Solat sunat bantu tampung kekurangan
Oleh Mohd Yaakub Mohd Yunus
Oleh Mohd Yaakub Mohd Yunus
Perbanyak amalan dapat meninggikan darjat, hapuskan dosa lalu
HADIS Rasulullah SAW menyatakan mengenai solat sunat sebagai solat al-Tathawwu' yang bermaksud melakukan ketaatan. Dari segi syariat pula ia bermaksud ketaatan yang tidak wajib seperti solat, sedekah, puasa, haji jihad dan amalan sunat lain. Oleh itu, setiap jenis solat yang disyariatkan dalam Islam sebagai tambahan kepada solat fardu lima waktu, termasuk dalam kumpulan solat sunat. Mengerjakan solat sunat memiliki banyak keutamaan. Solat sunat adalah amalan terbaik untuk mendekatkan diri kepada Allah.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Istiqamahlah kamu semua, janganlah kamu menghitungnya, dan ketahuilah bahawa sebaik-baik amalmu adalah solat.” (Hadis riwayat Imam Ibnu Majah) Menjadi lumrah bagi manusia apabila mengerjakan solat fardu akan terjadi perbuatan yang dapat mengurangkan kesempurnaan solat itu seperti tidak khusyuk, bacaan ayat al-Quran kurang kemas dan lain-lain kesilapan. Solat sunat dapat menutupi segala kekurangan yang mungkin wujud ketika mengerjakan solat fardu. Abu Hurairah meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya amalan manusia yang mula-mula dihisab pada hari kiamat ialah solat mereka. Tuhan berfirman kepada malaikat-Nya padahal Dia lebih mengetahui: Periksalah solat hamba-Ku! Sempurnakah atau kurang? Jika solatnya sempurna catatkanlah sebagai sempurna, dan jika ada sesuatu kekurangan Tuhan berfirman pula: Periksalah adakah hamba-Ku mempunyai amalan solat sunat? Jika dia mempunyai amalan solat sunat lalu Tuhan berfirman: Sempurnakanlah solat fardu hamba-Ku dengan solat sunatnya. Kemudian diperhitungkan amalan itu dengan cara demikian.” (Hadis riwayat Imam Abu Dawud).
Mengerjakan solat sunat dapat menyebabkan seseorang menjadi ahli syurga. Daripada Rabi’ah bin Malik al-Aslami, dia berkata: “Aku pernah bermalam di rumah Rasulullah SAW. Ketika Baginda bangun, aku mengambil air wuduk untuk Baginda dan melayani apa yang Baginda perlukan. Selanjutnya Baginda bersabda kepadaku: Mintalah! Aku menjawab: Aku meminta supaya aku dapat menemani engkau di syurga kelak. Baginda bertanya: Adakah permintaan selain daripada itu? Aku menjawab: Cukup itu saja. Baginda lalu bersabda: Bantulah aku bagi mencapai permintaanmu itu dengan memperbanyakkan sujud (solat sunat).” (Hadis riwayat Imam Muslim)
Amalan solat sunat juga dapat meninggikan darjat seseorang serta menghapuskan dosanya yang lalu. Daripada Mi’dan bin Abi Thalhah al-Ya’mari, dia bercerita: “Aku pernah bertemu Tsauban, pembantu Rasulullah SAW lalu kukatakan: Beritahukan kepada ku suatu amalan yang dengan mengerjakannya Allah akan memasukkanku ke dalam syurga. (Atau dia menceritakan: Ku katakan dengan amal yang paling disukai Allah). Kemudian Tsauban diam. Maka aku tanyakan lagi kepadanya. Dia tetap diam. Selanjutnya aku bertanya untuk yang ketiga kalinya, dia pun berkata: Aku pernah bertanyakan hal itu kepada Rasulullah SAW lalu Baginda menjawab: Hendaklah engkau memperbanyakkan sujud (solat sunat) kepada Allah kerana sesungguhnya tidaklah engkau bersujud kepada Allah sekali saja, melainkan dengannya Dia meninggikanmu satu darjat serta menghapuskan darimu satu kesalahan.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)
Allah mencintai mereka yang mengerjakan amalan sunat (nawafil) termasuk solat sunat. Daripada Abu Hurairah, dia berkata Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah berfirman: Barang siapa yang memusuhi wali-Ku, sungguh Aku mengizinkan supaya dia diperangi. Tidak ada amal paling Aku senangi yang dipergunakan oleh hamba-Ku untuk mendekatkan diri kepada-Ku selain ibadah yang telah Aku fardukan kepadanya. Hamba-Ku yang senantiasa mendekatkan diri kepada-Ku dengan ibadah sunat (nawafil), pasti Aku mencintainya. Jika Aku sudah mencintainya, maka Aku menjadi pendengarannya yang dengannya dia mendengar; Aku menjadi penglihatannya yang dengannya dia melihat; Aku menjadi tangannya yang dengannya dia membuat (sesuatu); Aku menjadi kakinya yang dengannya dia berjalan; jika dia memohon kepada-Ku pasti akan Ku beri; jika dia memohon perlindungan daripada Ku pasti akan Ku lindungi dia. Aku tidak pernah bimbang dalam melakukan sesuatu sebagaimana kebimbangan Ku ketika hendak mencabut nyawa seorang mukmin yang tidak menyukai sakitnya sakratul maut, sementara Aku pun tidak ingin menyakitinya.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)
Mengerjakan solat sunat di rumah akan mendatangkan keberkatan. Berbeza dengan solat fardu, solat sunat lebih afdal jika dikerjakan di rumah masing-masing kecuali solat sunat sememangnya disyaratkan untuk dikerjakan secara berjemaah di masjid, tanah lapang atau tempat tertentu.
Zaid bin Tsabit menyebutkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Wahai sekalian manusia, kerjakanlah solat (sunat) di rumah kalian, sebab solat yang paling utama adalah solat seseorang yang dikerjakan di rumahnya, kecuali solat fardu.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)
Zaid bin Tsabit menyebutkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Wahai sekalian manusia, kerjakanlah solat (sunat) di rumah kalian, sebab solat yang paling utama adalah solat seseorang yang dikerjakan di rumahnya, kecuali solat fardu.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan