada orang yang menahan hartanya (tidak mahu menafkahkannya).” - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 1442.

Sabda Nabi s.a.w:

"Cukuplah seseorang itu dianggap berdosa apabila suami yang mensia-siakan orang yang menjadi tanggungannya." - Hadis riwayat Abu Daud di dalam Sunan Abu Daud, hadis no: 1442.

Melayani Keperluan Seks Isteri

Sebagaimana pentingnya suami memenuhi keperluan material isterinya, sudah menjadi tanggungjawabnya melayani keperluan batin isteri. Kebiasaannya wanita memiliki sifat pemalu terutamanya untuk berbincang tentang kehendak seksualnya. Namun, sebenarnya mereka juga berkehendakkan kepada nikmat kepuasan ketika melakukan persetubuhan (berjimak) sebagaimana suami.

Menurut Anas bin Malik r.a, Rasulullah s.a.w telah bersabda:

"Jika seseseorang antara kamu melakukan hubungan kelamin dengan isterinya, dia hendaklah bersungguh-sungguh. Apabila dia hendak menyelesaikan hajatnya itu (mencapai kepuasan) sedangkan isterinya belum sampai klimaksnya, maka janganlah dia tergesa-gesa (untuk menamatkan persetubuhan tersebut) sehingga hajat isterinya diselesaikan pula." - Hadis riwayat al-Suyuthi di dalam Jami’ al-Saghir, hadis no: 549 dan al-Hafiz al-Haithami di dalam Majma’ al-Zawaid, hadis no: 7566.

Oleh itu, para suami hendaklah menjaga perasaan isteri ketika berjimak dan melakukannya dengan niat agar kedua-dua belah pihak mencapai kenikmatan. Janganlah para suami hanya memikirkan kepuasan diri sendiri tanpa memastikan isteri mereka juga sudah mencapai klimaks.

Hal ini amat penting kerana jika seorang suami tidak prihatin terhadap permasalahan ini ia boleh menimbulkan kesan negatif seperti isteri membenci suaminya, melalaikan perintahnya ataupun menolak apabila diajak untuk berjimak dan sekiranya bersetuju pun ia tidak dilakukan dengan sepenuh kerelaan hati. Mungkin ada yang merasakan ini suatu perkara yang terlalu remeh untuk diperbincangkan. Tetapi, di dalam Islam berjimak adalah termasuk perkara yang boleh mendatangkan pahala.

Sabda Rasulullah s.a.w:

"Dan pada hubungan kelamin kamu semua (bersama isteri) merupakan sedekah. Para sahabat bertanya: Ya Rasulullah! Apakah jika seseorang kami mendatangi isterinya (untuk berjimak) maka dia mendapat pahala? Rasulullah menjawab: Bagaimana pendapat kamu semua jika dia menyalurkan syahwatnya ke jalan yang haram, (sudah tentu) dia akan mendapat dosa kerananya. Demikian juga jika dia menyalurkan di jalan yang halal, pasti dia mendapat pahala.” - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no:1006.

Oleh itu, pastikan para suami dan isteri berkomunikasi sesama sendiri untuk sama-sama mendapat kenikmatan dari hubungan kelamin tersebut.


Suami Hendaklah Bersikap Romantik Terhadap Isterinya

Para suami hendaklah sering mencium isterinya. Budaya ini memang agak asing bagi masyarakat di nusantara. Namun, Nabi s.a.w sering mengucup isteri dengan penuh rasa kasih sayang. Rasulullah s.a.w pernah mencium isterinya sebelum pergi menunaikan solat di masjid.

Aishah r.a berkata:

"Rasulullah pernah mencium salah seorang isteri baginda, lalu berangkat menunaikan solat tanpa memperbaharui wuduk." - Hadis riwayat Abu Daud di dalam Sunan Abu Daud, hadis no: 153.

Justeru, apa lagi yang menghalang kita untuk mencium isteri kita setidak-tidaknya sebelum pergi atau pulang dari tempat kerja atau dalam apa jua kesempatan yang ada? Adakalanya si suami langsung tidak memandang wajah isterinya yang mengiringinya ke pintu rumah ketika suaminya hendak keluar ke tempat kerja. Ciumlah isteri kamu wahai para suami! Ikutlah sunnah Nabi s.a.w.

Rasulullah s.a.w merupakan seorang insan yang begitu romantis terhadap isteri-isterinya hinggakan baginda selalu mandi bersama dengan isterinya.

Aisyah r.a berkata:

"Aku biasa mandi berdua-duaan bersama Rasulullah s.a.w menggunakan satu bekas air." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 250.

Baginda sering memanggil isterinya dengan panggilan yang indah serta disukai oleh isterinya. Baginda memanggil Aisyah r.a dengan gelaran Humaira’ yang bermaksud putih kemerah-merahan bertujuan memuji kecantikannya. Nabi juga memanggil Aisyah dengan nama yang digemarinya iaitu Aisyah. Aisyah menceritakan bahawa pada suatu hari Rasulullah berkata kepadanya:

"Wahai Aisyah! Malaikat Jibril tadi menyampaikan salam buatmu." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 3217.

Aisyah r.a juga pernah menggambarkan betapa romantis baginda s.a.w sebagaimana riwayat berikut:

"Suatu ketika aku telah minum. Ketika itu aku sedang haidh lantas aku memberikan gelasku kepada Rasulullah dan baginda meminumnya dari kesan mulutku di gelas itu. Dalam kesempatan lain aku memakan sepotong daging, lantas aku memberikan baginda potongan daging itu dan baginda memakannya tepat di tempat aku memakannya." - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no: 300.

Walaupun perkara-perkara ini nampak kecil, namun ia amat membahagiakan Aisyah sehingga dia sentiasa terkenangkan sikap-sikap romantis baginda s.a.w ini. Perkara-perkara sebegini sepatutnya diusahakan oleh para suami untuk dipraktikkan terhadap isteri-isteri mereka yang tercinta kerana adakalanya perkara yang kecil di mata suami tetapi ia amat besar menurut pandangan isteri.

Masih banyak lagi sifat-sifat romantis yang terdapat dalam hadis-hadis baginda. Oleh itu, marilah kita berusaha menjadi seorang suami yang romantis dalam rangka mencontohi sifat Nabi s.a.w.

Suami Hendaklah Bergurau Senda Dengan Isteri

Hidup tanpa gurau senda dan tawa riang pasti akan membosankan. Namun, ia hendaklah dilakukan sesuai dengan suasana serta tuntutan syarak dan tidak berlebih-lebihan.

Sabda Rasulullah s.a.w:

"Setiap perkara yang tidak disertakan padanya nama ALLAH maka ia akan menjadi sia-sia (lagha), senda-gurau serta main-main kecuali empat perkara. Suami yang bercanda dengan isterinya, seorang yang melatih kudanya, seorang yang sedang memilih antara dua sasaran dan seorang yang berlumba dalam sukan renang." - Hadis riwayat al-Suyuthi di dalam al-Jami’ al-Saghir, hadis no: 2312.

Ternyata Rasulullah s.a.w juga sering bergurau-senda dengan para isterinya. Sebagai contoh, Aisyah r.a telah berkata:

"Rasulullah berlumba lari denganku, maka aku menang ketika itu kerana aku belum gemuk. Kemudian, setelah gemuk aku berlumba lari dengannya, maka baginda memenanginya. Lalu baginda bersabda: Kemenangan ini sebagai penebus kekalahan yang lalu.” - Hadis riwayat Abu Daud di dalam Sunan Abu Daud, hadis no: 2214.

Juga telah diriwayatkan daripada Aishah r.a bahawa Nabi s.a.w pernah membawanya menyaksikan permainan para sahabat yang berasal dari Sudan. Katanya:

"Hari itu adalah hari raya di mana orang-orang Sudan bermain pedang dan perisai. Aku (Aishah r.a) tidak ingat apakah aku yang meminta untuk melihatnya atau Rasulullah s.a.w yang berkata: Apakah kamu ingin melihatnya? Aku pun menjawab: Ya. Aku disuruhnya berdiri di belakangnya di mana pipiku bersentuhan dengan pipi baginda. Baginda berkata: Biar yang lain wahai Bani Arfidah! Ketika aku merasa bosan, baginda bertanya kepadaku: Adakah engkau sudah puas? Aku menjawab: Ya. Baginda pun bersabda: Pergilah.” - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 950.

Nabi s.a.w juga membenarkan nyanyian yang sesuai dengan syarak dilagukan di rumah Aishah r.a.

Aisyah r.a berkata:

“Rasulullah s.a.w masuk ke rumahku (pada hari raya) dan ketika itu aku bersama dua budak perempuan yang sedang menyanyikan lagu peperangan Bu’ats. Baginda langsung berbaring di atas tempat tidur sambil memalingkan wajahnya." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 949.

Oleh itu, wahai suami! Bercandalah dengan isterimu. Jangan biarkan suasana di rumah anda menjadi bosan dan muram.


Suami Hendaklah Meluangkan Masa Bersama Isteri

Walau sesibuk sekalipun mengurus tugasan hariannya, suami tetap perlu berusaha meluangkan waktu bersama isterinya. Kadangkala, kesibukan suami di luar rumah dengan kegiatan-kegiatan lain disamping mencari nafkah menyebabkan dia mengabaikan peranannya sebagai suami. Dia lupa bahawa isterinya memerlukan belaian manja seorang suami untuk menghiburkan hatinya.
Adakalanya setelah penat dengan aktiviti di luar rumah suami hanya pulang dengan wajah yang kelesuan, tidak bermaya dan hanya menantikan disorong bantal untuk melelapkan mata. Yang lebih perit adalah apabila suami membawa masalah-masalah dari luar dan melepaskan geramnya terhadap isteri. Wahai para suami! Ingat Firman ALLAH S.W.T:

"Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik." – Surah al-Nisa’: 19.

Nabi s.a.w juga pernah menasihati para sahabat r.a agar jangan terlalu menyibukkan diri dengan ibadah sehingga mengabaikan tanggungjawab melayani isteri dengan baik.

Sabda Nabi s.a.w:

"Wahai Abdullah (bin ‘Amr bin al-Ash r.a)! Adakah benar apa yang diceritakan kepadaku sesungguhnya engkau telah berpuasa setiap hari dan solat sepanjang malam? Aku (Abdullah bin ‘Amr) berkata: Benar wahai Rasulullah. Baginda bersabda: Jangan kamu lakukan begitu. Berpuasalah dan tinggalkan (tidak berpuasa) serta solat dan tidurlah kerana sesungguhnya badan kamu mempunyai hak ke atas kamu, kedua-dua mata kamu mempunyai hak ke atas kamu, isteri kamu mempunyai hak ke atas kamu dan tetamu kamu mempunyai hak ke atas kamu. Cukuplah bagi kamu berpuasa tiga hari setiap bulan dan sesungguhnya setiap kebaikan akan dibalas untukmu sebanyak sepuluh kali ganda yang sepertinya. Jika kamu melakukan begitu, ia seperti berpuasa sepanjang masa.” - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no 1975.

Oleh itu, walau sesibuk mana sekalipun para suami dengan tugasan di luar sama ada urusan mencari nafkah mahupun aktiviti dakwah, para isteri tetap berhak mendapat perhatian serta belaian manja daripada para suami.

Membina Suasana Ibadah Dalam Rumahtangga

Suasana yang harmonis hanya dapat dibentuk dengan bimbingan taufik dan hidayah daripada ALLAH. Oleh itu, salah satu faktor utama dalam pembinaan keluarga bahagia adalah membentuk sebuah rumahtangga yang sentiasa dihiasi dengan amal ibadah dan penuh dengan keimanan serta ketakwaan.

Firman ALLAH S.W.T:

"Sesiapa yang beramal soleh daripada kalangan lelaki atau perempuan sedang dia beriman, sesungguhnya KAMI akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik dan sesungguhnya KAMI akan membalas mereka dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan." – Surah al-Nahl: 97.

Para suami hendaklah sentiasa menganjurkan para isteri beribadah bersamanya seperti mengerjakan solat tahajjud, berpuasa sunat, bertadarus (membaca) serta mentadabbur (memahami) al-Quran dan belajar tentang hal-hal keagamaan yang boleh meningkatkan keimanan dan ketakwaan. Rasulullah s.a.w sentiasa menganjurkan para isterinya agar mengerjakan ibadah sesuai dengan perintah ALLAH S.W.T:

"Dan perintahkanlah keluargamu (serta umatmu) mengerjakan solat dan engkau hendaklah tetap bersabar menunaikannya. KAMI tidak pernah meminta rezeki kepadamu, (bahkan) KAMIlah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik hanya bagi orang-orang yang bertakwa." - Surah Toha: 132.

Aisyah r.a berkata:

"Rasulullah biasa mengerjakan solat malam (tahajjud) sementara aku tidur melintang di hadapan baginda. Bila baginda ingin mengerjakan solat witir, baginda akan mengejutkan aku." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 512.

Rasulullah s.a.w. juga telah bersabda:

"Semoga ALLAH merahmati seorang suami yang bangun pada malam hari untuk mengerjakan solat malam lalu membangunkan isterinya untuk solat bersama. Apabila si isteri enggan (tidak mampu untuk bangun), dia akan memercikkan air ke wajah isterinya (supaya bangun). Semoga ALLAH merahmati seorang isteri yang bangun malam hari untuk mengerjakan solat malam lalu membangunkan suaminya untuk solat bersama. Apabila si suami enggan, dia memercikkan air ke wajah suaminya.” - Hadis riwayat Abu Daud di dalam Sunan Abu Daud, hadis no: 1113.

Ssewajarnya para suami menghidupkan rumah mereka dengan pelbagai amal ibadah yang sesuai dengan sunnah Nabi s.a.w. Disamping itu, suami isteri juga hendaklah berusaha untuk saling memperingatkan antara satu sama lain agar bersama-sama dapat melaksanakan segala perintah ALLAH sebagaimana yang termaktub di dalam al-Quran dan sunnah serta meninggalkan segala larangan-NYA.

Mereka hendaklah berganding bahu menegakkan kebenaran di dalam rumahtangga mereka, berusaha membentuk suasana yang islamik berteraskan kasih sayang dan kecintaan dan suasana yang harmoni. Saranan ini sesuai dengan Firman ALLAH S.W.T:

"Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya ialah manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras lagi kasar (layanannya); mereka tidak pernah derhaka kepada ALLAH dalam setiap perkara yang diperintahkan-NYA kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan." – Surah al-Tahrim: 6.

Suami Hendaklah Sentiasa Menunjukkan Wajah yang Ceria

Raut wajah seseorang boleh menggambar pelbagai makna dan ia boleh mempengaruhi suasana hubungan suami isteri. Wajah yang ceria tentu sekali akan menenangkan jiwa isteri. Janganlah masalah di tempat kerja di bawa pulang ke rumah sehingga menunjukkan air muka yang merengut. Apatah lagi telah tsabit perintah daripada Nabi s.a.w agar kita sentiasa mempamerkan wajah yang ceria sebagaimana sabdanya:

"Janganlah engkau menganggap remeh perbuatan baik walau sedikit walau hanya menampakkan wajah ceria ketika berjumpa dengan saudaramu." - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no: 2626.

Lanjutan dari hadis di atas tentu sekali apa yang paling utama bagi suami adalah menunjukkan wajah ceria kepada isteri tercinta.


Suami Hendaklah Menjaga Penampilan Diri

Di samping mempamerkan wajah yang ceria, para suami juga hendaklah menjaga penampilan diri agar sentiasa kelihatan menarik dan bersih. Ini adalah penting demi menimbulkan keselesaan dalam hubungan suami isteri. Sesungguhnya isteri juga ingin melihat pasangannya memiliki penampilan yang menarik sebagaimana suami inginkan isteri yang anggun lagi bergaya.

Firman ALLAH S.W.T:

"Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak)." – Surah al-Baqarah: 228.

Ibn Abbas r.a berkata:

“Sesungguhnya aku senang berhias untuk isteriku sebagaimana aku senang jika isteriku berhias untukku.”

Tambahan pula ALLAH menyukai keindahan termasuklah penampilan diri yang menarik serta sesuai dengan lunas-lunas syarak sebagaimana sabda Nabi s.a.w:

"Sesungguhnya ALLAH itu Maha Indah dan menyukai keindahan." - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no: 91.

Rentetan dari ini maka para suami hendaklah berusaha kelihatan bergaya sehingga sedap mata isteri memandang ke arahnya.


Suami Hendaklah Sabar Melayani Karenah Isteri

Perempuan memang terkenal dengan sikap emosional dan suka ikut perasaan. Namun, para suami harus sabar ketika berhadapan dengan karenah sedemikian rupa. Para suami hendaklah berhadapan dengan situasi sebegini dengan penuh kesabaran dan hikmah.

Sabda Rasulullah s.a.w:

"Nasihatilah wanita dengan baik. Sesungguhnya mereka diciptakan dari tulang rusuk dan bahagian terbengkok dari tulang rusuk adalah bahagian atasnya. Seandainya kamu meluruskannya bererti kamu mematahkannya dan seandainya kamu biarkan maka ia akan terus membengkok. Untuk itu, nasihatilah wanita dengan baik." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 5186.

Hadis ini menganjurkan para suami menasihati para isteri dengan cara yang penuh hikmah dan lemah lembut. Jangan sesekali terburu-buru menggunakan kekerasan kerana ia bukan sahaja tidak mampu menyelesaikan permasalahan malah akan memburukkan lagi keadaan.

Oleh itu, para suami haruslah bijak mencari masa paling baik untuk menasihati isterinya. Sekiranya keadaan tidak mengizinkan seperti ketika kemarahan isteri masih meluap-luap, sebaik-baiknya ditangguh dahulu penjelasan ataupun menasihatinya sehingga kondisi menjadi tenang dan tenteram.
Sekiranya wujud di dalam diri isteri sifat-sifat yang kurang disenangi maka kita handaklah mencari sifat serta tabiat isteri yang positif untuk menghiburkan diri kita dan berusaha melenyapkan perasaan benci terhadap isteri.

Sabda Rasulullah s.a.w:

"Janganlah seorang mukmin membenci seorang mukminah. Apabila dia membenci sebahagian akhlaknya maka mungkin dia boleh meredhai akhlaknya yang lain." - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no: 1469.

Sekiranya terdapat perbuatan isteri yang memerlukan para suami untuk meluruskannya maka ia hendaklah dilakukan secara bertahap-tahap dan tidak terburu-buru untuk berkeras terhadapnya.

Firman ALLAH S.W.T:

"Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, (kalau mereka masih juga degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya ALLAH Maha Tinggi lagi Maha Besar." – Surah al-Nisa’: 34.

Jika suami telah melihat tanda-tanda penderhakaan wujud pada isterinya, dia hendaklah menasihatinya dengan mengingatkannya tentang hukuman ALLAH terhadap tingkahlakunya itu. Sekiranya setelah menasihatinya tetapi dia masih tidak berubah, suami berhak memisahkan tempat tidur dan tidak menggaulinya (Hajr).

Apabila hajr juga gagal untuk menyedarkan isteri akan kesilapannya, suami hendaklah memberi pelajaran kepada isteri dengan memukulnya dengan pukulan yang tidak menyakitkan seperti dengan menggunakan kayu siwak (kayu yang digunakan untuk memberus gigi) atau sejenisnya. Inilah tatacara yang telah ditetapkan oleh ALLAH untuk menangani sikap-sikap negatif yang mungkin wujud pada para isteri.

Kewajipan Suami Menyediakan Rumah Untuk Isteri

Menyediakan tempat perlindungan untuk isteri dan anak-anak merupakan kewajipan seorang suami. Ia amat penting dalam membentuk sebuah keluarga yang harmonis kerana rumah adalah tempat sepasang suami isteri memainkan peranan masing-masing dan membesar serta mendidik anak-anak.

Firman ALLAH S.W.T:

"Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani idahnya) itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu." – Surah al-Talaq: 6.

Walaupun ayat di atas merujuk kepada isteri yang telah dicerai dan berada di dalam tempoh idah namun ini sebenarnya hanya menguatkan lagi pandangan bahawa isteri yang masih dalam status pernikahan lebih berhak mendapatkan tempat tinggal daripada suami.
Tentang saiz serta reka bentuk rumah, ia bergantung kepada kemampuan para suami.

Firman ALLAH S.W.T:

"Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya." – Surah al-Baqarah: 233.

Bagi suami yang memiliki sedikit harta, dapatkanlah rumah bersaiz kecil yang sesuai dengan kemampuannya itu. Sekiranya di masa hadapan harta semakin bertambah banyak, ketika itu usahakan untuk mendapatkan rumah yang lebih besar.
Seorang isteri juga berhak mendapatkan rumah yang khusus bagi dirinya tanpa berkongsi dengan madu-madunya mahupun ahli keluarga yang lain. Isteri berhak menolak permintaan suami untuk tinggal bersama madu-madunya ataupun ahli keluarga yang lain dan suami wajib memenuhi tuntutan tersebut.
Penolakan isteri itu berkemungkinan menunjukkan dia merasa tidak selesa dengan situasi tersebut ataupun mungkin ada perkara-perkara yang boleh menyebabkan suasana yang tegang dalam rumahtangga sekiranya duduk bersama dengan pihak lain.


KESIMPULAN

Inilah beberapa peranan suami menurut al-Quran dan sunnah Nabi s.a.w yang dapat dijadikan tauladan membina sebuah keluarga yang harmonis. Semoga ia dapat dijadikan pedoman bagi seluruh pemimpin keluarga untuk membahagiakan para isteri mereka. Contohilah sunnah Nabi s.a.w kerana pada diri baginda terdapat contoh tauladan yang terbaik.

Firman ALLAH S.W.T:

"Demi sesungguhnya, bagi kamu pada diri Rasulullah itu terdapat contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) ALLAH dan (balasan baik) di hari akhirat serta dia sentiasa menyebut dan mengingati ALLAH sebanyak mungkin (di waktu susah dan senang)." – Surah al-Ahzab: 21.

Sufyan bin ‘Uyainah r.h berkata:

“Sesungguhnya Rasulullah adalah timbangan yang paling besar. Segala sesuatu harus diukur dengan akhlak, perilaku dan petunjuknya. Yang sesuai dengannya, maka itu benar dan yang tidak sesuai dengannya maka ia bererti batil.”

17 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Artikel yang menarik dan membuka minda. Di zaman sekarang yang ramai di antara para isteri yang bekerja, boleh saudara ulaskan dgn lanjut. Apakah tanggungjawab suami jika isteri bekerja? mungkin suami merasakan mereka tidak perlu memberi nafkah zahir kepada isteri kerana isteri telah mampu untuk menyara diri sendiri dan dapat juga membantu dalam hal keperluan anak2. Mungkin si suami berpendapat beliau telah mengizinkan si isteri bekerja jadi sebagai balasan,isteri patutlah menggunakan wangnya untuk sama-sama menganggung keperluan keluarga. Apakah tanggungjawab nafkah suami jika isteri bekerja dan suami mampu (gaji agak besar)? Isteri bekerja dan suami kurang mampu (gaji agak kecil)? Apakah wang gaji isteri bekerja adalah harta/haknya yang mutlak? Adakah wajib bagi siisteri yang bekerja (bergaji) untuk membantu memberi nakfah kepada suami dan anak2, dan ibu-bapanya sendiri dan mertuanya?. Maaf soalan agak panjang. Jazakallah.

Bawang Goreng berkata...

Salam,

Jazakallah.

This one is superb! I'm going to forward it to everyone in my list!

Mohd Yaakub bin Mohd Yunus berkata...

Assalaamu'alaikum

Bagi pasangan suami isteri yg bekerja maka tiada apa-apa perubahan dari segi tanggungjawab. Suami masih dengan peranannya dan isteri dengan peranannya. Namun perlu ada banyak toleransi dalam keadaan begini.

Isteri jika telah mendapat keizinan suami untuk bekerja mempunyai hak 100% terhadap gajinya. Tugas mencari nafkah untuk keluarga tetap tanggungjawab suami. Namun jika si Isteri dengan rela hati ingin membantu keluarga maka itu tidak mengapa.

Begitu juga jika ingin memberi wang kepada ibu bapa atau mertua, itu adalah wang milik isteri dan terpulang baginya untuk membelanjakannya asalkan tidak bercanggah dengan syarak.

WAllahu'alam

Mohd Yaakub bin Mohd Yunus berkata...

Assalaamu'alaikum

Kepada Bawang Goreng, lama tak dengar cerita. Enta apa khabar... Alhamdulillah & terima kasih if u like this article.

Do keep in touch ya..

Sekian Wassalaam

Tanpa Nama berkata...

salam...
sy sering membaca artikel berkenaan hubungan suami isteri dan rumahtangga demi utk memperbaiki segala kekurangan dalam rumahtangga...terdapat situasi di mana ada keretakan dalam rumahtangga disebabkan faktor luaran dan usaha utk perubahan ke arah kebaikan di buat namun cuma di sebelah pihak saja...sebagai contoh isteri saja yg sentiasa cuba baiki..manakala suami pula hanya membiarkan masalah berlalu begitu...segala perbincangan bersama di anggap memperlekehkan suami sebagai ketua keluarga...apa pandangan saudara...apa yg patut isteri lakukan sebaiknya demi rumahtangga di masa yg sama masih menghormati suami sebagai ketua keluarga...wallahualam...

Tanpa Nama berkata...

Bagaimana kedudukan seorang suami yang berpoligami tapi tidak berlaku adik kepada isteri keduanya. Bukan sahaja tidak memberi nafkah malah mengambil kesempatan dari wang isteri kedua untuk memberi kemewahan kepada isteri pertama dan anak2

Tanpa Nama berkata...

Assalamualaikum,

Sejenak membaca artikel ini, terasa sy bagaikan seorang isteri yg malang. Dinafikan hak zahir dan batin sebagai isteri. Telah diterangkan dan cuba untuk berbincang tentang banyak perkara tapi hanya jalan buntu. Telah cuba guna org ketiga dlm membantu menyelesaikan permalasalan tapi perubahan hanyalah sementara. Sy merasa cukup tertekan. Apa lagi yg perlu sy lakukan.Adakah sudah tiba masa untuk sy hentikan semua ini? Sy sudah terlalu letih dlm percaturan ini.

Norzaidi berkata...

Assalaamualaikum,

Akob, saya senang sekali dengan rencana ini, cuma ingin bertanya soalan. Bagaimanakah jika isteri yang melebihkan keluarga suaminya dari kedua ibubapanya? Iaitu selalu balik kampung suaminya dan jarang2 balik kampung ibubapanya. Dan bagaimanakah jika seseorang isteri bersikap tak ambil tahu pasal hak suaminya dan bersikap queen control contohnya. Dan terakhirnya suami berkahwin lagi dan tidak memberitahu isteri pertamanya padahal dengan isteri baru sudah mempunyai anak.

Sekian wassalaam

Mohd Yaakub bin Mohd Yunus berkata...

Assalaamu'alaikum

Terima kasih atas feedbacks dari semua. Akob agak sibuk buat masa ini. Insya Allah akob akan memberi komentar dalam masa yang terdekat ini. Sekian Wassalaam

Tanpa Nama berkata...

Salam abg, sy nak mohon keizinan copy and paste artikel abg ni dlm blog sy blh?......(nanti sy akan link kan sumber drpd blog abg ni) Syukran

Mohd Yaakub bin Mohd Yunus berkata...

Wa'alaikumussalaam Warahmatullah

Terima kasih, Kesemua artikel dalam blog ini adalah untuk disebarkan.

akob sedang membuat beberapa artikel sempena Sya'ban. Dah siap nanti baru akob fokus untuk menjawab soaln-solan berbangkit

Sekian Wassalaam

Mohd Yaakub bin Mohd Yunus berkata...

Assalaamu'alaikum

Maaf saya lamabat reply comments dalam blog ini kerana kesibukan. Komentar saya adalah seperti di bawah


salam...
sy sering membaca artikel berkenaan hubungan suami isteri dan rumahtangga demi utk memperbaiki segala kekurangan dalam rumahtangga...terdapat situasi di mana
ada keretakan dalam rumahtangga disebabkan faktor luaran dan usaha utk perubahan ke arah kebaikan di buat namun cuma di sebelah pihak saja...sebagai contoh
isteri saja yg sentiasa cuba baiki..manakala suami pula hanya membiarkan masalah berlalu begitu...segala perbincangan bersama di anggap memperlekehkan suami
sebagai ketua keluarga...apa pandangan saudara...apa yg patut isteri lakukan sebaiknya demi rumahtangga di masa yg sama masih menghormati suami sebagai ketua
keluarga...wallahualam...

Akob : Sesiapapun jangan berputus asa dalam memperbaiki hubungan suami isteri. Munkin kita juga patut perhatikan tatcara perbincangan tersebut. Adakalanya niat yang baik tapi menggunakan cara yang kurang tepat akan memberikan natijah yang buruk. Anda hendaklah sentiasa bersabar dalam menghadapi kernah suami. Sekiranya perbincangan dua hala sering menemui jalan buntu, maka sebaiknya dilantik pihak ke tiga yang dihormati oleh suami dan isteri untuk menjadi orang tengah. Jika tidakpun dapatkanlah khidmat kaunseling untuk mencari jalan keluar. Wallahu ‘alam
==================================

July 28, 2008 11:55 AM
Anonymous said...
Bagaimana kedudukan seorang suami yang berpoligami tapi tidak berlaku adik kepada isteri keduanya. Bukan sahaja tidak memberi nafkah malah mengambil
kesempatan dari wang isteri kedua untuk memberi kemewahan kepada isteri pertama dan anak2

akob : Dia melakukan satu perbuatan yang haram dan bertentangan dengan perintah Allah SWT untuk berlaku adil sekirnya ingn berpoligami. Laporkan sahaja kepada Jabatan Agama untuk mereka mengambil tindakan susulan

===================================

July 28, 2008 12:33 PM

Anonymous said...
Assalamualaikum,

Sejenak membaca artikel ini, terasa sy bagaikan seorang isteri yg malang. Dinafikan hak zahir dan batin sebagai isteri. Telah diterangkan dan cuba untuk berbincang
tentang banyak perkara tapi hanya jalan buntu. Telah cuba guna org ketiga dlm membantu menyelesaikan permalasalan tapi perubahan hanyalah sementara. Sy
merasa cukup tertekan. Apa lagi yg perlu sy lakukan.Adakah sudah tiba masa untuk sy hentikan semua ini? Sy sudah terlalu letih dlm percaturan ini.

Akob : Saya tidak dapat menilai situasi ini melainkan saya dapat meneliti apa yang sebenarnya terjadi. Dalam keadaan yang kritikal sebegini maka ada baiknya untuk bertemu dengan Jabatan Agama. Demi anak-anak cubalah selamatkan rumah tangga anda. Perbanyakkan ibadah dan pohonlah pertolongan serta petunjuk kepada yang Maha Esa.

===================================

Mohd Yaakub bin Mohd Yunus berkata...

Assalaamu'alaikum

Maaf saya lamabat reply comments dalam blog ini kerana kesibukan. Komentar saya adalah seperti di bawah


salam...
sy sering membaca artikel berkenaan hubungan suami isteri dan rumahtangga demi utk memperbaiki segala kekurangan dalam rumahtangga...terdapat situasi di mana
ada keretakan dalam rumahtangga disebabkan faktor luaran dan usaha utk perubahan ke arah kebaikan di buat namun cuma di sebelah pihak saja...sebagai contoh
isteri saja yg sentiasa cuba baiki..manakala suami pula hanya membiarkan masalah berlalu begitu...segala perbincangan bersama di anggap memperlekehkan suami
sebagai ketua keluarga...apa pandangan saudara...apa yg patut isteri lakukan sebaiknya demi rumahtangga di masa yg sama masih menghormati suami sebagai ketua
keluarga...wallahualam...

Akob : Sesiapapun jangan berputus asa dalam memperbaiki hubungan suami isteri. Munkin kita juga patut perhatikan tatcara perbincangan tersebut. Adakalanya niat yang baik tapi menggunakan cara yang kurang tepat akan memberikan natijah yang buruk. Anda hendaklah sentiasa bersabar dalam menghadapi kernah suami. Sekiranya perbincangan dua hala sering menemui jalan buntu, maka sebaiknya dilantik pihak ke tiga yang dihormati oleh suami dan isteri untuk menjadi orang tengah. Jika tidakpun dapatkanlah khidmat kaunseling untuk mencari jalan keluar. Wallahu ‘alam
==================================

July 28, 2008 11:55 AM
Anonymous said...
Bagaimana kedudukan seorang suami yang berpoligami tapi tidak berlaku adik kepada isteri keduanya. Bukan sahaja tidak memberi nafkah malah mengambil
kesempatan dari wang isteri kedua untuk memberi kemewahan kepada isteri pertama dan anak2

akob : Dia melakukan satu perbuatan yang haram dan bertentangan dengan perintah Allah SWT untuk berlaku adil sekirnya ingn berpoligami. Laporkan sahaja kepada Jabatan Agama untuk mereka mengambil tindakan susulan

===================================

July 28, 2008 12:33 PM

Anonymous said...
Assalamualaikum,

Sejenak membaca artikel ini, terasa sy bagaikan seorang isteri yg malang. Dinafikan hak zahir dan batin sebagai isteri. Telah diterangkan dan cuba untuk berbincang
tentang banyak perkara tapi hanya jalan buntu. Telah cuba guna org ketiga dlm membantu menyelesaikan permalasalan tapi perubahan hanyalah sementara. Sy
merasa cukup tertekan. Apa lagi yg perlu sy lakukan.Adakah sudah tiba masa untuk sy hentikan semua ini? Sy sudah terlalu letih dlm percaturan ini.

Akob : Saya tidak dapat menilai situasi ini melainkan saya dapat meneliti apa yang sebenarnya terjadi. Dalam keadaan yang kritikal sebegini maka ada baiknya untuk bertemu dengan Jabatan Agama. Demi anak-anak cubalah selamatkan rumah tangga anda. Perbanyakkan ibadah dan pohonlah pertolongan serta petunjuk kepada yang Maha Esa.

===================================

Tanpa Nama berkata...

Assalamualaikum,

Apa pandangan tuan sekiranya satu2 perkahwinan makin lama makin mendatangkan kemudaratan pada satu2 pihak. Samaada pada anak atau isteri atau kedua2nya sekali, samada dari segi fizikal atau mental. Adakah masih perlu di pertahankan? Bagaimana cara hendak mempertahankan? Si suami jenis yg perfectism. Mahu isteri seperti dulu, cantik seperti dulu, lincah dengan tugas2 rumahtangga seperti dulu, cergas menguruskan anak2 seperti dulu, pantas seperti dulu, walhal masing2 kini dah di mamah usia. Tenaga, kederat makin berkurangan. Tak ambil pusing bila si isteri mahupun anak perlukan rawatan perubatan dan perhatian. Sakit katanya sebagai alasan - malas. Pabila si isteri bekerja, maka gaji yg diperolehi perlu untuk keperluan rumah tetapi duit sang suami berkira, tah kemana, yg dapat dilihat hanyalah untuk kehendak bukan keperluan. Boros.Solat pulak kadang2 main jamak dari subuh,zohor, asar ke dlm maghrib. Contohkah untuk anak2? Si isteri telah beberapa kali di halau keluar dari rumah. Adakah masih ada sayang di hati suami? Makan minum isteri yg telah dibelanjakan diungkit semula oleh suami. Kenapa?Masih adakah kasih di hatinya? Nuzyuz katanya kalau si isteri pulang menjenguk ibunya tanpa izin si suami, sedangkan ibu sakit.Maka si ibu tidak izinkan si anak pulang, walaupun hati merintih kerinduan. Tidak ada ehsankah di hatinya? Sudah hilangkan kasih sayangnya pabila dia memutuskan silaturahim antara isteri dan keluarganya? Adakah isteri itu satu anugerah atau hak milik?

Tanpa Nama berkata...

assalammualaikum

Saya terlalu kecewa dgn suami saya. saya dipanggil bodoh, mangkuk, bongok etc. Dlm hpnya diletakkan nama saya dgn panggilan yang sangat hina. Dia cemburu buta dan suka menfitnah saya walhal saya sangat setia padanya. Setiap apa yang saya buat semuanya serba tak kena dihatinya. Kami bahagia di awal perkahwinan sahaja- dlm setahun. Setelah melahirkan anak dia berubah. Dia selalu mengungkit kata2 menyesal pilih saya, tak bersyukur dpt isteri spt saya, meluat pada saya, saya menyusahkan dia. Saya berhenti kerja semata2 utk pulang n melaksanakn tanggungjawab saya sbg isteri n melahirkan seorang anak lelaki seperti yang dia impikan. Baru2 saya dpt bukti dia berhubungan melalui e-mail dgn wanita lain saya mendiamkan diri n terus laksanakan tanggungjawab saya seperti biasa. Hati saya sakit dgn segala perbuatannya kepada saya selama ini. Tapi sampai bila saya harus berpura2 n mendiamkan diri. kalau berpisah kasihankan anak masih kecil, kalau bersama.. saya takut masa depan saya akan musnah dengan kezaliman dan ketidakjujurannya.

zailina berkata...

Assalamualaikum,
Dapat info dari Group Respeksss.
Bagus artikel ni. Tidak memberatkan salah lelaki atau perempuan seperti sesetengah artikel. Lebih kepada nasihat dan tunjukajar. Masyaallah indah rasanya kalau diamalkan, terasa perkahwinan itu benar2 seperti syurga. Moga allah memberi rahmat kepada yang menulis dan memberi barakah hidayah kepada yang melayari bahtera perkahwinan.
Izinkan saya memanjangkan artikel ini buat teman2 saya.
Teruskan penulisan yang baik demi membentuk ummah yang berpendidikan dan berkasih sayang kerana allah swt.

Mohd Yaakub bin Mohd Yunus berkata...

Wa'alaikumussalaam warahmatullah

Alhamdulillah. terima kasih.

Sila panjangkan artikel ini dan mana-mana artikel tulisan saya dalam blog ni.

Tq